Ramadan buka pintu mula gaya hidup sihat
Masyarakat Melayu S’pura catat kemajuan dalam beberapa petunjuk kesihatan tapi masih jauh dari purata kebangsaan dengan kadar penyakit kronik, tabiat rokok lebihi kaum lain
Ramadan ini menjadi titik tolak buat sahabat saya untuk kembali lebih sihat dan aktif beribadah.
Begitulah diharapkan saban tahun oleh kalangan umat Islam, terutama masyarakat Melayu di Singapura untuk bulan tarbiah (pendidikan) dengan disiplin dan keseimbangan ini.
Ia bukan sekadar latihan rohani, tetapi juga peluang memperbaiki tabiat jasmani.
Namun sahabat saya seperti agak kecewa apabila melihat cara juadah disediakan, baik di masjid mahupun di bazar Ramadan, restoran dan gerai pusat penjaja di sana sini.
Secara jujur, tanya beliau, apakah hidangan iftar tadi benar-benar menyokong kesihatan umat, atau tanpa sedar memperkukuh budaya pemakanan yang membawa kepada padah iaitu kegemukan (obesiti atau penyakit kronik)?
Imej Tidak Sihat
Lihat saja di beberapa masjid – nasi putih, beriani dan nasi minyak dalam jumlah banyak, lauk berlemak atau tinggi karbohidrat, minuman manis seperti sirap dan teh tarik, serta ketiadaan ulam atau sayur-sayuran dan buah-buahan segar.
Air kosong pula tidak sentiasa menjadi pilihan utama.
Ini bukan isu selera. Ini isu kesihatan awam.
Walaupun masyarakat Melayu Singapura mencatatkan kadar peningkatan dalam beberapa petunjuk kesihatan, namun kita masih jauh berbanding purata kebangsaan berdasarkan kadar kehadiran penyakit kronik dan faktor risiko gaya hidup.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Penduduk Kebangsaan (NPHS) 2024 terkini dan data terkini daripada Kementerian Kesihatan (MOH):
- Diabetes: Sekitar 15 peratus orang Melayu menghidapinya iaitu jauh lebih tinggi daripada orang Cina (7.4%) dan purata kebangsaan (9.1%).
- Obesiti: Orang Melayu mempunyai kadar obesiti tertinggi di Singapura. Pada tahun 2023-2024, obesiti kebangsaan meningkat kepada 12.7%, dengan orang Melayu mencatatkan kadar yang jauh lebih tinggi (contohnya, 24% dalam tinjauan terdahulu).
- Tekanan Darah Tinggi (hipertensi): Kira-kira 37.5% orang Melayu hadapi tekanan darah tinggi, berbanding 36.1% orang Cina dan 29.5% orang India.
- Merokok: Tabiat merokok harian adalah tertinggi dalam kalangan orang Melayu pada 23%, lebih dua kali ganda kadar kumpulan etnik lain.
- Kadar Saringan: Wanita Melayu mempunyai kadar saringan yang lebih rendah untuk barah buah dada (28.9%) dan barah serviks (34.8%) berbanding purata kebangsaan lebih 40%.
- Kesihatan Mental: Orang Melayu melaporkan kadar kesihatan mental yang lemah sebanyak 16.1% pada 2023, sedikit melebihi purata kebangsaan iaitu 15%.
‘Halalan Tayyiban’ (Halal Baik)
MOH dan penyelidik akademik telah mengenal pasti beberapa faktor yang kompleks, yang dihadapi masyarakat Melayu di Singapura seperti kurangnya amalan gaya hidup sihat, ketidakseimbangan dari segi bersenam dan bekerja serta kurang menyertai kegiatan kesihatan nasional (30% berbanding kadar nasional 37% seperti SG Yang Lebih Sihat).
Amalan gaya hidup sihat kurang dihayati oleh masyarakat kita.
Yang diperhatikan hanyalah aspek halal saja.
Walhal dalam Islam, yang diwajibkan oleh ayat al-Quran yang secara jelas adalah konsep ‘halalan thayyiban’ (halal baik/berkhasiat: Al-Baqarah ayat 168).
Maka itu, perlulah dibudayakan konsep ‘halalan thayyiban’ dengan lebih bersungguh-sungguh dalam strategi masyarakat kita yang diusahakan oleh gerakan seperti M Kuasa Tiga (M3) – dijana oleh Yayasan Mendaki, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) di balai rakyat/kelab masyarakat yang diselaras Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA Mesra).
Orang kita perlu sering dinasihati dan digerakkan agar menyertai SG Yang Lebih Sihat, yang sudah dijulang di persada dunia sebagai antara program kesihatan terbaik jagat ini.
Peranan institusi seperti masjid kian penting dalam menyebarkan nasihat agar mengamalkan gaya hidup sihat.
Dari penyediaan bubur Ramadan atau bubur lambuk sehingga juadah yang lain (jika mampu), perlu ada pengawasan jitu.
Lama-kelamaan amalan di masjid ini akan terbawa-bawa secara positif ke rumah.
Umrah dan Haji
Ada hikmah di sebalik ketegasan kerajaan Arab Saudi dalam mengenakan syarat agar jemaah haji didapati ‘cukup sihat’ – ini sebenarnya antara syarat pokok untuk naik haji, selain kemampuan dan keadaan selamat.
Mungkin selepas ini, syarat umrah juga dilaksanakan seperti ini dan memang ada manfaat besarnya.
Sayangnya, dalam Ramadan ini dan disusuli suasana meriah menyambut Syawal kelak, jika ratusan jemaah setiap hari disajikan makanan tinggi karbohidrat dan minuman bergula, mudaratnya bukan kecil. Waspadalah.
Kita sering menekankan tanggungjawab individu.
Namun persekitaran turut membentuk pilihan.
Jika pilihan sihat tidak diutamakan dalam ruang komuniti, bagaimana masyarakat boleh dididik untuk mengamalkannya secara konsisten?
“Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebih-lebihan.” Demikian nasihat Al-Quran (Surah Al-A‘raf ayat 31).
Ayat ini bukan sekadar nasihat spiritual.
Ia prinsip keseimbangan yang merangkumi aspek kesihatan dan pencegahan penyakit.
Patuhilah nasihat doktor dan saranan Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) agar lebih rapi dan teliti perancangan dan penyediaan juadah dari menu Iftar sehingga perkahwinan dan sajian harian kita.
Hakikatnya, kita tidak boleh hanya bergantung kepada kempen kesihatan negara sedangkan amalan pemakanan di peringkat masyarakat bercanggah dengan saranan tersebut.
Panduan zat atau khasiat yang jelas dan berasaskan bukti perlu disepadukan secara lebih sistematik dalam pengurusan makanan, baik di masjid mahupun di gerai atau restoran halal sehingga di rumah Muslim. Kita perlu terapkan disiplin ini.
Lebih Dari Niat
Isunya bukan niat. Niat para penderma dan sukarelawan tidak pernah dipersoalkan.
Mereka berkhidmat dengan penuh keikhlasan.
Namun, niat yang baik perlu dipadankan dengan kesedaran kesihatan yang lebih tinggi.
Antara lain, langkah berikut diperlukan:
- Mengurangkan minuman bergula
- Menjadikan air kosong sebagai pilihan utama
- Menambah sayur-sayuran dan buah-buahan segar
- Mengimbangi karbohidrat dan protein secara lebih sederhana
Langkah-langkah ini bukan radikal.
Ia rasional, praktikal dan selari dengan prinsip kesihatan yang telah lama disarankan oleh pakar perubatan dan pihak berkuasa kesihatan.
Kita tidak boleh memisahkan ibadah daripada amanah tubuh badan.
Ramadan bukan sekadar menahan lapar; ia mendidik keseimbangan.
Dan lejangan atau momentumnya mesti direruskan sepanjang hayat bak pesan Nabi Muhammad saw: “Puasa agar kamu sihat.”
Nasihat ini terbukti dalam kajian saintis Jepun, Yoshinori Ohsumi, penerima Hadiah Nobel Fisiologi/Perubatan 2016 setelah membuktikan bahawa puasa mencetuskan proses autofagi (pembersihan sel).
Jika benar kita prihatin tentang kesejahteraan umat, maka sudah tiba masanya seluruh institusi kita dari masjid sehingga individu mengkaji semula peranan mereka dalam membentuk budaya pemakanan masyarakat yang halal dan baik.
Kesihatan bukan isu sampingan. Ia amanah. Semoga Ramadan terus menguatkan umat dan bukan sebaliknya dek tabiat kita sendiri yang merosakkan kesihatan.
Penulis adalah seorang pegawai kanan yang telah bersara dari Kementerian Kesihatan Singapura, seorang perunding motivasi, dan Presiden semasa Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM).

