Panduan puasa bagi kanak-kanak
Panduan puasa bagi kanak-kanak
Ibu bapa perlu utamakan makanan seimbang serta pemantauan rapi, elak risiko masalah pemakanan
Panduan puasa bagi kanak-kanak
Satu petunjuk baik untuk mengetahui bila seorang kanak-kanak bersedia untuk berpuasa adalah apabila mereka menunjukkan minat, dapat memahami apakah yang dimaksudkan dengan berpuasa, dan secara umum, sihat serta membesar dengan baik, kata Doktor Residen di Poliklinik Universiti Nasional, Dr Nor Sa’adah Zulkifli.
Namun, bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis, sawan, ginjal atau isu kronik lain, adalah lebih baik mereka mendapatkan nasihat perubatan profesional sebelum cuba berpuasa buat kali pertama, tambah beliau.
“Pesakit mungkin memerlukan bantuan untuk menyesuaikan diri kepada ubat serta diet mereka,” ujar Dr Nor Sa’adah kepada Berita Harian (BH).
Pakar Diet di Poliklinik Universiti Nasional, Cik Rachel Cheang, pula menekankan kepentingan membuat pilihan makanan bijak bagi memastikan badan mendapat nutrisi yang mencukupi, bukan sahaja untuk mengekalkan puasa pada keesokan harinya, malah untuk memastikan pemakanan yang baik.
Sahur yang ideal perlu mengandungi gabungan karbohidrat kompleks seperti oat, roti gandum penuh, beras perang atau sayur berkanji seperti jagung yang dicerna secara perlahan dan mampu membekalkan tenaga berpanjangan.
“Protein tanpa lemak seperti ayam, ikan, daging tanpa lemak, susu rendah lemak atau sumber tumbuhan seperti tauhu dan kekacang membantu menyokong sistem daya tahan serta membuatkan anak berasa kenyang bagi tempoh lebih lama.
“Buah-buahan dan sayuran pula penting untuk membekalkan vitamin, mineral dan serat bagi memastikan sistem pencernaan kekal sihat sepanjang tempoh berpuasa,” tambah Cik Cheang.
Oleh itu, sahur merupakan waktu makan paling penting dalam sehari dan mengabaikannya atau mengambil makanan yang kurang bermutu boleh menjejas tahap tenaga untuk bertahan sepanjang tempoh berpuasa yang lama.
Adalah disarankan untuk mengikuti konsep, My Healthy Plate, dalam merancang hidangan.
Apabila berbuka puasa pula, bahagian makanan yang diambil seharusnya hampir sama seperti sahur kerana tubuh perlu menggantikan semula tenaga yang telah digunakan, kata Cik Cheang.
Sementara itu, Dr Sa’adah menambah bahawa antara masalah kesihatan yang paling lazim dialami kanak-kanak ketika berpuasa, khususnya pada percubaan pertama, ialah kurang pengambilan air, atau dehidrasi, dan gangguan gastrik.
Masalah pencernaan seperti sembelit, ketidakselesaan perut dan kembung sering berlaku akibat kekurangan air serta pengambilan makanan dalam jumlah yang banyak dan terlalu cepat selepas tempoh berpuasa yang lama.
“Ibu bapa dinasihatkan supaya peka terhadap tanda amaran seperti mulut kering, rasa dahaga melampau, air kencing berwarna gelap, sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kurang tenaga dan mudah meragam,” tambah Dr Sa’adah.
Cik Cheang menambah, sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami kembung atau sakit perut semasa berpuasa, terutama jika mengambil makanan yang tinggi Fodmap, iaitu karbohidrat rantai pendek yang sukar diserap oleh usus kecil.
Ini menyebabkan makanan itu sampai ke usus besar dan boleh mencetuskan gejala gastrousus (masalah saluran penghadaman) yang tidak menyenangkan.
Antara makanan yang mengandungi Fodmap tinggi ialah produk tenusu biasa, sesetengah sayur seperti kubis dan bawang, buah-buahan tinggi fruktosa seperti epal dan pear, serta kekacang tertentu boleh mencetuskan angin dan ketidakselesaan bagi individu yang sensitif.
Makanan pedas, terlalu berminyak, minuman berkarbonat dan minuman berkafein juga boleh memburukkan keadaan.
“Ibu bapa harus memerhati tindak balas tubuh anak dan membuat pelarasan makanan yang sesuai,” kata Cik Cheang.
Sistem pencernaan kanak-kanak masih dalam proses perkembangan dan kurang mampu menahan tempoh tanpa makanan atau minuman yang lama berbanding golongan dewasa.
Keperluan tenaga dan cecair mereka juga lebih tinggi relatif kepada saiz badan.
Pakar Perubatan Keluarga di Poliklinik Universiti Nasional, Dr Vandana Raghuvir, pula menyarankan agar ibu bapa memastikan anak mendapat tidur yang mencukupi, mutu makanan yang baik serta pengambilan air yang baik sepanjang waktu tidak berpuasa.
Tanda jelas kanak-kanak perlu segera menghentikan puasa termasuk rasa pening atau pitam, kekeliruan, keletihan melampau, kurang membuang air kecil, menggigil atau berpeluh berlebihan.
“Gejala ini mungkin menandakan kekurangan air atau paras gula yang rendah.
“Dalam keadaan sedemikian, kanak-kanak perlu segera berbuka dan mendapatkan rawatan perubatan,” kata Dr Raghuvir.
Sementara makanan manis dan bergoreng yang sering menjadi tarikan sepanjang Ramadan sebenarnya boleh menyebabkan rasa haus berlebihan, pedih ulu hati dan lonjakan tenaga yang tidak berkekalan, ujar Cik Cheang.
“Minuman manis dan karbohidrat halus seperti nasi putih memberi tenaga segera tetapi tidak bertahan lama.
“Pendekatan terbaik ialah mengamalkan pemakanan sihat secara seisi keluarga kerana kanak-kanak cenderung mencontohi tabiat orang dewasa.
“Jika anak menginginkan aiskrim atau minuman ringan, berikan dalam jumlah kecil dan tidak terlalu kerap, serta tawarkan alternatif lebih sihat seperti smoothie buah buatan sendiri atau yogurt beku.
“Makanan bergoreng pula boleh disediakan dengan kaedah yang lebih sihat seperti menggunakan ketuhar atau penggoreng kering (air fryer),” jelas Cik Cheang.
Selain pemakanan, aspek pengambilan air yang mencukupi juga tidak boleh diabaikan.
Cik Cheang menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu minum air kosong secukupnya secara perlahan sepanjang waktu tidak berpuasa dan mengelakkan minum terlalu banyak pada satu masa.
Kegiatan fizikal lasak dan pendedahan kepada cuaca panas juga wajar dikurangkan bagi mengelakkan dehidrasi.
“Jika air kosong dirasakan hambar, boleh ditambah hirisan lemon, limau atau timun untuk menjadikannya lebih menyelerakan tanpa menambah gula,” kata Cik Cheang.
Walaupun puasa boleh menjadi pengalaman yang bermakna dan membina disiplin diri, ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda bahawa puasa mungkin terlalu membebankan.
Sekiranya keadaan ini berlaku, mendapatkan nasihat doktor adalah langkah yang bijak, kata Dr Sa’adah.
Walaupun tiada umur yang ditetapkan secara perubatan, lingkungan usia 10 hingga 12 tahun mungkin masa yang sesuai untuk mula mencuba berpuasa.
Namun begitu, pengenalan secara berperingkat amat digalakkan, contohnya bermula dengan berpuasa separuh hari sebelum meningkatkan tempoh berpuasa secara beransur-ansur jika anak mampu menyesuaikan diri, kata Dr Sa’adah.
Dengan pemantauan rapi, pemakanan seimbang dan sokongan keluarga, puasa boleh menjadi pengalaman pertama positif dan selamat untuk kanak-kanak.
Ibu bapa boleh merujuk kepada laman web Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), iaitu Parent Hub untuk mendapatkan lebih banyak resipi sihat.
PEMAKANAN KANAK-KANAK BERUSIA TUJUH HINGGA 12 TAHUN
Jumlah dan jenis hidangan bagi jamuan buka puasa
– Bijirin dan alternatif: lima hingga enam hidangan
– Daging dan alternatif: dua hidangan
– Makanan kaya kalsium: satu hidangan
– Buah-buahan: dua hidangan
– Sayur-sayuran: dua hidangan
Contoh satu hidangan termasuk:
– Dua keping roti (60 gram)
– Setengah mangkuk nasi (100 gram)
– Tiga biji telur (150 gram)
– Dua gelas susu (500 mililiter)
– Satu biji epal atau oren (130 gram)
– 150 gram sayur berdaun mentah
Cadangan menu semasa Ramadan:
Sahur
– Satu mangkuk nasi/mi/pasta
– Satu saiz tapak tangan ayam/ikan/daging tanpa lemak
– ¾ cawan sayur dimasak
– 250 mililiter susu kosong
– Satu hidangan buah
Iftar (Berbuka)
– Satu mangkuk nasi/mi/pasta
– Seketul ayam/ikan/daging tanpa lemak bersaiz telapak tangan
– ¾ cawan sayur dimasak
– Satu hidangan buah
Makan lewat malam (jika perlu)
– Empat keping biskut + marjerin lembut/mentega kacang
– 250 mililiter susu kosong
– Satu hidangan buah (jika belum diambil semasa sahur)
“
“Ibu bapa dinasihatkan supaya peka terhadap tanda amaran seperti mulut kering, rasa dahaga melampau, air kencing berwarna gelap, sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kurang tenaga dan mudah meragam.”“
“Gejala ini mungkin menandakan kekurangan air atau paras gula yang rendah. Dalam keadaan sedemikian, kanak-kanak perlu segera berbuka dan mendapatkan rawatan perubatan.”“
“Pendekatan terbaik ialah mengamalkan pemakanan sihat secara seisi keluarga kerana kanak-kanak cenderung mencontohi tabiat orang dewasa.”
