Rampasan dadah cecah lebih $21j, ‘Ice’ paling kerap disalah guna
Rampasan dadah cecah lebih $21j, ‘Ice’ paling kerap disalah guna
Biro Narkotik Pusat (CNB) mencatat nilai rampasan dadah tertinggi pada 2025 sejak beberapa tahun lalu, dengan nilai pasaran keseluruhan dianggar melebihi $21 juta.
Angka rampasan mengatasi nilai $15.7 juta pada 2024; $15.58 juta pada 2023; dan $16.66 juta pada 2022, seperti yang dilaporkan CNB dalam Laporan Situasi Dadah Singapura yang diterbitkan pada 10 Februari.
Laporan tahunan itu mendedahkan rampasan heroin pada 2025 melonjak 29.4 peratus, mencecah 90.1 kilogram, berbanding 69.91 kilogram pada 2024.
Rampasan kokain pula menyaksikan peningkatan ketara hampir 50 kali ganda pada 2025 berbanding 2024 – 9,934.79 gram dadah kokain dirampas pada 2025 berbanding 196.8 gram pada 2024.
Namun, heroin, ganja dan methamphetamine, atau ‘Ice’, kekal sebagai dadah yang paling kerap disalahgunakan di Singapura pada 2025.
Sejumlah 95 peratus penagih dadah yang diberkas menyalahgunakan sekurang-kurangnya salah satu daripada jenis dadah ini.
Pengarah CNB, Encik Sebastian Tan, berkata: “Methamphetamine, terus menjadi dadah yang paling kerap disalahgunakan tahun lalu, diikuti oleh heroin dan ganja.
“Enam daripada 10 penyalah guna ganja baru yang diberkas pula berumur di bawah 30 tahun.”
Sehubungan itu, laporan CNB itu turut menunjukkan jumlah pesalah dadah bawah 20 tahun yang diberkas pada 2025 meningkat kepada 177, iaitu peningkatan 7 peratus berbanding 165 pada 2024.
Majoriti pesalah dadah bawah 20 tahun ini menyalahgunakan dadah ‘Ice’, manakala kesemua penagih ganja bawah 20 tahun merupakan penagih dadah baru.
Oleh itu, CNB menyatakan pihaknya telah mempergiat usaha Pendidikan Pencegahan Dadah (PED) pada 2025, mengekalkan kerjasama kukuh dengan berbilang agensi pemerintah, kumpulan masyarakat dan penyokong kempen SGBebasDadah bagi menangani masalah dadah dalam kalangan belia.
Matlamatnya adalah untuk mendekati pelbagai segmen masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah dan memperkukuh gaya hidup bebas dadah.
Salah seorang rakan kongsinya, Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (Ncada), berkata ia mengambil pendekatan menyeluruh terhadap pencegahan dadah yang merangkumi pendidikan, jangkauan masyarakat dan kerjasama.
Pengerusi Ncada, Encik Tan Chong Huat, menekankan bahawa belia dan keluarga merupakan tunjang utama dalam usaha mendidik dan mencegah penyalahgunaan dadah.
Beliau menambah, membuka ruang perbualan yang ikhlas sejak usia muda adalah penting dalam membina ketahanan diri terhadap dadah.
Merujuk Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan 2025, Encik Tan berkata hampir dua daripada lima belia masih belum menerima panduan daripada ibu bapa atau penjaga mereka tentang penyalahgunaan dadah.
Justeru, beliau berkata: “Ncada akan memperkukuh komitmen kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi memacu pembangunan sumber dan bengkel yang melengkapkan ibu bapa untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka tentang bahaya penyalahgunaan dadah.
“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami, Ncada juga akan mewujudkan lebih banyak ruang untuk berkongsi maklumat berguna daripada kajian, melentur perbualan dalam kalangan masyarakat dan menjana idea untuk tindakan dari peringkat akar umbi.
“Apabila ibu bapa, belia, sekolah dan pihak berkepentingan memainkan peranan mereka, pencegahan (terhadap penyalahgunaan dadah) menjadi lebih kukuh.”
Sementara itu, laporan CNB itu mengetengahkan bahawa pecahan bilangan penagih dadah tempatan dari segi bangsa tidak banyak berubah pada 2025 berbanding 2024.
Kaum Melayu membentuk 51 peratus daripada pesalah dadah keseluruhan, diikuti dengan Cina (29 peratus), India (17 peratus) dan bangsa-bangsa lain.

