CNB: Separuh penagih dadah baru ditangkap bawah usia 30 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CNB: Separuh penagih dadah baru ditangkap bawah usia 30 tahun

Jumlah penagih dadah wanita juga naik dari 15% jumlah keseluruhan penagih pada 2024 kepada 19% pada 2025
Feb 10, 2026 | 4:33 PM

CNB: Separuh penagih dadah baru ditangkap bawah usia 30 tahun

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, CNB, dadah, laporan, penagih, drug adduct, drugs
‘Laporan Situasi Dadah Singapura’ yang diterbitkan Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 10 Februari mendedahkan individu di bawah usia 30 tahun terus membentuk sebahagian besar daripada penagih dadah baru yang ditangkap dan kekal sebagai antara perkara yang membimbangkan. - Foto fail

Individu di bawah usia 30 tahun terus membentuk sebahagian besar daripada penagih dadah baru yang ditangkap dan kekal sebagai antara perkara yang membimbangkan bagi Biro Narkotik Pusat (CNB).

Ini setelah biro itu melaporkan penagih dadah baru yang ditangkap naik sebanyak 17 peratus pada 2025 kepada 1,165 berbanding 996 pada 2024.

Dalam ‘Laporan Situasi Dadah Singapura’ yang diterbitkan secara tahunan oleh CNB pada 10 Februari, biro itu melaporkan sekitar separuh atau 50 peratus daripada penagih dadah baru yang ditangkap berusia di bawah 30 tahun.

Perangkaan ini konsisten dengan tahun-tahun sebelum ini – 2025 mencatatkan sedikit penurunan berbanding 2024, iaitu 54 peratus, manakala pada 2023, perangkaannya adalah 51 peratus.

Pengarah CNB, Encik Sebastian Tan, berkata: “Isu belia mengambil dadah kekal sebagai satu perkara yang membimbangkan.

“Penagih dadah paling muda yang diberkas pada 2025 baru berusia 12 tahun.”

Isu belia mengambil dadah ini bertambah runcing di tengah-tengah persekitaran yang menyaksikan sindiket antarabangsa “mengeksploitasi platform teknologi digital dan sistem pembayaran untuk mengedar dadah dan mengubah hasil wang haram merentasi sempadan”, tambahnya.

Encik Tan menjelaskan Singapura berada dalam persekitaran dengan masalah dadah sejagat kian bertambah buruk.

“Kita beroperasi dalam masa yang mencabar… memandangkan pengeluaran dan pengedaran dadah global telah meningkat khususnya kenaikan mendadak terhadap (dadah) metamfetamin dan ketamin,” ujarnya.

Sungguhpun demikian, situasi dadah di Singapura kekal stabil, dengan CNB mencatatkan sedikit peningkatan dalam tangkapan dan jumlah rampasan dadah, kata beliau.

Pada 2025, ​CNB memberkas 3,208 penagih dadah secara keseluruhan, naik 1 peratus berbanding 2024.

Laporan itu menambah, jumlah penagih dadah wanita juga mencatatkan peningkatan – dari 15 peratus jumlah keseluruhan penagih pada 2024 kepada 19 peratus pada 2025.

Bahkan, CNB menyatakan satu dalam empat atau 25 peratus penagih dadah baru yang ditangkap merupakan wanita pada 2025, naik daripada sekitar satu dalam lima atau 21 peratus penagih seperti yang dicatatkan pada 2024.

Metamfetamin atau Ice terus menjadi dadah yang paling kerap disalahgunakan di Singapura pada 2025, diikuti dengan heroin dan ganja.

CNB berkata 72 peratus daripada penagih dadah baru yang ditangkap pada 2025 telah menyalahgunakan metamfetamin.

Tujuh daripada 10 penagih ganja yang ditangkap pada 2025 adalah penagih baru, meningkat berbanding enam daripada 10 kes yang dicatatkan pada 2024.

Daripada jumlah penagih ganja baru yang ditangkap bagi 2025, sekitar 60 peratus atau enam daripada 10 daripada mereka berumur di bawah 30 tahun, tambah Encik Tan.

Berkenaan rampasan dan pematahan sindiket dadah, laporan itu menyatakan pada 2025, CNB berjaya mematahkan 25 sindiket dadah dan merampas dadah dengan anggaran nilai pasaran bernilai sekitar $21.95 juta.

Ini termasuk mematahkan sindiket dadah yang “menyalahgunakan media sosial bagi meluaskan jangkauan aktiviti pengedaran dadah haram”, serta sindiket yang beroperasi di negara asing dan cuba mengedar dadah ke Singapura, kata Encik Tan.

“Operasi (mematahkan sindiket) ini membawa kepada rampasan dadah yang besar dengan nilai pasaran lebih $21 juta,” tambah beliau.

Menurut laporan CNB, nilai rampasan bagi 2025 ini adalah lebih tinggi berbanding nilai rampasan sekitar $15.7 juta yang dicatatkan pada 2024.

CNB juga mendedahkan rampasan dadah metamfetamin turun daripada 39.53 kilogram pada 2024 kepada 38.85 kilogram pada 2025, manakala rampasan ganja turun 18 peratus – iaitu daripada 101.03 kilogram pada 2024 kepada 82.81 kilogram pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg