Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki rancang sertai Hamas, sedia lakukan serangan di S’pura
Lelaki rancang sertai Hamas, sedia lakukan serangan di S’pura
Mahu pergi ke Palestin namun tidak teruskan perancangan akibat kewangan
Lelaki rancang sertai Hamas, sedia lakukan serangan di S’pura
Pegawai khidmat pelanggan, Tarmizi Mohd Taha, 30 tahun, merupakan penyokong tegar Hamas yang bercita-cita untuk pergi ke wilayah Palestin bagi menyertai kumpulan tersebut.
Dia telah menyatakan kesanggupannya melakukan keganasan bersenjata terhadap Israel atau melakukan serangan di Singapura, jika diarahkan oleh Hamas.
Pada Mac 2026, Tarmizi dikenakan Perintah Tahanan (DO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tarmizi menjadi sangat prihatin dengan perang Israel-Palestin berikutan serangan 7 Oktober 2023 Hamas ke atas Israel dan menyertai beberapa saluran media sosial yang membincangkan konflik tersebut dan Hamas.
Pada Februari 2024, Tarmizi menganggap Hamas sebagai pembela warga Palestin.
Dia percaya adalah sah untuk terlibat dalam keganasan bersenjata terhadap “musuh” dan “orang kafir” yang bertanggungjawab menindas rakyat Palestin di tanah air mereka, yang dianggapnya sebagai Zionis, Yahudi dan orang bukan Islam.
Tarmizi juga telah berbincang tentang operasi Hamas di Gaza dengan seorang kenalan asing dalam talian yang mendakwa dirinya sebagai anggota Hamas.
Pada lewat 2024, kenalannya itu menawarkan untuk membantunya pergi ke wilayah Palestin untuk menyertai Hamas. Tarmizi mempertimbangkan tawaran itu tetapi tidak melakukan apa-apa pada masa itu.
Pada Ogos 2025, dia menonton video menunjukkan warga Palestin dibunuh dan ia membangkitkan keinginannya menyertai Hamas.
Sebagai persediaan untuk pergi ke wilayah Palestin, Tarmizi berhubung semula dengan kenalan anggota Hamas tersebut untuk mendapatkan nasihat dan mencari laluan perjalanan menerusi dalam talian.
Namun, dia tidak meneruskan perancangannya kerana kekurangan sumber kewangan.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), Tarmizi merancang bertemu dengan pegawai Hamas di wilayah Palestin dan melakukan bai’ah (ikrar taat setia) secara peribadi.
Dia berkata jika diperintahkan oleh Hamas, dia sanggup terlibat dalam pertempuran bersenjata menentang Israel atau melakukan serangan di Singapura.
Dia juga berhasrat menggunakan kemahiran dan pengalaman yang diperolehnya semasa menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk menyumbang kepada Hamas, dan percaya tindakan sedemikian akhirnya akan membawanya kepada kematian syahid.
ISD berkata Tarmizi dinilai menimbulkan ancaman keselamatan nyata yang memerlukan penahanan di bawah ISA.
Ia memandangkan sokongan padunya terhadap Hamas, komunikasinya dengan anggota Hamas asing untuk memudahkan rancangannya untuk pergi ke wilayah Palestin, serta kesediaannya untuk melakukan keganasan bersenjata di luar negara dan di Singapura bagi menyokong kumpulan Hamas.
