Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rancangan tempatkan jet pejuang F-15 S’pura di Guam dibatalkan

RSAF akan terus adakan latihan jangka pendek secara berkala di Guam, Amerika Syarikat
Aug 12, 2025 | 4:33 PM
Singapura sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam detasmen latihan pejuang baru di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Ebbing di Fort Smith, Arkansas, yang akan menjadi tuan rumah latihan pejuang F-35 RSAF pada masa depan.
Singapura sedang bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam detasmen latihan pejuang baru di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Ebbing di Fort Smith, Arkansas, yang akan menjadi tuan rumah latihan pejuang F-35 RSAF pada masa depan. - Foto: ST

Rancangan Singapura untuk menempatkan detasmen jet pejuang F-15 di Guam, Amerika Syarikat mulai 2029 telah dibatalkan, berikutan kajian semula keperluan latihan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata pada 12 Ogos bahawa ia dan Jabatan Pertahanan Amerika (DOD) “saling bersetuju untuk menghentikan perbincangan mengenai detasmen latihan pejuang RSAF di Guam”.

Namun, rancangan RSAF untuk mengadakan latihan jangka pendek berkala di Guam akan diteruskan, seperti detasmen latihan pejuang yang akan datang di Guam dari Oktober hingga November, katanya.

Ia sedang bekerjasama dengan Amerika dalam detasmen latihan pejuang baru di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Ebbing di Fort Smith, Arkansas, yang akan menjadi tuan rumah latihan pejuang F-35 RSAF pada masa depan, tambah Mindef.

Pembatalan itu diumumkan sebelum ini oleh Jabatan Tentera Udara (DAF) Amerika dan dilaporkan oleh media Guam.

DAF Amerika “tidak akan melaksanakan atau meneruskan aturan mempersiap lapangan” bagi hingga 12 pesawat F-15 RSAF di Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam.

Demikian menurut Rekod Keputusan – dokumen awam rasmi – yang ditandatangani Pemangku Penolong Setiausaha Tentera Udara Amerika, Encik Michael Saunders, pada 16 Julai.

Kertas dokumen itu menilai kesan alam sekitar daripada usulan langkah menempatkan pesawat dan kakitangan Singapura, serta pembinaan prasarana baru di pangkalan itu.

Di samping itu, ia turut menyatakan bahawa operasi lapangan terbang yang diusulkan di pangkalan Andersen yang berkaitan dengan detasmen Singapura, termasuk pesawat sokongan yang tidak berpangkalan di sana, tidak akan diteruskan.

Juga tidak akan ada kakitangan RSAF, keluarga mereka, dan sebarang kakitangan sokongan sementara yang berkaitan dengan detasmen jet pejuang yang ditempatkan di pangkalan itu, tambah dokumen tersebut.

DAF Amerika akan meneruskan pembinaan prasarana seperti turapan lapangan terbang, saluran bahan api dan kemudahan pengurusan limpahan air hujan, tetapi bukan pembinaan struktur seperti kawasan penyimpanan peluru.

Memorandum Persefahaman (MOU) antara Mindef dengan DOD Amerika mengenai detasmen Singapura di Guam dicapai pada 2019 selepas kajian mendalam dilakukan ke atas faktor seperti kesesuaian kawasan latihan, prasarana dan jenis sokongan lain.

Mindef sebelum ini berkata bahawa ruang udara latihan yang luas di Guam akan membolehkan RSAF menjalankan latihan realistik bagi mengasah keupayaan dan kesediaannya.

Perjanjian untuk menubuhkan detasmen latihan pejuang RSAF di Pangkalan Tentera Udara Andersen telah ditandatangani pada Disember 2019.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg