Pengguna akan mempunyai lebih fleksibiliti untuk mengimport makanan – sama ada daging atau barangan yang diproses – untuk kegunaan peribadi, di bawah undang-undang baru yang dicadangkan di Parlimen pada 12 November.
Di bawah Rang Undang-Undang Keselamatan Makanan (FSSB), setiap orang akan dibenarkan membawa masuk sejumlah 15 kilogram makanan merentasi semua kategori untuk kegunaan persendirian.
Ini juga terpakai kepada makanan yang dibeli dalam talian.
Pada masa ini, had import ditentukan mengikut jenis makanan, lapor The Straits Times.
Sebagai contoh, seseorang hanya boleh mengimport 5 kilogram daging atau 5 kilogram ikan – yang mana hanya 2 kilogram boleh dibekukan.
Tetapi undang-undang yang dicadangkan akan menyatukan semua jenis makanan, termasuk daging, ikan, telur, buah-buahan dan sayur-sayuran, dan makanan yang diproses, di bawah satu had import 15 kilogram.
Di bawah rang itu, penduduk dan pelawat juga boleh membawa masuk barangan daging yang biasa dimakan dari lebih banyak negara.
Daging lembu, misalnya, kini boleh dibawa masuk dari 13 negara sahaja termasuk Argentina, Australia dan New Zealand, tetapi bukan dari Malaysia atau Indonesia.
Ini kerana produk daging hanya boleh diimport daripada sumber bertauliah di negara yang diluluskan yang mematuhi piawaian dan keperluan keselamatan makanan Singapura.
Bagaimanapun, barang-barang yang mempunyai kawal selia yang lebih tinggi, seperti darah haiwan dan daging buruan, akan terus dilarang, kata Agensi Makanan Singapura (SFA).
Daging yang boleh dibawa masuk untuk kegunaan peribadi akan dihadkan kepada yang biasa dimakan seperti daging lembu, kambing, daging rusa, ayam, itik, ayam belanda dan angsa.
SFA berkata butiran lanjut akan dikongsi apabila sudah sedia.
“Had (daging) import untuk penggunaan persendirian pada masa ini ditetapkan dalam akta yang berlainan, dan berbeza berdasarkan jenis makanan. Hadnya juga telah ditetapkan bertahun-tahun yang lalu,” tambah SFA.
Agensi itu menegaskan bahawa walaupun undang-undang yang dicadangkan akan memberikan lebih fleksibiliti mengenai kuantiti jenis makanan, adalah menjadi satu kesalahan untuk menjual makanan yang dibawa masuk untuk kegunaan sendiri.
Undang-undang yang dicadangkan itu akan menyatukan dan mengemas kini perundangan berkaitan makanan sedia ada – semuanya kini tersebar dalam lapan akta berbeza – di bawah satu Rang FSSB.
Ini akan membolehkan mereka yang terlibat dalam sektor makanan – daripada petani hingga ke kedai makan – mengikuti peraturan itu tanpa kekeliruan, kata SFA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg