Orang ramai kini boleh merujuk kepada harga sajian nasi padang di Hjh Maimunah dengan lebih jelas di bawah sistem label berwarna yang diperluas.
Persatuan Pengguna Singapura (Case) sedang bekerjasama dengan rangkaian makanan Nasi Padang terkenal, Hjh Maimunah, untuk melaksanakan sistem pelabelan harga mengikut warna di kesemua sembilan cawangannya, bermula dengan cawangan di Parkway Parade pada 24 Julai.
Sistem itu, yang mula diperkenal di gerai nasi ekonomi melalui kerjasama dengan Koufu, telah menerima maklum balas positif daripada pengguna yang menghargai ketelusan harga, kata Presiden Case, Encik Melvin Yong, dalam satu kenyataan pada 24 Julai.
“Saya gembira kerana Case kini bekerjasama dengan Hjh Maimunah untuk meluaskan inisiatif ini ke gerai Nasi Padang.
“Ini akan memberikan pengguna lebih ketelusan harga dan membantu mereka membuat pilihan yang lebih bijak sebelum membuat pesanan,” ujarnya.
Di bawah sistem tersebut, hidangan akan ditandakan dengan label warna mengikut julat harga bermula dengan warna kuning bagi harga $1.50, hingga warna merah untuk harga $4.50, merangkumi tujuh kategori warna secara keseluruhan.
Hidangan khas seperti Tauhu Telur, Ayam Bakar dan Telur Ikan Paes akan dilabel dengan tanda warna kelabu, yang menandakan sajian istimewa dengan harga yang berubah-ubah.
Pelanggan digalak bertanya harga bagi hidangan bertanda kelabu.
Pengarah Urusan, Hjh Maimunah, Cik Mastura Didih Ibrahim, pula berkata beliau bangga dapat bekerjasama dengan Case dalam daya usaha tersebut.
“Ketelusan harga bukan sahaja mencerminkan amalan perniagaan yang baik, malah ia juga melambangkan kepercayaan dan rasa hormat kami terhadap pelanggan.
“Kami percaya usaha ini akan menjadi contoh yang positif dalam industri makanan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
“
“Ketelusan harga bukan sahaja mencerminkan amalan perniagaan yang baik, malah ia juga melambangkan kepercayaan dan rasa hormat kami terhadap pelanggan. Kami percaya usaha ini akan menjadi contoh yang positif dalam industri makanan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg