Encik Kamal Ashraff Kamil Jumat, 25 tahun, pernah berdepan kesukaran untuk bertutur dalam Bahasa Melayu dengan yakin meskipun dibesarkan dalam keluarga yang fasih dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Lulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS) yang baru dilantik sebagai Duta Bahasa 2026 itu berkata walaupun beliau dapat mengikuti mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah, beliau kurang yakin untuk bertutur dan berkomunikasi dalam bahasa tersebut.

Namun, titik perubahan dalam perjalanannya bermula pada 2019 apabila beliau dipilih mengetuai pasukan sekolah bagi menyertai pertandingan Bahas 4PM.

Aktif dalam perbahasan bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah, Encik Kamal berkata pengalaman menyertai pertandingan itu membuka peluang untuk beliau mendalami Bahasa Melayu dengan lebih yakin.

Walaupun pasukannya tewas dalam pusingan pertama, latihan intensif serta pengalaman berbahas sepanjang pertandingan membantunya mengatasi rasa gemuruh di pentas dan meningkatkan keyakinan untuk bertutur dalam Bahasa Melayu.

Usaha itu akhirnya membuahkan hasil apabila pasukannya bangkit daripada kekalahan awal itu untuk akhirnya muncul juara Bahas 4PM pada tahun tersebut.

Kemenangan itu menjadi titik tolak yang mendorong Naib Presiden 4PM itu untuk terus mendalami Bahasa Melayu dan menyumbang kepada usaha memartabatkan bahasa ibunda.

Selepas pertandingan itu, Encik Kamal terus bergiat aktif bersama 4PM sebelum diberi amanah sebagai Pengerusi Akademi Bahas 4PM selama empat tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau membimbing peserta mengasah kemahiran berbahas dan berpidato, di samping menyaksikan sendiri perkembangan ramai pelajar yang pada awalnya berasa malu serta gementar untuk bertutur dalam Bahasa Melayu menjadi lebih yakin.

“Sebagai seseorang yang pernah menghadapi kesukaran bertutur dalam Bahasa Melayu, terutama sekali di atas pentas, saya dapat memahami perasaan pelajar yang berasa gementar sebelum pertandingan,” katanya.

Menurut beliau, detik yang paling bermakna ialah apabila peserta yang pernah menyertai Bahas 4PM kembali bertanding pada tahun-tahun berikutnya atau menyertai jawatankuasa penganjur bagi membimbing generasi baharu.

Encik Kamal merupakan antara dua individu yang dilantik sebagai Duta Bahasa 2026 dalam Sidang Media Bulan Bahasa 2026 yang berlangsung di Perpustakaan Negara pada 17 Julai.

Sebagai Duta Bahasa, beliau berharap dapat terus memartabatkan seni perbahasan dan pidato Melayu sebagai wadah membina keyakinan, mengasah daya fikir kritis serta menggalakkan lebih ramai belia menghargai keindahan Bahasa Melayu.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam usaha menguasai bahasa ibunda.

“Garis permulaan kita tidak akan menentukan garis penamat kita,” katanya.