Bagi pelajar tahun enam di Institusi Raffles (RI), Fatih Hamdani Muhammad Effendy, bahasa Melayu bukan sekadar mata pelajaran peperiksaan, malah sebahagian daripada dirinya.
Kini bergelar Duta Bahasa 2025 di bawah Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), pelantikan Fatih, 18 tahun, mencerminkan dedikasinya dalam memperjuangkan bahasa Ibunda dengan pendekatan yang mesra, kreatif dan menyenangkan.
Fatih memulakan perjuangannya itu dengan mencipta permainan bahasa dan teka-teki sebagai cabaran santai untuk rakan-rakannya.
“Bukan sebagai ujian, tapi apabila mereka seronok, mereka lebih terbuka menggunakan bahasa Melayu tanpa rasa takut salah,” jelasnya.
Bagi Fatih, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi saluran identiti.
“Agama dan bahasa sering kali saling melengkapi. Saya mendapati bahawa bahasa mampu menyampaikan nilai-nilai murni yang tertanam dalam budaya Melayu, agama Islam dan sistem moral.
“Semua ini menjadi panduan hidup saya seperti yang tercermin dalam peribahasa yang sarat dengan pengajaran,” tambahnya.
Sebagai presiden Persatuan Budaya Melayu RI pada 2024, Fatih aktif menganjurkan program bagi merakyatkan bahasa Melayu seperti bengkel tarian, permainan tradisional dan projek penglibatan masyarakat, Projek Permata, yang merupakan kerjasama dengan Era Dance Theatre bagi memperkenalkan tarian Melayu kepada murid sekolah rendah.
Beliau turut menjuarai pertandingan, TeeVers Podcast 2024, menjadi pengacara dalam majlis penghargaan Bulan Bahasa dan menghasilkan kandungan media sosial menarik dalam bahasa Melayu.
Usahanya diiktiraf melalui penganugerahan Biasiswa Elektif Bahasa Melayu oleh Kementerian Pendidikan (MOE) – satu penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan prestasi tinggi dan komitmen terhadap bahasa dan budaya Melayu.
Fatih turut menyedari cabaran generasi muda hari ini iaitu ramai yang menyifatkan bahasa Melayu mereka “tidak cukup bagus” dan takut ditegur.
“Tapi bahasa tak perlu sempurna untuk digunakan. Yang penting, kita raikan usaha,” katanya.
Di rumah, Fatih bertutur dalam bahasa Melayu bersama keluarganya.
Di sekolah pula, beliau berusaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakan-rakan, antaranya dengan mencetuskan cabaran untuk berbual dalam bahasa Melayu sepanjang hari.
“Kegiatan dan cabaran yang menyeronokkan seperti ini boleh menjadikan bahasa Melayu lebih menarik, selain kaedah konvensional seperti mendengar lagu atau menonton filem Melayu.
“Langkah kecil seperti ini dapat membantu membiasakan penggunaan bahasa,” jelasnya.
Sebagai Duta Bahasa, Fatih mahu menjadi jambatan membuka ruang untuk bahasa Melayu berkembang secara organik, bukan paksaan.
“Saya mahu cipta alat seperti permainan, kuiz atau video supaya anak muda rasa bahasa Melayu itu milik mereka juga,” katanya.
Baginya, cinta terhadap bahasa bukan sekadar warisan, tetapi pilihan harian, dan dengan pilihan-pilihan itulah, Fatih percaya bahasa Melayu akan terus hidup dalam jiwa anak muda Singapura.
“
“... bahasa tak perlu sempurna untuk digunakan. Yang penting, kita raikan usaha... Saya mahu cipta alat seperti permainan, kuiz atau video supaya anak muda rasa bahasa Melayu itu milik mereka juga... apabila mereka seronok, mereka lebih terbuka menggunakan bahasa Melayu tanpa rasa takut salah.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg