Sarawak bukan sekadar popular dengan rumah panjang dan masyarakat Dayaknya. Ia juga kaya dengan keindahan Borneo moden.
Masyarakat berbilang budaya Singapura dijemput merasai semangat Sarawak yang membara di acara Sarawak Mega Fair 2025, yang fokus kepada pelaburan, perdagangan dan pelancongan, di Suntec City. Acara itu merangkumi Persidangan Perniagaan dan Pameran Perdagangan Sarawak dari 16 hingga 17 Oktober serta Karnival dan Gastronomi Sarawak dari 16 hingga 19 Oktober.
Persidangan itu diadakan di Aras 3 Pusat Persidangan dan Pameran Suntec Singapore bagi peserta berdaftar (pendaftaran percuma), sementara Karnival dan Gastronomi Sarawak di Pusat Persidangan Atrium dan Tower 1 & 2 Suntec City, bertentangan kedai Uniqlo dan H&M serta berdekatan Exit A Esplanade MRT, bagi orang awam secara percuma.
Sarawak Mega Fair 2025 menghidangkan peluang perniagaan, kebudayaan dan keindahan alam semula jadi negeri terbesar di Malaysia itu, yang juga digelar Bumi Kenyalang. Ia dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak dan dikendalikan oleh Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (Statos).
“Acara ini menampilkan gabungan dinamik pameran kebudayaan, forum perniagaan, dan sesi interaktif yang direka untuk menarik minat orang ramai daripada semua lapisan masyarakat dan latar belakang etnik di Singapura, dan kami ingin pasaran Melayu di Singapura memahami lebih lanjut tentang slogan terkenal ‘Bumi Kenyalang’,” jelas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Trade & Tourism Co Pte Ltd, Cik Putrie Rozana Soraya Roslan.
Karnival dan Gastronomi Sarawak
Pengunjung akan dapat menikmati promosi pelancongan eksklusif dan pengalaman budaya bertenaga yang menampilkan persembahan secara langsung, demonstrasi kraf tradisional dan aktiviti interaktif sepanjang Karnival dan Gastronomi Sarawak.
Ia kemuncak Sarawak Mega Fair 2025 dan menampilkan lebih 50 peserta, termasuk ejen pelancongan, seperti Azza Travel, yang fokus kepada pelancongan Muslim; pemilik produk pelancongan, seperti perkampungan budaya Sarawak; pelancongan golf, yang mempromosikan padang golf 18 lubang di Kuching, seperti Kelab Golf Sarawak dan Damai Golf & Country Club, serta Miri, seperti Golf & Country Club Eastwood Valley dan Kelab Golf Miri.
Hotel-hotel pula turut mempromosikan pakej di dua tapak warisan dunia Unesco di Sarawak – Taman Negara Gunung Mulu dan Sutera Sanctuary Lodge di Taman Negara Niah – serta di bandar Kuching, Sibu dan Bintulu.
Sorotan menarik lain di pameran itu termasuk peluang bergambar bersama pahlawan dan dayang Sarawak, permainan trivia, dan peluang memenangi pakej percutian di Kuching, Miri, Mulu dan Sibu untuk dua orang, tiket kapal terbang ke Sarawak serta tiket ke Rainforest World Festival Muzik 2026.
Pengunjung juga berpeluang menikmati persembahan kebudayaan seperti persembahan muzik tradisional sape dan seruling hidung, persembahan tarian etnik oleh Majlis Seni Sarawak, dan demonstrasi secara langsung tatu suku kaum dan batik Sarawak.
Pengunjung juga boleh mencuba makanan dan membeli barang makanan terkenal Sarawak, seperti laksa Sarawak, jus buah-buahan Sundrop, teh susu tiga lapis Sarawak, kopi C istimewa, lada Sarawak, kek lapis terung asam, beras bali keladi, sarang burung, gula apong tempe, sambal ikan tahai, coklat Sarawak, dan granola.
Promosi Pelancongan & Kebudayaan di Aras 3
Pada 17 Oktober, acara Alami Sarawak: Permata Tersembunyi Borneo (Experience Sarawak: Borneo’s Hidden Gem) di Aras 3 Pusat Persidangan dan Pameran Suntec Singapore memberi tumpuan kepada Sarawak sebagai destinasi kaya dengan budaya, mesra alam dan mesra keluarga.
Selain pameran oleh peniaga pelancongan, panel tentang kebudayaan, pengembaraan, alam semula jadi, perayaan dan masyarakat pelancongan, ia juga mempromosikan Program Rumah Keduaku Sarawak Malaysia (S-MM2H).
Sarawak destinasi ideal bagi lawatan sekolah
Dengan penerbangan hanya lebih kurang sejam dari Singapura, Sarawak menawarkan persekitaran mesra, kaya budaya dan selamat, sekali gus menjadikannya sempurna untuk lawatan sekolah dan keluarga. Ia juga sebuah destinasi dalam kemampuan ramai.
Cik Putrie Rozana berkata: “Kami bekerjasama dengan sekolah rendah dan menengah, sekolah antarabangsa, rakan kongsi pengajian tinggi seperti politeknik serta universiti di Singapura, yang membawa kumpulan sekolah ke Sarawak.”
“Pameran Sarawak Mega Fair 2025 lebih daripada sebuah acara pelancongan. Ia adalah platform untuk persefahaman budaya bersama, kerjasama ekonomi dan penemuan pendidikan. Tidak kira apa latar belakang anda, baik Melayu, Cina, India, Serani mahupun atau sembarang kaum lain, Sarawak mengalu-alukan semua dengan tangan terbuka,” tambah beliau, yang turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke pameran ini.
MAKLUMAT:
Bagi pihak berminat, sila e-mel kepada putrie.rozana@statos.com.sg
Untuk keterangan lanjut tentang pameran ini, sila lungsuri laman: https://sarawakmegafair2025.statos.com.sg/event/smf2025
Anda juga boleh menghubungi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura di 80 Robinson Road. Pejabat ini bekerjasama dengan pelbagai ejen dan rakan strategik, termasuk media Melayu-Islam, bagi mempromosikan destinasi pelancongan mesra keluarga ke Kuching, Miri dan Mulu di Sarawak.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg