Gred kebersihan makanan sebuah restoran bufet di Hotel Shangri-La diturunkan daripada ‘A’ kepada ‘C’ selepas 10 pelanggannya sakit setelah makan malam di sana pada akhir 2022.
Mereka mengalami gejala gastroenteritis selepas makan di restoran The Line pada 26 Disember, kata Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat. Dua daripada mereka dihantar ke hospital. Gejala gastroenteritis, atau radang perut dan usus, termasuk cirit-birit dan muntah.
Dalam satu operasi bersama, SFA dan Kementerian Kesihatan tidak mendapati sebarang pelanggaran kebersihan semasa pemeriksaan pada 30 Disember 2022.
Bagaimanapun, SFA menurunkan gred kebersihan makanan restoran itu selama 12 bulan, bermula 8 September, serta meletak premis itu di bawah pengawasan.
Ketika dihubungi The Straits Times, jurucakap Shangri-La Singapura berkata hotel itu dengan segera menyemak dan menukar pembekal makanan lautnya selepas menerima maklum balas daripada pelanggan yang jatuh sakit setelah memakan makanan laut yang dihidangkan pada 26 Disember.
Hotel itu, yang terletak di Orange Grove Road, juga memohon maaf kepada pelanggan terjejas dan membuat susulan mengenai kesejahteraan mereka.
“Kami ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa ini insiden terpencil... Walaupun tidak ada pelanggaran kebersihan dikenal pasti oleh pihak berkuasa selepas itu, kami telah memperkukuh lagi amalan keselamatan dan kebersihan makanan kami,” tambah jurucakap itu.
Dalam kenyataan itu, SFA mengingatkan pengusaha makanan agar mempraktik amalan keselamatan makanan baik setiap masa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg