Ratusan pegawai polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB) menyokong operasi pencegahan vape yang dijalankan oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA), termasuk memburu sindiket.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) turut mempertingkat tahap penguatkuasaan di pusat pemeriksaan, dan hampir 700 pegawai daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan diberi kuasa mengambil tindakan terhadap pengguna vape.
Langkah itu menunjukkan komitmen pemerintah dalam menangani masalah vape di Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Pada 28 Ogos, dalam sidang media mengenai langkah terbaru pemerintah menentang vape, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata:
“Pegawai daripada mana-mana agensi diberi kuasa mengambil tindakan terhadap pengguna vape. Ini adalah pendekatan menyeluruh.”
Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, menyatakan sebahagian kecil daripada sekitar 700 pegawai itu akan dihantar untuk membantu HSA dalam operasi tersebut.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang turut hadir pada sidang media, menambah bahawa agensi lain seperti Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Pengawalan Perjudian (GRA), serta syarikat pengangkutan awam turut menyertai usaha memerangi vape.
Jurucakap Kementerian Pertahanan (Mindef) pula berkata mereka menyokong penuh usaha pemerintah itu dan telah mempertingkat pemeriksaan penguatkuasaan.
Rangka tindakan tentera juga dipertingkat bermula 1 September.
Hukuman bagi anggota yang ditangkap memiliki vape atau Kpod boleh merangkumi denda atau tahanan, dan anggota tetap boleh dibuang perkhidmatan.
Mulai 1 September, kesalahan berkaitan vape akan disenaraikan di bawah beberapa undang-undang seperti Akta Jenayah Terancang (OCA), Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha) dan Akta Rasuah, serta Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) (CDSA).
Ini memberikan kuasa kepada pegawai daripada pelbagai agensi mengambil tindakan terhadap penjual, penyeludup dan sindiket vape, serta menghapuskan kandungan vape dalam talian dan merampas hasil penjualan vape.
Bagi etomidate, yang kini dikawal di bawah Akta Racun, penalti sehingga dua tahun penjara dan denda sebanyak $10,000 boleh dikenakan bagi pemilikan, penggunaan dan pengedaran.
Namun mulai 1 September hingga 28 Februari 2026, ia akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C sementara di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA).
Ini bermakna pengimport Kpod (vape yang dicampur dengan etomidate) boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara dan 15 sebatan. Penjual dan pengedar turut menghadapi hukuman lebih berat.
Pengguna Kpod yang pertama kali ditangkap akan dikenakan denda lebih tinggi, iaitu $500 untuk mereka di bawah 18 tahun, $700 untuk dewasa, serta menjalani pemulihan sehingga enam bulan.
Sekiranya ditangkap lagi, mereka akan ditahan dan diawasi secara mandatori selama enam bulan.
Jika ditangkap kali ketiga dan seterusnya, mereka akan dihantar ke Pusat Pemulihan Dadah (DRC) selama 12 bulan.
Mereka yang berusia bawah 16 tahun tidak akan dimasukkan ke DRC tetapi akan diawasi termasuk melalui ujian dadah selama 12 bulan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg