Seorang hakim Mahkamah Negara membayangkan kemungkinan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan vape berdasarkan sentimen orang ramai.
Hakim Daerah Wong Li Tein, pada 21 Ogos, mendengar kes seorang wanita yang didakwa membantu individu lain membeli lima peranti vape melalui WhatsApp.
Semasa prosiding, seorang pendakwa raya Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyatakan wanita itu telah diingatkan dua kali mengenai tarikh perbicaraan mahkamahnya tetapi tidak dapat dihubungi oleh pegawai penyiasat, lapor The Straits Times (ST).
Pendakwa raya kemudian meminta waran tangkap selepas Nicole Lorraine Rodrigues, 32 tahun, gagal hadir di mahkamah.
Hakim Daerah Wong berkata beliau akan menangguhkan kes itu walaupun tertuduh telah hadir.
Ini bagi membolehkan pihak pendakwa HSA menyemak semula hujahan untuk menjatuhkan hukuman.
“Kes-kes yang melibatkan vape telah menarik banyak perhatian orang ramai, dan ia tidak lagi sesuai untuk bergantung pada kes-kes sebelum ini,” kata Hakim Daerah Wong.
Menurutnya, kes-kes yang didakwa sejak 2024 “tidak lagi sama” dengan kes-kes yang sedang dibicarakan di mahkamah sekarang, berikutan perhatian umum yang kian meningkat.
Pertimbangan itu tambah beliau, perlu digunakan untuk semua kes vape, bukan hanya yang melibatkan Kpod.
“Kita perlu melihat semula hujahan hukuman bagi kes-kes ini kerana ia tidak selaras dengan sentimen awam sekarang ini,” katanya.
Beliau turut akur sabitan kesalahan buat masa ini, mengakibatkan hukuman penjara yang rendah atau denda.
“Jika saya menjatuhkan hukuman hari ini, dan disiarkan dalam The Straits Times esok bahawa hukuman penjara atau denda yang rendah diberikan, saya pasti akan ada bantahan awam.
“Selain daripada Kpod – jika anda melihat vape secara umum – ia juga merupakan sesuatu yang amat dibimbangi orang ramai, terutama dengan golongan muda menjadi sasaran.
“Kita boleh mengetepikan kes-kes terdahulu mulai sekarang,” tambahnya.
Di bawah undang-undang kini, mereka yang didapati memiliki, menggunakan atau membeli vape boleh didenda sehingga $2,000.
Sesiapa yang mengedar, mengimport atau menjual vape dan komponennya boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $10,000.
Mereka yang didapati memiliki atau menggunakan vape yang mengandungi etomidate – bahan yang kini dikawal di bawah Akta Racun – boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga $10,000.
Dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata tindakan lebih tegas akan diambil terhadap kesalahan berkaitan vape.
Beliau berkata pemerintah akan menganggap vape sebagai isu dadah kerana denda yang dikenakan tidak lagi mencukupi.
Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) berkata ia akan menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Ini bermakna pengguna boleh tertakluk kepada pengawasan dan menjalani program pemulihan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dadah.
Bagi kes berulang, mereka boleh dipenjara sekurang-kurangnya setahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg