Rakyat Singapura akan menerima rebat cukai hartanah sekali sahaja sebanyak 15 peratus bagi flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang diduduki pemilik pada 2026, bagi membantu mengurangkan kesan kenaikan cukai hartanah.
Mereka yang tinggal di rumah privet yang diduduki pemilik juga akan menerima rebat sebanyak 10 peratus, dengan had maksimum $500, menurut kenyataan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) pada 28 November.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kenaikan cukai hartanah bagi rakyat Singapura, di tengah-tengah keadaan pasaran sewa rumah yang semakin stabil dengan peningkatan kadar sewa yang sederhana, menurut kenyataan itu, lapor The Straits Times (ST).
Rebat tersebut akan ditolak secara automatik daripada cukai hartanah yang perlu dibayar dalam bil cukai hartanah 2026, yang akan diterima pemilik mulai Disember 2025.
Cukai hartanah dikira berdasarkan nilai tahunan hartanah, iaitu anggaran sewa setahun yang boleh diperoleh jika hartanah tersebut disewakan.
Pemerintah telah memberikan rebat serupa pada 2024 untuk membantu mengurangkan kebimbangan kos sara hidup bagi pemilik rumah.
Pemilik rumah yang tinggal di flat HDB tiga bilik dan lebih besar akan dikenakan kenaikan cukai hartanah purata sebanyak $2 hingga $3 sebulan selepas rebat cukai tersebut.
Pemilik flat HDB satu dan dua bilik akan terus dikecualikan daripada membayar cukai hartanah.
Separuh daripada pemilik rumah privet yang diduduki pemilik akan melihat kenaikan cukai hartanah kurang daripada $6 sebulan selepas rebat.
Bagi yang lain, mereka akan mengalami kenaikan cukai yang lebih tinggi, yang kebanyakannya melibatkan hartanah persendirian bernilai lebih tinggi, menurut kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg