Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 dalam 10 warga emas pilih tinggal di flat HDB sendiri

Nov 27, 2025 | 1:16 PM
Jenis perumahan yang paling popular dalam kalangan warga emas ialah flat tiga bilik, yang dipilih oleh sebanyak 28.8 peratus.
Jenis perumahan yang paling popular dalam kalangan warga emas ialah flat tiga bilik, yang dipilih oleh sebanyak 28.8 peratus. - Foto fail

Lebih daripada 8 dalam 10 warga emas, iaitu sebanyak 85.9 peratus, berhasrat untuk terus tinggal di flat sedia ada mereka.

Jika warga emas memerlukan bantuan untuk menjalani aktiviti harian, mereka lebih memilih untuk menua di rumah sendiri dengan bantuan penjagaan daripada ahli keluarga, pembantu rumah, atau sokongan profesional.

Pada 2023/24, isi rumah warga emas merangkumi kira-kira satu pertiga atau 31.0 peratus daripada semua isi rumah penduduk yang tinggal di flat HDB, meningkat daripada satu perempat atau 25.6 peratus pada 2018.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mendedahkan perangkaan itu pada 25 November, yang diperolehi menerusi Tinjauan Sampel Isi Rumah 2023/24 yang dilakukannya setiap lima tahun.

“Dengan penduduk Singapura yang semakin tua, HDB akan terus menyediakan pelbagai pilihan perumahan dan mewujudkan persekitaran hidup yang selamat dan selesa untuk warga emas,” kata HDB dalam satu kenyataan.

Jumlah warga emas yang berusia 65 tahun ke atas juga dilaporkan meningkat, membentuk hampir 1 dalam 5 atau 18.2 peratus penduduk HDB.

Ini hampir dua kali ganda jumlah warga emas pada 2013 yang sebanyak 10.4 peratus.

Tinjauan itu melibatkan sekitar 7,000 penghuni di semua estet dan bandar HDB, dan sekitar 1600 penghuni bersendiri dan dilakukan antara October 2023 dengan April 2024.

Penghuni bersendirian merujuk kepada golongan bujang warga Singapura yang menghuni flat HDB yang dijual atau flat HDB awam yang disewa, dan berusia 21 tahun hingga 54 tahun.

Dalam pada itu, sebahagian kecil warga emas atau sebanyak 14.1 peratus menyatakan hasrat untuk menukar kepada flat yang lebih kecil bagi memudahkan penyelenggaraan atau untuk pendapatan tambahan.

Jenis perumahan yang paling popular dalam kalangan warga emas ialah flat tiga bilik, yang dipilih oleh sebanyak 28.8 peratus.

Di samping itu, sekitar 1 dalam 5 isi rumah warga emas memilih flat dua bilik, meningkat daripada 1 dalam 9 warga emas atau 11.8 peratus pada 2018.

Pilihan bagi flat empat bilik dan lebih besar juga merosot daripada 45.4 peratus pada 2018, kepada 36.9 peratus pada 2023/2024.

Warga emas yang memilih flat satu bilik kekal hampir sama antara pada 1.1 peratus pada 2018 dan 1.3 peratus pada 2023/24.

Jumlah yang memilih hartanah persendirian juga kekal hampir sama pada 0.4 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2023/24, manakala jenis perumahan lain, seperti rumah jagaan, menunjukkan peningkatan daripada 1.6 peratus pada 2018 kepada 3.6 peratus pada 2023/24.

Selain itu, 6.0 peratus isi rumah warga emas juga memilih untuk menyewa pada 2023/24, hampir sama dengan 6.7 peratus yang dilaporkan pada 2018.

HDB menambah ia akan terus menawarkan projek Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), dengan projek keenam yang akan dilancarkan di Toa Payoh pada 2026.

CCA menyepadukan perumahan mesra warga emas dengan keperluan penjagaan.

Sebanyak 1.4 peratus isi rumah warga emas menyatakan pilihan terhadap jenis perumahan CCA, kata HDB.

Pada Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong mengumumkan bahawa pemerintah akan melancarkan Age Well Neighbourhoods atau Kejiranan Sihat Menua bermula di Toa Payoh, yang juga inisiatif baru bagi menyokong warga emas meniti usia di kawasan yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg