Lima beg plastik hitam besar berisi pakaian dan barangan lain ‘duduk’ tersadai di tepi tembok ruang tamu.

Saya dan suami saling pandang satu sama lain, pastinya terdetik dalam benak fikiran masing-masing:

“Sejak bila kami beli barang banyak bertimbun macam ni?”

Itulah senario setiap hujung tahun, tahun demi tahun, apabila kita bergotong-royong bersihkan seluruh rumah.

Setiap kali kemas rumah, bukan sekadar habuk yang kita sapu, malah kita turut ‘menyapu’ segala bukti kesilapan kewangan dan tabiat berbelanja secara melulu sepanjang 12 bulan yang lalu.

Kasut dalam kotak yang belum pernah disentuh, pakaian yang masih lagi ada tanda harga, botol air yang digunakan sekali sahaja – kesemuanya dimasukkan ke dalam beg plastik hitam yang disebutkan awal tadi untuk didermakan atau dikitar semula, kerana semuanya tidak ada gunanya atau tidak lagi diperlukan kami.

Lambakan barang ini hanya kita nampak apabila terpaksa mengemas, dan bukannya semasa membeli dan membawanya pulang ke rumah.

Persoalannya – mengapakah begitu mudah kita terperangkap dalam tabiat berbelanja secara melulu ini, walhal kita tahu ia sebenarnya tidak diperlukan dan akhirnya akan menjadi satu beban dan pembaziran?

Mungkin ada beberapa faktor yang menyumbang kepada tabiat ini, namun sebab utama bagi saya secara peribadi adalah algoritma media sosial yang menarik saya masuk ke alam pesta jualan murah – daripada diskaun Hari Raya hingga ke 11.11, Black Friday dan sebagainya.

Mata tak lekang pandang skrin yang memaparkan pelbagai barang – semuanya nampak cantik, semuanya nampak penting dan diperlukan, dan yang penting, semuanya murah dan ada diskaun!

Tetapi sayangnya, saya tahu pada penghujung tahun nanti, sebahagian besar barang yang dibeli ini akan diberikan kepada orang lain atau dimasukkan ke dalam beg plastik hitam untuk dikitar semula.

Jika difikirkan dari sudut kewangan, pastinya ratusan, bahkan boleh cecah ribuan duit habis dibuatnya akibat tabiat buruk ini.

Oleh itu, apakah yang saya lakukan untuk membendung perbelanjaan secara melulu ini?

Saya amalkan dua langkah – pertama, masukkan dulu barang yang ingin dibeli ke dalam ‘cart’ tetapi tidak ditekan beli dahulu.

Saya tunggu selama dua atau tiga hari.

Kalau saya tidak teringatkan lagi barang itu, maknanya keinginan itu sudah hilang dan saya sebenarnya tidak perlukan barang tersebut.

Kedua, jika saya akhirnya beli juga barang tersebut, maka barang lama yang ada di dalam rumah harus dilepaskan.

Ini memaksa saya berfikir dua kali sebelum membeli.

Apa yang penting di sini adalah untuk mengingatkan diri saya bahawa matlamatnya adalah untuk menolak dan mengurangkan perbelanjaan bagi barang yang tidak penting dan tidak diperlukan.

Bukan sahaja kita dapat mengurangkan pembaziran, kita juga dapat menyelamatkan kocek kita.

Perlu kita ingatkan pada diri sendiri bahawa langkah mendermakan ataupun mengitar semula barangan harus menjadi benteng pertahanan terakhir, bukan pertama; kitar semula bukan jawapan mutlak kepada barangan yang diikat di dalam beg plastik hitam pada hujung tahun.

Sering kali, timbul rasa lega palsu apabila kita mengikat beg plastik hitam berisi barangan untuk diberikan kepada orang lain atau dikitar semula.

Pernah terdetik dalam fikiran saya: “Sekurang-kurangnya, aku sumbangkan pakaian kepada orang yang memerlukan.”

Namun hakikatnya, menghantar barang ke tong kitar semula atau menderma bukan tiket bebas rasa bersalah, kerana kebanyakan barang akhirnya tetap menjadi sisa tapak pelupusan.

Lebih menyedihkan, sebahagian besar barangan yang ‘didermakan’ dengan penuh harapan itu bukanlah rezeki buat orang lain, sebaliknya menjadi beban logistik kepada pihak kebajikan.

Oleh itu, fikirkan dua, tiga kali terlebih dahulu sebelum membuat bayaran di kaunter mahupun menekan butang ‘beli sekarang’ di aplikasi telefon bimbit anda.

Apakah kita mahu secara berterusan mengulangi tabiat berbelanja secara melulu, mengumpul barang tanpa menggunakannya, membuangnya kemudian, dan menyesal setiap hujung tahun?

Tepuk dada, tanya kocek.

“

Perlu kita ingatkan pada diri sendiri bahawa langkah mendermakan ataupun mengitar semula barangan harus menjadi benteng pertahanan terakhir, bukan pertama; kitar semula bukan jawapan mutlak kepada barangan yang diikat di dalam beg plastik hitam pada hujung tahun.
Penulis.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti