Topik diikuti
Pergi ke BHkuMemiliki lesen motosikal satu tanggungjawab, bukan sekadar kebebasan
Sikap bertanggungjawab dan timbang rasa penting ketika di jalan raya, lindungi keselamatan nyawa
Memiliki lesen motosikal satu tanggungjawab, bukan sekadar kebebasan
Saya mengambil masa selama 10 tahun – malah sehingga sudah berkahwin – hanya untuk meyakinkan ibu saya bahawa memiliki lesen motosikal bukanlah keputusan melulu, tetapi sesuatu keperluan praktikal.
Dengan motosikal, tugasan pelaporan berita dari satu lokasi ke lokasi lain pasti lebih pantas, urusan harian keluarga lebih mudah dijalankan dan saya tidak terikat oleh waktu ulang-alik pengangkutan awam.
Tambahan pula, ia merupakan impian peribadi saya untuk menunggang motosikal jenis cafe racer dengan penuh bergaya.
Menariknya, ibu bapa saya sendiri pernah menikmati semua kebebasan itu sehingga saya dilahirkan.
Mereka menghabiskan usia 20-an tahun menunggang motosikal Yamaha RX-Z dan RX-K, model motosikal yang dianggap sebagai legenda dalam kalangan penunggang hingga ke hari ini.
Mereka berkongsi pelbagai kisah manis zaman muda.
Antara yang paling mencuit hati saya adalah kenangan pulang ke Singapura selepas membeli barangan dapur di Johor Bahru.
Bapa saya sering berseloroh tentang kegigihan ibu saya mengimbangi dua botol minyak masak lima liter di atas motosikal, dari Johor Bahru hingga ke Chai Chee.
Namun, nostalgia lucu itu juga diselubungi bayang-bayang tragedi.
Pada zaman 1990-an, bapa saya pernah kehilangan beberapa sahabat dalam nahas jalan raya.
Masa sudah berlalu, tetapi penunggang motosikal kekal sebagai kelompok paling terdedah kepada bahaya di jalan raya.
Penunggang motosikal terlibat dalam lebih separuh kes kemalangan jalan raya, menurut perangkaan Polis Trafik.
Tidak hairanlah ibu saya enggan memberi restu menunggang motosikal sehingga baru-baru ini.
Menjelang ujian Polis Trafik praktikal yang terakhir, keterujaan saya bercampur baur dengan rasa insaf.
Lesen menunggang motosikal bukan sekadar tentang kemudahan atau gaya di atas jalan, malah satu amanah besar untuk sentiasa mencari keseimbangan antara mengejar kebebasan dan memikul tanggungjawab melindungi nyawa.
Menurut laporan tahunan 2025 oleh Polis Trafik, penunggang motosikal hanya membentuk sebanyak 15 peratus daripada keseluruhan jumlah kenderaan.
Namun, penunggang dan pembonceng motosikal terlibat dalam 54.8 peratus semua kemalangan jalan raya dan membentuk 53.0 peratus kemalangan maut di jalan raya pada 2025.
Jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal meningkat daripada 3,973 kes pada 2024 kepada 4,227 kes pada 2025 – iaitu peningkatan 6.4 peratus.
Bagaimanapun, jumlah kematian penunggang dan pembonceng motosikal menurun sebanyak 7.1 peratus, daripada 85 orang pada 2024 kepada 79 orang pada 2025.
Trend yang serupa kekal dalam separuh pertama 2026, dengan penunggang dan pembonceng motosikal terlibat dalam 55.6 peratus semua kemalangan jalan raya.
Golongan ini turut merangkumi 45.9 peratus daripada keseluruhan kematian di jalan raya, iaitu kelompok pengguna jalan raya yang tertinggi bagi separuh pertama 2026.
Terdapat perkembangan positif yang mana jumlah kematian penunggang dan pembonceng motosikal merosot sebanyak 34.9 peratus pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh sama pada 2025.
Perangkaan itu mencetus kebimbangan, namun motosikal tetap menjadi pilihan segolongan pengguna jalan raya yang cukup besar.
Bagi pekerja penghantaran seperti Grab dan Foodpanda, motosikal merupakan sumber pendapatan seharian.
Lagipun, dengan harga Sijil Hak Milik Kenderaan (COE) bagi kereta yang mencecah lebih $130,000, memiliki motosikal ternyata jauh lebih berpatutan bagi mereka yang menginginkan pengangkutan peribadi.
Harga bagi motosikal Kelas 2B dan COE berharga sekitar $20,000.
Selain itu, penunggang motosikal boleh menyelit di celah-celah kenderaan ketika waktu sibuk atau semasa jalan raya sesak.
Jika saya ingin menikmati manfaat seperti itu, saya benar-benar perlu berhati-hati ketika menunggang di jalan raya.
Mujur bagi saya, saya dikelilingi ramai penunggang motosikal berpengalaman, daripada bapa, bapa mentua, abang ipar sehinggalah sahabat karib saya yang sentiasa berkongsi petua yang berguna dalam perjalanan memiliki lesen.
Namun, secara jujur, perasaan bimbang tetap sukar dipadam sepenuhnya.
Kemalangan maut baru-baru ini di Tampines menjadi peringatan pedih bahawa penunggang motosikal tetap golongan yang terdedah kepada bahaya, biarpun pelbagai langkah keselamatan sudah diambil.
Saya akhirnya memahami hakikat itu setelah menjadi pelajar yang mengambil lesen motosikal selepas memandu kereta selama lebih enam tahun.
Sebagai penunggang motosikal, kami lebih terdedah kepada bahaya kenderaan lain.
Tiada sebarang pengadang antara tubuh dengan kenderaan lain atau jalan raya sekiranya berlaku nahas.
Berada di tempat pemandu kereta dan kini di atas dua roda membuka mata saya tentang pentingnya sikap bertimbang rasa ketika di jalan raya.
Tidak kira kenderaan, tiada alasan untuk pemandu kereta atau penunggang motosikal bersikap lalai atau memandu secara bahaya.
Bersabarlah di jalan raya. Rancang perjalanan lebih awal supaya tidak kelam-kabut mengejar masa.
Paling penting, jangan biarkan tumpuan terganggu hanya kerana sekilas pandang pada skrin telefon bijak.
Sikap bertanggungjawab seperti ini mampu menjamin setiap nyawa kembali kepada keluarga kesayangan setiap hari.
Sekurang-kurangnya, saya tidak akan sia-siakan restu yang diberi ibu saya untuk menunggang motosikal.
“
Sebagai penunggang motosikal, kami lebih terdedah kepada bahaya kenderaan lain. Tiada sebarang pengadang antara tubuh dengan kenderaan lain atau jalan raya sekiranya berlaku nahas. Berada di tempat pemandu kereta dan kini di atas dua roda membuka mata saya tentang pentingnya sikap bertimbang rasa ketika di jalan raya.