Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Relawan ambil masa 2 minggu bersihkan rumah dengan barang bertimbun

Feb 2, 2025 | 5:30 AM
Mentor dan bekas penghuni Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Encik Azhari Shariff, yang sering membersih beberapa rumah penerima manfaat di bawah inisiatif ‘Project Happiness’, tidak asing dengan keadaan rumah yang sempit dan penuh dengan barang-barang usang.
Mentor dan bekas penghuni Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Encik Azhari Shariff, yang sering membersih beberapa rumah penerima manfaat di bawah inisiatif ‘Project Happiness’, tidak asing dengan keadaan rumah yang sempit dan penuh dengan barang-barang usang. - Foto JAMIYAH SINGAPURA

Langkah pertama memasuki rumah yang dipenuhi timbunan barang bukanlah tugas yang mudah.

Ruang tamu yang seharusnya luas dan selesa berubah menjadi lorong sempit yang dipenuhi dengan longgokan plastik, perabot lama dan barang-barang usang yang sudah tidak digunakan.

Bagi Encik Azhari Shariff, 59 tahun, keadaan itu bukan sesuatu yang asing.

Sebagai mentor dan bekas penghuni di Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), beliau telah membantu membersihkan dan menyusun atur beberapa rumah penerima manfaat di bawah inisiatif ‘Project Happiness’.

Encik Azhari, kini sudah lebih setahun setengah menjadi mentor di Darul Islah, berkongsi bahawa ketika kali pertama melangkah masuk ke rumah penerima manfaat, keadaan yang bersepah sering kali menyukarkan pergerakan.

“Kadang-kadang nak berjalan pun susah kerana terlalu banyak barang bertimbun di lantai dan di setiap sudut rumah.

“Kami biasanya mengambil masa selama dua minggu untuk membersihkan dan mengemas rumah tersebut,” ujarnya.

Selain mengemas dan membersih rumah, Encik Azhari dan pasukannya, yang terdiri daripada lima hingga enam penghuni Darul Islah, juga melakukan kerja-kerja mengecat dinding dan pagar pintu.

Menurutnya, proses mengecat mengambil masa kira-kira tiga hari.

Selain itu, mereka membersihkan lantai, mencuci tandas, dan melakukan pelbagai kerja pembersihan lain untuk memastikan rumah tersebut lebih selesa didiami.

Namun, cabaran utama dalam proses pembersihan bukan sekadar kerja fizikal, tetapi juga aspek emosi apabila berdepan dengan pemilik rumah yang sukar melepaskan barang-barang mereka.

“Barang yang tidak diperlukan seperti sampah, peralatan dapur berkarat dan beg plastik sering kali ingin kami buang, tetapi pemilik rumah meminta kami untuk tidak membuangnya.

“Mereka sukar untuk berpisah dengan barang-barang itu walaupun sudah rosak.

“Bila saya tanya kenapa, mereka kata kerana barang seperti perabot lama, mesin jahit, peralatan dapur sudah lama dengan mereka dan ada nilai sentimental,” jelas Encik Azhari.

Sepanjang penglibatannya dalam Project Happiness, Encik Azhari sudah lima kali terlibat dalam kerja-kerja pembersihan rumah penerima manfaat, yang terdiri daripada warga emas dan keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di flat sewa serta flat dua hingga tiga bilik.

Dilancarkan pada 2019, ‘Project Happiness’ merupakan sebuah projek jangkauan masyarakat yang dianjurkan oleh Darul Islah.

Inisiatif itu memberi peluang kepada penghuni dan bekas penghuni Darul Islah untuk berganding bahu melakukan kerja-kerja pembersihan dan menceriakan kediaman individu atau keluarga berpendapatan rendah, khususnya menjelang perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.

Bagi Encik Azhari, pengalamannya terlibat dengan Project Happiness mengajarnya bahawa kebahagiaan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli.

“Apabila saya berjaya membuat seseorang tersenyum dan gembira, saya pun turut berasa gembira kerana dapat menyumbang kepada masyarakat.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terlibat dalam kerja-kerja sukarela atau amal, jadi kini saya dapat rasa kegembiraan dalam membantu orang lain.

“Saya mahu terus membantu mereka yang memerlukan pada masa depan,” katanya dengan penuh tekad.

“Mereka (pemilik rumah) sukar untuk berpisah dengan barang-barang itu walaupun sudah rosak. Bila saya tanya kenapa, mereka kata kerana barang seperti perabot lama, mesin jahit, peralatan dapur sudah lama dengan mereka dan ada nilai sentimental.”
Encik Azhari Shariff.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg