Masjid Kassim disuntik nafas baru dan kini tampak lebih bersinar setelah dibersihkan oleh sekumpulan sukarelawan belia pada 8 Februari.
Kira-kira 50 belia turun padang dan menghabiskan masa pada awal pagi untuk membantu membersihkan ruang masjid menjelang Ramadan pada Mac.
Inisiatif pembersihan bergotong-royong itu merupakan sebahagian daripada anjuran tahunan oleh kumpulan sukarelawan belia, MudaSG, di bawah naungan M Kuasa Tiga (M³) dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC).
Tahun 2025 menandakan tahun kelima inisiatif itu dijalankan dengan penyertaan aktif relawan belia dari pelbagai latar belakang.
Antara relawan yang menyumbang masa membersihkan rumah ibadah yang terletak di 450 Changi Road itu ialah Encik Sherrian Aleilhan Sherhan, 17 tahun.
“Saya rasa sangat gembira kerana saya lakukan sesuatu yang baik untuk masyarakat Islam di Singapura, dan memandangkan Ramadan semakin hampir, saya rasa ialah wajar untuk bersihkan masjid.
“Saya datang bersama rakan dan keluarga saya, jadi kami dapat eratkan hubungan antara satu sama lain.
“Saya juga buat kawan baru, dan saya rasa seronok dapat bertemu orang dari pelbagai lapisan masyarakat,” jelas Encik Sherrian yang bakal memulakan pengajiannya di Akademi PSB pada April.
Pengerusi MudaSG, Cik Nur Sabrina Abdul Bari, 17 tahun, memberitahu Berita Minggu (BM) bahawa antara tugas yang dijalankan para relawan termasuk menyapu dan mengemop lantai, membersihkan tingkap, serta menyusun sejadah dan Al-Quran.
Selain itu, Cik Nur Sabrina berkata inisiatif pembersihan tersebut menggalakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia Melayu/Islam di Singapura.
“Program ini bukan sekadar tentang membersihkan masjid tetapi juga membina rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap masyarakat mereka,” jelas pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu.
Naib Pengerusi MudaSG, Encik Muhammad Aqasha Juhari, 23 tahun, menambah bahawa inisiatif itu turut membantu belia di sekolah.
“Masa yang diluangkan mereka di sini juga diambil kira dalam Program Pelibatan Masyarakat (CIP), yang boleh mempertingkatkan markah mereka di sekolah, jadi ia situasi ‘menang-menang’,” jelasnya, yang juga pelajar ITE Kolej East.
Ditubuhkan pada 2021, MudaSG kini mempunyai lebih 1,500 sukarelawan aktif yang kerap mengambil bahagian dalam projek sukarela seperti pembersihan masjid dan estet kejiranan, serta pendermaan baju dipanggil ‘Bazar Bestari’.
Pihak pengurusan Masjid Kassim menyambut baik usaha pembersihan tersebut, dengan ramai meluahkan penghargaan atas inisiatif yang dilakukan oleh golongan belia.
Anggota Lembaga Pentadbir Masjid Kassim, Encik Iylia Shukor, berkata:
“Bagi pihak Masjid Kassim, kami sangat hargai generasi muda menyumbang kembali kepada masjid ini…
“Ia menunjukkan bahawa golongan belia mempunyai kaitan dengan masjid, dan kami berharap inisiatif seperti ini akan mendekatkan lagi golongan belia dengan masjid-masjid di Singapura,” ujarnya.
Selain Masjid Kassim, MudaSG akan membersihkan Masjid Alkaff Kampung Melayu pada 15 Februari, Masjid Khalid pada 22 Februari, dan Masjid Darul Aman pada 23 Februari.
Turut hadir ialah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Fahmi Aliman, yang juga penasihat M³@Geylang Serai.
Beliau mengharapkan kumpulan yang berpaksikan belia seperti MudaSG dapat menyatukan dan menggalakkan lebih ramai belia untuk terlibat dalam inisiatif pembersihan masjid.
“Kita perlu wujudkan persekitaran atau wadah untuk golongan belia supaya mereka boleh terlibat secara kolektif dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Mereka mungkin hanya biasa bekerjasama antara satu sama lain dalam kumpulan kecil untuk projek sekolah mereka, tetapi inisiatif seperti ini membolehkan mereka bekerjasama secara beramai-ramai dan bergotong-royong,” jelas Encik Fahmi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg