Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Relawan muda sumbang waktu, tenaga di masjid sejak 2016

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Masjid Jamae Chulia masih kekurangan $1.4j bagi kerja peningkatan

Relawan muda sumbang waktu, tenaga di masjid sejak 2016

Feb 09, 2024 | 05:30 AM



Di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi? Begitulah perumpamaan yang boleh digambarkan bagi Encik Mohamed Namis Mohamed Nasar, seorang pembangun sofwe yang juga merupakan relawan di Masjid Jamae Chulia.

Bagi bapa seorang anak perempuan berusia tiga tahun ini, sejak usia remaja lagi beliau telah melihat bapanya, Encik Abdul Salam Mohamed Nasar, membantu pihak masjid, dan bagi Encik Mohamed Namis waktu yang paling sibuk adalah pada bulan Ramadan dan pagi Syawal.

Bermula daripada pengalaman itu, beliau kini menjadi relawan Masjid Jamae Chulia sejak 2016, dan akan ke masjid ini setiap Jumaat dan pada hujung minggu.

“Sejak di sekolah menengah lagi, saya sudah melihat bapa saya membantu di Masjid Jamae Chulia, bermula pada tahun 2005 lagi. Kenangan manis di masjid ini juga membuatkan saya ingin sama mencurahkan bakti, menolong apa yang saya mampu.

“Ketika di masjid, kami semua bak satu keluarga yang besar, dan akan bergotong-royong menolong satu sama lain. Contohnya pada bulan Ramadan, kami akan bergilir-gilir membantu menyediakan juadah untuk bersahur dan berbuka, mengagih bubur masjid dan banyak lagi. Ketika Covid-19 melanda pula, relawan ini sentiasa memastikan jarak selamat dan pelitup mulut sentiasa dititik beratkan. Selain itu, sebagai relawan, kami juga memastikan segala aset di masjid terjaga rapi dan segala maklum balas yang kami terima daripada jemaah akan kami salurkan kepada pihak pengurusan, agar segala permasalahan yang timbul dapat diatasi sebaiknya,” jelas Encik Mohamed Namis, 33 tahun.

BANGGA DENGAN KERJA
PENINGKATAN MASJID

Menurut Encik Mohamed Namis, sejak kerja baik pulih dijalankan, banyak perubahan positif yang dapat dilihat dan mampu dinikmati jemaah di masjid tersebut. Antara perubahan yang dilakukan adalah pemasangan alat penyaman udara, pengecatan, penukaran permaidani dan jubin baru, peluasan di kawasan luar masjid dengan kemudahan ramp, atau tanjakan, serta kemudahan untuk pengguna berkerusi roda dan banyak lagi.


“Sebelum kerja peningkatan ini dijalankan, memang ramai yang merungut kerana masjid panas dan berbahang, khususnya ketika masjid sesak pada waktu solat Jumaat, tarawih dan solat Raya. Namun, dengan pemasangan alat penyaman udara di dewan solat ini, memang ramai yang gembira dan menantikannya.

“Selain itu, kawasan di luar masjid ini juga kini boleh diakses dengan mudah oleh mereka yang berkerusi roda, tiada adangan seperti sebelumnya. Dengan pemasangan permaidani dan jubin baru ini juga, masjid kelihatan lebih teratur, kemas dan indah dipandang mata,” tambah Encik Mohamed Namis.

MASIH IDAMKAN
SOKONGAN RAMAI

Pengerusi Masjid Jamae Chulia, Encik Rasheed Zaman Mohamed Rashad, berkata secara keseluruhannya masjid memerlukan $3 juta untuk kerja peningkatan ini. Namun setakat ini, lebih separuh daripada jumlah ini yang dapat dikumpulkan. Di samping itu, beliau juga mengharapkan sokongan yang berterusan agar misi untuk mencapai jumlah yang dikehendaki akan segera tercapai. Beliau turut berkata masjid bakal dibuka secara rasmi pada Mac ini.

“Pihak masjid masih lagi memerlukan sokongan ramai dan kami masih lagi memerlukan $1.4 juta dana untuk kerja naik taraf ini. Setakat ini, $1.6 juta dapat kami kumpulkan. Derma dan projek wakaf akan tetap diteruskan, dan orang ramai yang berhajat menderma, boleh menghubungi pihak masjid atau boleh melakukannya terus dalam talian,” ujar Encik Rasheed Zaman.

Selain itu, Masjid Jamae Chulia juga turut menawarkan jualan kupon amal – nasi beriani berharga $20 dan martabak $10 setiap satu, turut disediakan untuk orang ramai. Nasi beriani amal ini disajikan oleh restoran Taj Authentic Indian Cuisine, manakala martabak dihidangkan dari Victory Restoran.

SUMBANGAN IKHLAS


Untuk memberikan sumbangan ikhlas anda kepada Masjid Jamae Chulia, ikuti cara berikut:

1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 517-070041-002.

2. Kiriman cek atas nama Masjid Jamae Chulia melalui pos ke alamat 218, South Bridge Road, Singapura 058767.

3. Derma langsung di pejabat masjid. Hubungi talian 6221-4165 atau WhatsApps talian 9297-4192. Sila buat janji temu sebelum datang ke masjid.

4. Imbas kod QR yang tertera.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >