Relawan Muhammadiyah ceriakan golongan memerlukan sempena Ramadan
Relawan Muhammadiyah ceriakan golongan memerlukan sempena Ramadan
Seramai 80 sukarelawan turun padang agih 650 hamper pra-Syawal kepada golongan memerlukan
Bersepakat memberi sinar kepada golongan memerlukan, seramai 80 sukarelawan turun padang untuk menyediakan hamper pra-Syawal buat penerima bantuan Persatuan Muhammadiyah.
Sukarelawan tersebut berkumpul pada 7 Mac lalu di Tadika Muhammadiyah di 66 Jalan Lapang – di kawasan Kembangan – bagi membantu membungkus 650 hamper pra-Syawal yang merangkumi kuih Hari Raya dan barangan makanan lain.
Hamper tersebut bakal diberikan kepada penerima bantuan Muhammadiyah dalam acara agihan zakat, di mana mereka bakal menerima wang zakat dan hamper pra-Syawal pada 14 Mac ini.
Sukarelawan itu yang terdiri daripada sayap belia Muhammadiyah, Pemuda dan Beliawanis; masyarakat awam; dan buat julung-julung kalinya, sekumpulan guru dan pelajar Kelas Asas Bimbingan Agama (Kaba), madrasah hujung minggu kendalian Muhammadiyah, akan sama-sama menyinsing lengan untuk kerja murni ini.
Penglibatan guru dan pelajar Kaba merupakan satu usaha mahu menanam semangat beramal dalam diri mereka, menyumbang kepada masyarakat dan membantu golongan memerlukan pada Ramadan yang mulia ini.
Dedikasi sukarelawan dalam menyumbang masa dan tenaga untuk membungkus hamper pra-Syawal itu amat dihargai pihak Muhammadiyah.
Selepas mereka selesai membungkus hamper, Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Muhammad Azri Azman, menghampiri mereka dan mengucapkan terima kasih lalu mengingatkan mereka tentang sikap kedermawanan Nabi Muhammad saw sebagai kata-kata semangat supaya mereka terus berbuat baik pada bulan Ramadan.
Ustaz Muhammad Azri, berkata: “Antara sikap mulia yang dimiliki baginda Nabi Muhammad saw ialah dermawan dan kedermawanan Rasulullah saw semakin meningkat pada bulan Ramadan sebagaimana dijelaskan dalam hadis Imam Bukhari dan Muslim.”
Di samping itu, sebuah lagi kumpulan pelajar Kaba telah membantu membersihkan sebuah rumah penerima bantuan Muhammadiyah yang tinggal di flat sewa dua bilik.
Penerima tersebut, Cik Samsiah (bukan nama sebenar), 65 tahun, merupakan penjaga utama suaminya, Encik Zainal (juga bukan nama sebenar), 64 tahun, yang tidak boleh bekerja akibat masalah kesihatan.
Sejak 2024, Cik Samsiah dan Encik Zainal menerima bantuan daripada Muhammadiyah, yang banyak membantu mereka dalam menguruskan perbelanjaan bulanan.
Mereka amat bersyukur atas sokongan yang diberikan bagi meringankan beban kewangan mereka.
Kini, dengan rumah mereka kembali bersih dan berseri, sambutan Lebaran pastinya lebih ceria.
Dengan air mata berlinangan, Encik Zainal, berkata:
“Saya sangat terharu melihat anak-anak muda ini membantu kemaskan rumah. Terima kasih kerana kami memang tak larat.”
Zakat Muhammadiyah, usaha teruskan dakwah dan kebajikan selepas Ramadan
Pada 2026, sejumlah 650 keluarga akan menerima hamper pra-Syawal, dengan lebih 100 penerima bantuan akan diberikan hamper dan wang zakat secara langsung pada acara agihan zakat itu.
Baki penerima, termasuk 50 keluarga berpendapatan rendah dari Bukit Batok, boleh menantikan wang zakat dan hamper pra-Syawal mereka dihantar ke rumah oleh sukarelawan.
Penerima bantuan itu termasuk keluarga Islam yang kurang bernasib baik.
Selain Ramadan, pada setiap bulan, Muhammadiyah menyediakan bantuan untuk sekurang-kurangnya 100 penerima bantuan yang memerlukan – menyediakan mereka dengan bekalan seharian penting untuk membantu meringankan beban mereka.
Lantaran itu, Muhammadiyah merayu kepada masyarakat bagi sokongan berterusan untuk memberi infak dan zakat yang dapat membantu badan itu menjalankan program pendidikan, dakwah dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.
Setiap infak dan zakat anda membawa senyuman dan harapan kepada golongan memerlukan. Marilah menderma melalui pautan, muhammadiyah.org.sg/donate.
Cara derma atau bayar zakat:
1. PayNow: Imbas kod QR dengan aplikasi bank anda atau hantarkan ke UEN S58SS0020C. Ref: BH Zakat<jarak>Nombor telefon bimbit.
2. Khidmat kutipan dari rumah: Mudah untuk penderma. Hubungi talian 6242-7388.
3. Dalam talian: Layari laman web, muhammadiyah.org.sg/zakat untuk menderma.
4. Bazar Ramadan: Menderma secara bersemuka di tujuh tempat pada 2026 – Geylang Serai, Admiralty, Woodlands, Tampines, Bukit Gombak, Pasir Ris dan Our Tampines Hub (OTH).

