Muhammadiyah, kumpulan ‘bikers’ ganding bahu agih bubur sempena Ramadan
Muhammadiyah, kumpulan ‘bikers’ ganding bahu agih bubur sempena Ramadan
Sekitar 50 anggota kumpulan penunggang motosikal atau ‘bikers’ daripada dua kumpulan penunggang motosikal - Kerengga dan Seroja Legend - berganding bahu bersama Persatuan Muhammadiyah untuk mengagihkan 500 peket bubur ayam Ramadan dan botol air mineral di reruai pertubuhan tersebut, yang terletak di Bazar Geylang Serai, pada 22 Februari.
Usaha tersebut merupakan satu kerjasama antara Persatuan Muhammadiyah dan kumpulan penunggang motosikal berkenaan.
Ia juga menandakan agihan pertama daripada tiga agihan yang dijadualkan berlangsung pada tiga Ahad pertama Ramadan tahun ini (2026).
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Pengarah Komunikasi Korporat dan Sumber Persatuan Muhammadiyah, Encik Hajah Mohaideen, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen yang telah lama dilakukan kumpulan ‘bikers’ untuk menyumbang semula kepada masyarakat di samping memupuk keakraban dalam kalangan anggota.
“Inisiatif ini adalah kerjasama antara kumpulan penunggang motosikal sebagai usaha untuk menyumbang kembali kepada masyarakat serta memupuk semangat persaudaraan penunggang motosikal.
“Mereka akan memulakan pengumpulan dana dalam kalangan anggota (mereka), mengupah dapur pusat untuk penyediaan bubur, manakala para penunggang akan bergotong-royong membantu dalam memasak, membeli barangan runcit, membungkus, menghantar ke pelbagai lokasi serta mengagihkan kepada masyarakat,” ujar beliau.
Encik Hajah juga berkongsi ini merupakan tahun kelima kumpulan penunggang motosikal ini bergabung untuk menganjurkan agihan bubur Ramadan.
“Sebelum ini, mereka telah bekerjasama dengan Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB). Mereka mengagihkan kira-kira 1,000 peket bubur beserta sebotol air mineral dan kurma, juga pada setiap Ahad sepanjang bulan Ramadan. Agihan sebelum ini sentiasa dijalankan di Wisma Geylang Serai,” katanya.
Presiden dan pengasas kumpulan penunggang motosikal Seroja Legend, Encik Zulkifli Yusop, 60 tahun, berkata mereka bertekad meneruskan usaha ini kerana ia memberi kepuasan tersendiri kepada anggotanya dan juga penerima.
“Kebanyakan kami pun semua dah ada keluarga dan cucu, jadi inilah masanya untuk kita menyumbang kembali kepada masyarakat,” kongsinya.
Sementara itu, Encik Zulkifli menerangkan proses agihan dilakukan dengan kerjasama peniaga daging, The Meat House, yang terletak di Bedok North Street 3.
Menurut beliau, mereka tiba di kolong blok Blok 536 Bedok North Street 3 pada 2.30 petang pada 22 Februari untuk mengambil bubur berkenaan.
“Selalunya, kami masak sendiri, bergotong-royong antara kumpulan dan ahli keluarga kami. Tetapi, pada tahun ini, kebanyakan kami sibuk. Jadi, kami bekerjasama dengan The Meat House.
“Kami masing-masing bawa kenderaan, ambil bubur di sana. Kami kemudian bawa ke reruai Muhammadiyah untuk dibungkus semula bersama botol air mineral dan sudu, sebelum diagihkan kepada masyarakat,” katanya.
Bagi anggota kumpulan penunggang motosikal Kerengga, Cik Zarina Yahya, 54 tahun, penyertaan dalam agihan bubur ini bukan sekadar hadir dan memberi.
Bahkan, ia adalah cara beliau menzahirkan rasa peduli terhadap masyarakat sekeliling.
“Setiap kali saya hulurkan bubur kepada seseorang, saya rasa seolah-olah sedang menyambung tali silaturahim yang mengikat kita semua.
“Kehadiran saya di sini adalah tanda saya mahu bersama-sama membina semangat kebersamaan, walaupun dengan langkah kecil,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai kerjasama berkenaan dengan Persatuan Muhammadiyah, Cik Zarina mendapati ia memberi kekuatan tambahan kepada inisiatif mereka.
“Saya rasa lebih yakin kerana usaha kecil kami kini disokong oleh pertubuhan yang kukuh.
“Ia bukan sahaja memperkukuh logistik, tetapi juga membawa mesej apabila kita berganding bahu, kerja kebajikan akan lebih berkesan dan mampu menjangkau lebih ramai orang,” ujar beliau.
Dua agihan bubur yang lain akan diadakan di reruai Muhammadiyah, yang masing-masing terletak di Bazar Tampines pada 1 Mac, dan Bazar Raya Utara berdekatan stesen MRT Admiralty, pada 8 Mac.
Agihan sebanyak 500 bubur ayam dan botol air mineral itu akan bermula pada 4 petang.

