Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Relawan pelbagai bangsa, agama siapkan bantuan ke Gaza

Usaha badan kemanusiaan Humanity Matters disokong pertubuhan setempat yang akan menghantar 4 tan bekalan bernilai $85,000
May 31, 2021 | 5:30 AM
BANTUAN KEMANUSIAAN KRISIS DI GAZA: Ustaz Muslim Ahmad (kiri) dan Encik Dennis Khoo antara relawan yang turun padang menyiapkan bekalan bagi bantuan kemanusiaan di Gaza semalam. - Foto BH oleh GIN TAY
BANTUAN KEMANUSIAAN KRISIS DI GAZA: Ustaz Muslim Ahmad (kiri) dan Encik Dennis Khoo antara relawan yang turun padang menyiapkan bekalan bagi bantuan kemanusiaan di Gaza semalam. - Foto BH oleh GIN TAY -

SEKUMPULAN relawan pelbagai bangsa dan agama menyingsing lengan untuk menyiapkan bekalan yang akan dihantar bagi bantuan kemanusiaan di Gaza semalam.

Ini merupakan sebahagian usaha badan kemanusiaan silang agama tidak meraih keuntungan Humanity Matters sebagai respons kepada rayuan antarabangsa bagi bantuan kemanusiaan di Gaza.

Usaha itu turut disokong beberapa badan termasuk International Multi Cultural Organisation (IMC), Misi Tao Singapura (TM), Fu Mei Gong (FMG), Persatuan Peguam Islam (AML), Persatuan Belia Sikh (YSA) dan Misi Sree Narayana (SNM) serta masyarakat agama yang berbeza di sini.

Menyifatkan krisis di Gaza sebagai krisis kompleks, Penasihat Khas (Kemanusiaan) Humanity Matters, Encik Hassan Ahmad, berkata Gaza kini menghadapi dua krisis yang mengancam masyarakatnya, iaitu pandemik Covid-19 dan konflik ganas di sana.

"Semasa konflik mengganas, unit jagaan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di hospital terbesar di Gaza, Hospital Al-Shifa, diubah menjadi ICU kecemasan bagi mangsa konflik dan pesakit Covid-19 itu terpaksa dipindahkan tanpa dirawat.

"Satu-satunya makmal ujian reaksi rantai polimerase (PCR) untuk menguji penduduk Palestin bagi Covid-19 telah dimusnahkan dan mereka tidak ada satu pun prasarana untuk menjalankan ujian swab Covid-19 itu.

"Disebabkan konflik yang mengganas itu juga, penduduk tempatan terpaksa dipindahkan ke tempat awam termasuk sekolah dan ini bermakna risiko jangkitan lebih tinggi, dengan jumlah kes Covid-19 di Gaza meningkat sekitar 20 peratus minggu lalu," kata Encik Hassan ketika ditemui di sebuah kilang di Lorong 17 Geylang di mana relawan menyiapkan barang yang akan dihantar ke Gaza.

Tambahnya, keadaan itu amat membimbangkan, lebih-lebih lagi dengan kekurangan kelengkapan di sana untuk membantu masyarakat tempatan mengatasi Covid-19 akibat pelbagai sekatan.

Oleh itu, Encik Hassan berkata usaha Humanity Matters ini bertujuan membantu unit penjagaan kesihatan di sana, khususnya pekerja barisan depan di hospital, pusat perubatan dan ambulans.

Humanity Matters akan menghantar 4 tan bekalan bantuan bernilai $85,000 termasuk pelitup, sarung tangan, gaun perlindungan, gogal, tisu basah untuk membersihkan tubuh dan alat oksigen minggu ini.

Menurut Encik Hassan, adalah lebih berbaloi untuk mendapatkan barang yang diperlukan itu di sini dan menghantarnya ke Gaza kerana dalam apa jua bencana, harga barangan keperluan dekat kawasan yang terjejas itu lebih tinggi dan mutunya tidak terjamin.

Tambahnya, Humanity Matters juga berhubungan rapat dengan pucuk pimpinan kanan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) dan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir (ERCS).

Bekalan bantuan itu akan dihantar ke Kahirah minggu ini sebelum dihantar kepada PRCS di Gaza menerusi laluan darat.

Ini juga cara operasi sama yang dilaksana beberapa anggota Humanity Matters dalam misi bantuan mereka ke Gaza pada 2009 dan 2012.

Laporan lain:

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg