Topik diikuti
Pergi ke BHkuRelawan permudah keluarga banduan mohon bantuan
Sumbangan lebih 230 relawan akar umbi bantu banduan, keluarga banduan diiktiraf Projek Masyarakat Reben Kuning
Relawan permudah keluarga banduan mohon bantuan
Apabila Encik Mohamad Fariezan Abas mengunjungi keluarga banduan dalam divisyen Zhenghua yang terletak di Bukit Panjang untuk memahami keperluan mereka, beliau bawa sekali beberapa borang permohonan bantuan agar proses mendapatkan bantuan dapat dipercepatkan.
Relawan Projek Masyarakat Reben Kuning (YRCP) itu boleh melakukan demikian kerana beliau juga pengerusi Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat (CDWF) Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) yang ditugaskan meluluskan borang permohonan bantuan itu.
“Jadi setelah selesai membuat penilaian awal terhadap keperluan keluarga, saya terus memberi borang untuk mereka isi pada masa itu juga,” kata Encik Fariezan, 42 tahun.
“Borang itu diserahkan kepada kakitangan CC (Kelab Masyarakat) yang datang bersama saya.
“Keesokan harinya, borang permohonan itu boleh terus diproses tanpa keluarga perlu datang ke CC,” tambahnya.
Sejak mula berkhidmat sebagai relawan dengan YRCP lima tahun lalu, Encik Fariezan, bapa dua anak, telah mendampingi sekitar 60 keluarga banduan.
Pada 14 November, beliau antara 236 relawan akar umbi yang menerima anugerah bagi mengiktiraf komitmen mereka dalam menjayakan misi projek itu di majlis makan tengah hari Anugerah YRCP.
Sumbangan 20 divisyen akar umbi turut diiktiraf.
Inisiatif YRCP, yang diperkenalkan pada 2010, mempunyai 1,100 relawan merentas 93 divisyen akar umbi untuk menyokong pemulihan dan penyepaduan semula banduan dan bekas banduan.
Inisiatif itu telah menjangkau ke lebih 29,000 keluarga, membantu menstabilkan isi rumah dan membolehkan banduan memberi tumpuan kepada pemulihan mereka.
Dalam ucapannya di majlis di Singapore Expo itu, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, berkata YRCP sentiasa berteraskan hubungan sesama manusia dengan relawan yang sedia mendengar, peka apabila sesebuah keluarga sedang menghadapi kesukaran, dan membantu mereka mencari langkah seterusnya.
Sentuhan kemanusiaan ini tidak dapat digantikan oleh teknologi, namun teknologi boleh memudahkan urusan relawan, tambahnya.
Misalnya, portal YRCP, yang dilancarkan pada Oktober di lima divisyen akar umbi, dapat meringankan kerja pentadbiran agar relawan boleh memberi lebih tumpuan kepada keluarga.
Portal tersebut boleh dijangka diperluas ke semua divisyen yang mengambil bahagian dalam YRCP menjelang hujung 2027.
Encik Tong dalam ucapannya turut menggalak lebih ramai majikan agar menyokong pengambilan kerja yang inklusif kerana pekerjaan yang berkekalan memainkan peranan penting dalam proses penyepaduan semula bekas banduan ke dalam masyarakat.
“Pekerjaan bukan sekadar memberikan sumber pendapatan. Ia turut memperkasa bekas banduan, memberikan mereka kestabilan dan keyakinan diri serta membuka jalan untuk membina semula kehidupan mereka,” kata Encik Tong.
Hingga Disember 2025, sekitar 6,500 majikan berdaftar dengan Reben Kuning Singapura.
Pemerintah memberi sokongannya dengan menawarkan Kredit Peningkatan Pekerjaan (UEC) kepada majikan yang layak.
Di bawah skim itu, majikan boleh menerima sokongan gaji sehingga 20 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama pekerjaan, tertakluk kepada had $600 sebulan.
Pada 2025, sekitar 1,000 majikan telah memanfaatkan UEC untuk menggaji kira-kira 2,600 bekas banduan. Skim itu akan dilanjutkan sehingga 2028.
“Apabila majikan membuka peluang pekerjaan kepada bekas banduan, mereka bukan sekadar menyediakan pekerjaan, malah turut memberi peluang kepada golongan ini untuk memulakan kehidupan baharu.
Ini bukan sahaja membawa perubahan kepada bekas banduan, malah keluarga mereka. Saya berharap lebih ramai majikan tampil ke hadapan dan menyertai usaha ini,” kata Encik Tong.