Seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap kerana menyeludup lebih 9,200 vape ke Singapura.
Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA), dalam satu kenyataan bersama pada 30 September, berkata vape tersebut ditemui di Stesen Imbasan Pasir Panjang pada 17 September.
Vape tersebut disembunyikan dalam sebuah kontena kargo yang diisytiharkan mengandungi bank kuasa atau powerbank.
Pada 18 September, HSA dan polis berjaya mengenal pasti seorang lelaki warga Singapura yang terlibat dalam penghantaran tersebut.
Suspek kemudian ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengimportan vape secara haram.
Hasil pemeriksaan lanjut menemui 85 lagi vape berserta komponen berkaitan.
Jumlah keseluruhan nilai pasaran barangan yang dirampas dianggarkan melebihi $51,000.
Mereka yang didapati bersalah mengimport, mengedar, menjual atau menawarkan vape dan aksesori berkaitan boleh dikenakan denda sehingga $10,000, hukuman penjara sehingga enam bulan, atau kededuanya sekali bagi kesalahan pertama.
Bagi sabitan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga $20,000, hukuman penjara sehingga setahun, atau kededuanya sekali.
Di bawah langkah penguatkuasaan yang dipertingkat sejak 1 September, mereka yang memiliki, menggunakan atau membeli vape berdepan dengan hukuman lebih berat.
Pesalah kali pertama berusia 18 tahun dan ke atas akan berdepan denda $700.
Bagi kesalahan kali kedua, mereka diwajibkan menjalani program pemulihan, dan kegagalan mematuhinya boleh mengakibatkan pendakwaan.
Pesalah yang ditangkap buat kali ketiga atau lebih boleh didenda sehingga $2,000.
Siasatan lanjut masih dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg