Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja 17 tahun ditahan ISD; rancang serang lelaki bukan Muslim di Tampines

Ditangkap pada Ogos, sebulan sebelum serangan dirancang pada Sep; Dikenakan Arahan Penahanan (OD) selama dua tahun
Oct 18, 2024 | 3:00 PM
Seorang remaja Singapura berusia 17 tahun merancang melakukan serangan ke atas lelaki bukan Muslim di kawasan lelapang berdekatan Kelab Masyarakat Tampines West pada September. Remaja itu diberkas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Ogos 2024.
Seorang remaja Singapura berusia 17 tahun merancang melakukan serangan ke atas lelaki bukan Muslim di kawasan lelapang berdekatan Kelab Masyarakat Tampines West pada September. Remaja itu diberkas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Ogos 2024. - Foto ST

Seorang remaja Singapura berusia 17 tahun telah dikenakan Arahan Penahanan (OD) selama dua tahun pada September 2024 setelah dia didapati merancang menyerang lelaki bukan Muslim di sini, dan ingin ke Syria untuk menyertai keganasan bersenjata.

Remaja itu diberkas oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada Ogos 2024 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebulan sebelum serangan yang dirancang pada September.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata ini adalah kes yang hampir menjadi kenyataan tetapi pihak berkuasa berjaya mencegah dan memberkas remaja itu – yang tidak dinamakan – sebelum hasratnya tercapai.

Berkongsi kepada pihak media di lelapang antara Blok 826 dan 828 di Tampines Street 81 pada 18 Oktober – kawasan di mana belia itu ingin melakukan serangan tersebut – Encik Shanmugam berkata:

“Dia telah merancang untuk melakukan serangan semasa cuti sekolah pada September.

“Dia diberkas sebulan lebih awal pada Ogos. Jika dia tidak diberkas oleh ISD, dia akan melaksanakan rancangannya itu.”

Dalam satu kenyataan pada 18 Oktober, ISD berkata belia itu didapati ingin melakukan serangan pengganas di Singapura ke atas lelaki bukan Muslim dengan menggunakan pisau atau gunting.

Dia juga dikatakan sedia mati diserang oleh polis atau orang awam yang bertindak balas terhadap serangan pengganas itu.

Dia merancang untuk melakukan serangan itu di kawasan lelapang antara Blok 826 dan Blok 828 Tampines Street 81 kerana jumlah penduduk ramai yang lalu lalang dan ia terletak berdekatan rumahnya, kata ISD.

Apabila Berita Harian (BH) mengunjungi kawasan itu sekitar 10.30 pagi pada 18 Oktober, kawasan tersebut padat dengan warga emas dan kanak-kanak kecil.

Encik Shanmugam berkata: “Inilah lokasi… yang dia ingin lakukan serangan. Dia mencari kawasan yang padat dengan orang di kejiranan HDB, berhampiran Kelab Masyarakat Tampines West.

“Pada Jun 2024, dia telah melalui laluan yang ingin diambilnya dari rumahnya untuk melakukan serangan tersebut.”

ISD menjelaskan lelaki itu merancang menggunakan sama ada pisau dapur atau gunting besar dari rumahnya sebagai senjata serangan, dengan Encik Shanmugam berkata belia tersebut telah “berlatih bagi gerakan menikam dengan guntingnya”.

“Dia mengambil tahu bahagian tubuh mana yang akan mengakibatkan kematian (jika ditikam), iaitu di kawasan leher. Jadi dia berlatih menikam (gunting) di leher,” tambahnya.

Beliau berkata disebabkan pendedahan lelaki itu kepada propaganda kumpulan pengganas ISIS yang mengagung-agungkan serangan bunuh diri menggunakan pisau, tercetus inspirasi bagi remaja itu melakukan serangan sedemikian.

Menurut ISD, remaja itu telah mengambil bai’ah atau berikrar kepada ISIS dan menganggap dirinya sebagai anggota ISIS dan sanggup melakukan apa sahaja arahan daripada kumpulan pengganas itu.

ISD menambah siasatan setakat ini mendapati remaja itu bertindak sendirian dan gagal mempengaruhi kenalannya untuk menjadi radikal manakala rakan-rakan atau keluarganya tidak tahu-menahu mengenai rancangannya untuk melakukan serangan ke atas Singapura, atau hasratnya untuk pergi ke Syria.

Sejak 2020, ISD telah memberkas lima belia yang menjadi radikal secara sendiri yang ingin melakukan serangan ke atas Singapura menggunakan senjata – paling muda di antara mereka berusia 15 tahun, yang diberkas pada Disember 2022 kerana ingin memenggal kepala orang bukan Islam di kawasan popular dengan pelancong menggunakan pisau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg