Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki dijel 10 bulan curi kad kredit, $200 dalam penerbangan Scoot

May 28, 2025 | 4:17 PM
Kes curi dalam pesawat, dipenjara, Scoot
Warga China, Zhang Kun, mengambil beg mangsa dari ruang atas dalam pesawat ketika mangsa berada jauh dari tempat duduknya. - Foto PEXELS

Seorang lelaki yang menaiki penerbangan Scoot telah mengambil beg penumpang lain dari ruang atas semasa mangsa berada jauh dari tempat duduknya.

Dia mengeluarkan dompet dan mencuri wang tunai $200 dan RM100 ($30) serta kad kredit.

Menurut The Straits Times, warga China, Zhang Kun, 51 tahun, meletakkan semula dompet itu ke dalam beg dan mengembalikannya ke ruang atas dalam pesawat.

Seorang penumpang berhampiran yang melihat apa yang dilakukan Zhang telah memaklumkan mangsa selepas pesawat itu mendarat, dan Zhang telah ditangkap.

Pada 28 Mei, Zhang, dijatuhi hukuman penjara 10 bulan selepas dia mengaku salah atas pertuduhan mencuri. Dia telah membuat bayaran balik sepenuhnya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eugene Phua memberitahu mahkamah bahawa Zhang dan mangsa warga Singapura berusia 35 tahun itu telah menaiki penerbangan ke Singapura di Kuala Lumpur, Malaysia, sekitar 11 malam pada 16 Mac.

Semasa perjalanan, mangsa dan tunangnya meninggalkan tempat duduk mereka untuk bertemu rakannya dan isteri rakannya untuk sambutan hari lahir di bahagian belakang pesawat.

Melihat pasangan itu telah meninggalkan tempat duduk mereka, Zhang berjalan ke ruang berhampiran tempat duduk mangsa dan melakukan kesalahan itu.

Selepas pesawat tersebut mendarat di Lapangan Terbang Changi sejam kemudian, Encik K. Visvanathan, warga Singapura berusia 59 tahun, memberitahu mangsa tentang kecurian itu.

Mangsa mendapati wang tunai dan kad kreditnya hilang.

Encik Visvanathan kemudian menunjuk ke arah Zhang, dan mangsa bersemuka dengan pencuri itu sebelum menyekat kad kreditnya.

Semakan kemudian mendapati tiada siapa yang menggunakannya untuk transaksi yang tidak dibenarkan.

Tunang mangsa menghubungi polis sekitar 12.15 pagi pada 17 Mac.

Pegawai tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian tetapi tidak menemui barang curian dalam simpanan Zhang.

Hasil siasatan mendapati Zhang mempunyai rakan yang turut berada dalam penerbangan itu dan sedang transit di Singapura sebelum menuju ke Hong Kong.

Pada mulanya, Zhang tidak mengaku mencuri kad kredit dan wang tunai mangsa tetapi selepas disiasat, perbuatannya akhirnya terbongkar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg