Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja kumpul 400 piring hitam lama demi lestari sejarah, legasi muzik

Minat bertambah selepas temui warga emas pengumpul telefon dan gramofon vintaj
Jan 16, 2025 | 5:30 AM
Melalui saluran YouTube peribadinya, ‘Ameer 78 Records’, Muhammad Amir Syazli Samsul Kamar, berkongsi tentang koleksi piring hitam yang merangkumi pelbagai genre seperti muzik klasik, jaz dan rok.
Melalui saluran YouTube peribadinya, ‘Ameer 78 Records’, Muhammad Amir Syazli Samsul Kamar, berkongsi tentang koleksi piring hitam yang merangkumi pelbagai genre seperti muzik klasik, jaz dan rok. - Foto BH oleh MOHD KHALID BABA

Biarpun usianya masih muda remaja, jiwa remajanya mudah bergetar dengan semangat dan selera muzik zaman silam.

Muhammad Amir Syazli Samsul Kamar, 15 tahun, merupakan penggemar dan pengumpul 400 piring hitam lama dengan muzik pelbagai bahasa seawal 1906.

Pada Disember 2024, pelajar Menengah 3 di Sekolah Menengah Bukit View itu malahan menerima kunjungan tetamu istimewa iaitu Menteri Negara (Undang-Undang merangkap Pengangkutan) yang juga Anggota Parlimen Bukit Batok, Encik Murali Pillai, pada Disember 2024 yang teruja melihat koleksi piring hitam Amir.

Menurut ibunya, Cik Seri Rahayu Md Shaikh, 48 tahun, yang juga penyiar radio di stesen Warna 942, Amir sudah lama menanti-nantikan kedatangan Encik Pillai untuk berkongsi tentang koleksinya.

Amir turut menyifatkan kunjungan itu sebagai pengalaman yang sukar dilupakan, ketika minatnya berjaya dikesan Encik Pillai yang memuatnaikkan satu hantaran di laman Facebooknya.

Bagaimanapun, minat itu tumbuh dalam dirinya secara tidak sengaja.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Amir berkata:

“Saya gemar mengumpulkan barang-barang lama. Salah satunya adalah jam vintaj yang berasal dari China. Yang saya suka tentang jam ini ialah bunyi locengnya yang unik.

“Saya bertemu dengan Encik Harry Ang, seorang pengumpul barang-barang lama melalui laman Carousell (platform dalam talian untuk barangan terpakai). Saya menghubungi beliau untuk membaiki jam saya itu.

“Apabila saya ke rumahnya, saya dapat lihat banyak koleksi piring hitam beliau. Dari situ, hati saya mula terdetik untuk mengumpul piring hitam.”

Encik Harry Ang, 83 tahun, yang menyimpan koleksi 200 telefon vintaj dan 10 gramofon pernah diwawancara akhbar The Straits Times pada 2018.

“Saya banyak mempelajari selok-belok tentang piring hitam dan gramofon daripada beliau,” tambah Amir. 

Amir sudah memiliki 400 piring hitam yang merangkumi pelbagai genre seperti muzik klasik, jaz dan rok serta lima gramofon dalam koleksinya. 

Anak ketiga empat beradik itu bukan sahaja mengumpul koleksi piring hitam berbahasa Melayu, malah dalam bahasa lain seperti Tamil, Mandarin, Perancis, Jerman dan Inggeris.

Piring hitam pertama yang dimilikinya ialah album, Thriller, oleh Raja Pop, mendiang Michael Jackson.

Sementara rekod tertua berusia 119 tahun yang dimuatkan dengan lagu Perancis, Tannhauser-O douche etoile, yang dinyanyikan penyanyi opera Perancis, Maurice Renaud pada 1906.

Setakat ini, rekod paling mahal dalam koleksi Amir bernilai $500. 

Ia merupakan album kompilasi lagu Hari Raya terbitan EMI pada 1981, dan menampilkan barisan artis ternama seperti Allahyarham Aman Shah, Noor Kumalasari, Allahyarhamha Datuk Sharifah Aini, DJ Dave, Rosemaria, Gaya Zakry, Aziz Ahmad, Zaleha Hamid dan kumpulan Black Dog Bone.

Menurut Amir lagi, terdapat dua jenis rekod vinil yang dihasilkan iaitu daripada dua bahan gilap iaitu syelek (bahan resin yang dicairkan hingga menjadi serpihan tipis) atau vinil (resin atau plastik sintetik).

‘Syelek’ atau piring batu biasanya dihasilkan antara 1890 dengan 1960.

Manakala, vinil atau piring hitam pula popular pada era 1960-an hingga 1970-an dan masih lagi digunakan kini.

Menjelaskan lebih lanjut tentang cara menentukan usia piring hitam, Amir yang kaya pengetahuan tentang barangan vintaj, menjelaskan:

“Bagi menentukan usia rekod tersebut, langkah pertama saya adalah memeriksa bahan yang digunakan, diikuti dengan mengenal pasti syarikat label rakamannya.

“Selain itu, kita juga boleh periksa melalui kod matriks yang ada pada piring hitam, dengan segala maklumat yang diperlukan boleh dicari dalam talian.

“Namun, ada masanya maklumat itu tidak ada dalam talian kerana mungkin rekod tersebut terlalu jarang ditemui,” jelas Amir. 

Sebagai peminat tegar seniman, Tan Sri P. Ramlee, Amir juga mengumpul koleksi piring hitam legenda yang disegani itu, yang sukar didapati iaitu rekod runut bunyi, Tiga Abdul, yang mengandungi lagu, Bunyi Gitar dan Tolonglah Kami.

Dalam pada itu, dek minat mendalam terhadap koleksi piring hitam, Amir juga merebut peluang bekerja sambilan semasa cuti sekolah di sebuah kedai piring hitam, Roxy Disc House yang terletak di The Adelphi, 1 Coleman Street.

Selain ditugaskan mencuci piring hitam, Amir juga seronok menemui pelanggan dari pelbagai negara. 

“Proses mencuci piring hitam mengambil masa selama sejam sahaja. Roxy Disc House menawarkan khidmat ini dengan bayaran $3.

“Lebih daripada itu, saya juga seronok dapat berbual dan bertemu pelanggan dari bermacam negara. Secara tidak langsung, saya dapat berkongsi ilmu tentang piring hitam,” ujarnya. 

Dalam usaha berkongsi minat dan koleksinya secara meluas, Amir mengendalikan saluran YouTube peribadinya, Ameer 78 Records.

Melaluinya, dia membuat ulasan dan berkongsi tentang lagu-lagu daripada koleksi piring hitam miliknya.

“Saya ingin membuka kedai piring hitam suatu hari nanti demi menjaga dan melestarikan sejarah dan legasi muzik piring hitam,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg