Ibu bapa kepada remaja lelaki Singapura berusia 17 tahun yang merancang melakukan serangan pisau di Tampines telah memerhatikan remaja itu menonton video pendakwah asing.
Mereka menasihatkan supaya dia tidak melakukan sedemikian sedang ajaran yang disampaikan itu mungkin tidak sesuai bagi konteks negara ini, menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 18 Oktober.
Namun, remaja itu tidak mengendahkan nasihat tersebut dan mengambil langkah menyembunyikan proses radikalisasinya.
Menurut ISD, dia menggunakan kata kod apabila mengutarakan kepercayaan radikalnya dalam talian dan menggunakan rangkaian peribadi maya, atau virtual private networks, untuk melayari laman web radikal.
ISD menambah ibu bapa dan rakan taulan tidak tahu-menahu tentang rancangannya untuk melakukan serangan ke atas Singapura atau ke Syria.
Bercakap kepada pihak media pada 18 Oktober, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata adalah penting untuk anggota keluarga atau sesiapa sahaja melaporkan sebarang tindak-tanduk orang tersayang yang menjurus ke arah radikalisme kepada pihak berkuasa secepat mungkin.
Ini membenarkan pihak berkuasa untuk menilai dan memberi rehabilitasi kepada individu sedemikian secepat mungkin, ujarnya.
Beliau berkata: “Dalam kes ini, ibu bapa kepada lelaki itu mendapati bahawa dia menonton video oleh pendakwah asing.
“Mereka menasihatkan anak mereka untuk tidak menonton video tersebut. Apabila dia tidak mendengar nasihat itu, satu pilihan adalah untuk memaklumkan pihak berkuasa.
“Oleh demikian, adalah baik sekiranya anggota keluarga dan rakan-rakan melaporkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika mereka mengesyaki seseorang yang mereka kenali menjadi radikal.
“Ini membantu kami menghalang mereka daripada membunuh diri sendiri… (dan) membolehkan kami cuba memulihkan mereka.”
Beliau memberi penekanan bahawa terdapat kes-kes sebelum ini di mana anggota keluarga atau kenalan telah melaporkan kes orang tersayang menjadi radikal kepada pihak berkuasa, dan ada juga kes di mana ISD telah kenal pasti.
Remaja tersebut telah dikenakan Arahan Penahanan (OD) selama dua tahun pada September 2024, selepas didapati merancang menyerang lelaki bukan Islam di kawasan lelapang antara Blok 826 dengan Blok 828 Tampines Street 81, kata ISD.
Dia diberkas oleh ISD pada Ogos 2024 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), sebulan sebelum serangan yang dirancang pada September.
Dalam pertimbangan mengenakan OD terhadap remaja itu, Encik Shanmugam berkata ia “lebih selamat” untuk menahannya disebabkan tahap radikalisme dan rancangannya yang hampir menjadi nyata.
ISD menjelaskan remaja itu merancang untuk melakukan serangan bunuh diri menggunakan pisau dapur atau gunting dan telah “melatih gerakan menikam menggunakan gaya cengkaman berbeza dengan gunting”.
Dia juga dikatakan sedia mati diserang oleh polis atau orang awam yang bertindak balas terhadap serangan pengganas itu.
Di samping itu, ISD turut menyatakan bahawa remaja tersebut telah melakar pengisytiharan ‘jihad’ bersenjata terhadap golongan bukan Islam di Singapura, yang dirancang untuk dikeluarkan sebelum serangannya bagi “memberi inspirasi kepada golongan Muslim untuk melibatkan diri dalam keganasan bersenjata”.
Remaja itu turut berkongsi bahan radikal yang mempromosikan ‘jihad’ bersenjata kepada pengikut di akaun media sosial.
ISD berkata lelaki itu mengakui dia “ingin mempengaruhi pengikutnya untuk membenci golongan bukan Islam” dan mempercayai bahawa ia dibenarkan untuk membunuh golongan tersebut.
Sebelum dia melakar rancangan serangan ke atas Singapura, ISD turut berkongsi bahawa remaja itu melahirkan hasrat untuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas ISIS dan melibatkan diri dalam keganasan bersenjata.
“Sungguhpun dia tidak ada tempoh masa tertentu untuk ke Syria, dia telah menghubungi kenalan asing secara dalam talian yang berada di Syria untuk mendapatkan nasihat perjalanan dan membuat kajian berkenaan laluan penerbangan ke Syria,” kata ISD.
Sebagai persiapan ke Syria, tambah ISD, dia telah memuat turun bahan daripada majalah ekstremis yang mengandungi nasihat bagi merancang serangan atau melakukan serang hendap.
“Dia mengakui bahawa ia agak mencabar untuk ke Syria tanpa menimbulkan syak wasangka daripada anggota keluarga.
“Ini menyumbang kepada keputusannya untuk merancang serangan di Singapura, yang pada pendapatnya lebih mudah untuk dilaksanakan dan memenuhi aspirasi untuk mati syahid,” jelas ISD.
“
“Dalam kes ini, ibu bapa kepada lelaki itu mendapati bahawa dia menonton video oleh pendakwah asing. Mereka menasihatkan anak mereka untuk tidak menonton video tersebut. Apabila dia tidak mendengar nasihat itu, satu pilihan adalah untuk memaklumkan pihak berkuasa. Oleh demikian, adalah baik sekiranya anggota keluarga dan rakan-rakan melaporkan kepada pihak berkuasa secepat mungkin jika mereka mengesyaki seseorang yang mereka kenali menjadi radikal. Ini membantu kami menghalang mereka daripada membunuh diri sendiri… (dan) membolehkan kami cuba memulihkan mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg