Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditemui tinggal – termasuk tidur, membuang air dan mandi – di sebuah gerai di Pasar dan Pusat Makanan Circuit Road selama 11 bulan, kini bersekolah di sebuah sekolah pendidikan khas dan sedang belajar cara berkomunikasi.
Maklumat terkini itu dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 23 Oktober.
Pemilik-pemilik gerai sebelum ini berkata remaja itu jarang bercakap dan selalunya berkomunikasi melalui isyarat.
Tetapi kini dia sudah dapat menggunakan perkataan mudah untuk menyuarakan perasaannya dan menyatakan keperluan asasnya, jelas MSF sebagai menjawab pertanyaan daripada The Straits Times (ST).
Pada April, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah menjalankan pemeriksaan rutin dan menemui remaja itu.
NEA kemudian melaporkan kes itu kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak MSF dan remaja itu diletakkan di bawah jagaan perkhidmatan tersebut, sebelum dimasukkan ke hospital bagi penilaian perubatan.
MSF berkata remaja itu berada di bawah jagaan ibu bapa titipan sejak akhir Mei dan sedang menyesuaikan diri dengan baik.
Bapa remaja itu juga kerap melawatnya, dengan pemantauan pegawai perkhidmatan sosial, untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak itu.
MSF menambah ia akan terus bekerjasama dengan keluarga itu untuk menentukan rancangan penjagaan jangka panjang remaja tersebut.
ST sebelum ini melaporkan bahawa bapanya, 63 tahun, yang juga penduduk tetap (PR) seperti anaknya, sedang membantu siasatan berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak atau orang muda.
Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sehingga lapan tahun, denda sehingga $8,000, atau kedua-duanya sekali.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Bapa remaja itu, yang mengusahakan gerai sayur-sayuran, enggan memberi komen ketika didekati oleh ST pada 18 Oktober.
Menurut tukang jahit di gerai berdekatan, lelaki itu telah membuka semula gerainya lebih sebulan lalu selepas ditutup sejak April, sementara gerai tempat anaknya tinggal kekal ditutup.
Mereka menyifatkan remaja itu sebagai kurus dan kecil, dan jarang dilihat berjalan sendiri.
Sebaliknya dia akan berdiri di atas kaki bapanya sambil bapanya memegang bahunya seperti kanak-kanak kecil.
Beberapa pemilik gerai telah menggesa lelaki itu untuk mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa, namun beliau dikatakan tidak mengendahkan nasihat mereka.
Dalam satu kenyataan pada 23 Oktober, MSF menyatakan:
“Untuk kanak-kanak kurang upaya atau berkeperluan khas, adalah penting untuk menangani keperluan perkembangan, sosial atau emosi mereka, selain menyediakan keperluan asas seperti makanan dan pakaian.
“Pendekatan ini menyokong kesejahteraan kanak-kanak secara menyeluruh dan memastikan mereka dilayan dengan bermaruah.
“Semua orang, termasuk jiran dan masyarakat yang lebih luas, boleh memainkan peranan dengan mendekati keluarga-keluarga ini dan membimbing mereka kepada sumber yang tersedia sebagai satu bentuk sokongan.
“Pendekatan proaktif boleh membuat perbezaan yang ketara dalam memastikan keluarga menerima bantuan yang mereka perlukan.”
Orang awam yang mengesyaki kes penderaan atau pengabaian, digalakkan untuk menghubungi Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Kebangsaan di 1800-777-0000, atau menghubungi polis sekiranya terdapat ancaman bahaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg