Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dermasiswa pendidikan kanak-kanak keperluan khas bagi penduduk Teck Ghee

Sep 29, 2024 | 4:22 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah) berinteraksi dengan kanak-kanak di Karnival Hari Kanak-Kanak Teck Ghee pada 29 September.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah) berinteraksi dengan kanak-kanak di Karnival Hari Kanak-Kanak Teck Ghee pada 29 September. - Foto RANGKAIAN PRASEKOLAH TECK GHEE

Satu dermasiswa baru untuk membantu ibu bapa menampung sebahagian perbelanjaan bagi pendidikan dan pembangunan anak-anak keperluan khas telah dilancarkan untuk penduduk Teck Ghee. 

Ibu bapa yang terlibat juga akan dihubungkan antara satu sama lain supaya dapat saling memberi sokongan dan bertukar pendapat.

Ini sebahagian Rangkaian Prasekolah Teck Ghee yang ditubuhkan untuk menghubungkan pengendali prasekolah, pengetua, guru, ibu bapa dan kanak-kanak, demi mempertingkat pengalaman pendidikan prasekolah untuk semua kanak-kanak di kawasan itu.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, melancarkan inisiatif untuk menyokong pendidikan prasekolah di Karnival Hari Kanak-Kanak Teck Ghee di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 29 September.

Mengulas lebih lanjut mengenai dermasiswa yang dinamakan Anugerah Dermasiswa Teck Ghee itu, Encik Lee, yang juga mewakili GRC Ang Mo Kio di Parlimen, berkata:

“Ia untuk kanak-kanak berkeperluan khas, yang memperlukan intervensi awal, yang memerlukan pementoran tambahan, bantuan tambahan, mungkin sedikit pengayaan dan jika ibu bapa mereka tidak berkemampuan mendapatkan sumber dan keupayaan untuk melakukan semua ini untuk kanak-kanak mereka. 

“Dermasiswa ini akan memberikan mereka sedikit bantuan, supaya mereka boleh mendapatkan sokongan yang mereka perlukan, dan untuk membangun ke tahap maksimum masing-masing.”

Kenyataan media yang mengiringi pengumuman ini menyatakan dermasiswa itu disasarkan kepada keluarga yang tinggal di Teck Ghee dan mempunyai kanak-kanak di peringkat prasekolah yang sedang menerima sokongan dan khidmat intervensi awal di sebarang peringkat. 

Antara lain, ia bertujuan membantu keluarga membayar sebahagian perbelanjaan untuk khidmat khas, mendapatkan jagaan dan pendidikan penting, serta menggalak ibu bapa mengutamakan keperluan pembangunan anak-anak pada usia awal.

Butiran lanjut mengenai dermasiswa ini, termasuk kriteria kelayakan dan permohonan akan diberitahu ibu bapa menerusi Rangkaian Prasekolah Teck Ghee pada suku pertama 2025.

Rangkaian Prasekolah Teck Ghee disertai 13 prasekolah yang memberi khidmat di kawasan tersebut, termasuk PCF Sparkletots, Tadika MOE @ AMK dan Tadika Masjid Al-Muttaqin.

Karnival yang diadakan pada 29 September adalah acara pertama dianjurkan di bawah naungan rangkaian prasekolah itu. 

Pengerusi eksekutif Tadika Masjid Al-Muttaqin, Encik Mohd Fairuz Abd Manaf berkata acara tersebut cara baik untuk pengendali tadika mengenali ibu bapa dan anak-anak mereka.

“Ia membuka pintu untuk kerjasama di masa hadapan, kerana kita semua berkongsi misi yang sama – untuk mendidik dan membesarkan anak-anak kita,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg