Kenyataan yang dibuat oleh pemimpin sebuah parti politik Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum (GE2025) Singapura pada 3 Mei menunjukkan “niat jelas” mempengaruhi pengundi Singapura, dan perkara itu tidak boleh diterima, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) Singapura pada 16 Oktober.
Dalam satu kenyataan, MHA menolak pendirian yang diambil oleh Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada 15 Oktober, yang mendakwa partinya dijadikan “kambing hitam” untuk kepentingan politik Singapura.
MHA berkata PAS bercanggah dengan pendiriannya sendiri pada April, melalui kenyataan terbarunya pada 15 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Kementerian itu merujuk kepada kenyataan PAS pada 28 April, apabila parti itu menjauhkan diri daripada kenyataan dua pemimpinnya yang menyentuh tentang anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) menjelang GE2025 Singapura.
Pada 15 Oktober, PAS berkata ia menolak sepenuhnya cubaan untuk menjadikan parti itu “kambing hitam bagi menggerakkan agenda politik domestik di Singapura”.
“Jangan cipta musuh di tempat yang tiada,” kata Datuk Takiyuddin, dalam kenyataan bertajuk ‘Singapura, tangani keprihatinan domestik anda, jangan salahkan jiran’ (Singapore, address your domestic concerns, not blame neighbours).
Beliau berkata ini adalah “naratif palsu” dan bahawa “komen rentas sempadan biasa” telah “diperbesarkan sebagai ancaman keselamatan demi kepentingan politik jangka pendek”.
PAS komited untuk menghormati kedaulatan negara, dan perkara itu menjadi panduan dalam semua hubungan parti yang dijalankan melalui saluran rasmi, tambahnya.
Pada 24 April, semasa musim pilihan raya di Singapura, Bendahari Agung PAS, Encik Iskandar Abdul Samad, secara terbuka menyatakan sokongan kepada Encik Faisal Manap daripada WP.
Pada hari yang sama, Ketua Pemuda PAS Selangor, Encik Mohamed Sukri Omar, menyiarkan hantaran di media sosial yang menyatakan Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam PAP tidak boleh dipercayai.
MHA menegaskan pada 28 April, PAS menyatakan kenyataan dua pemimpin tersebut “mewakili pandangan peribadi mereka dan tidak mencerminkan dasar rasmi atau pendirian parti”.
Merujuk kepada kenyataan terbaru PAS pada 15 Oktober, MHA berkata:
“PAS kini menggambarkan kenyataan 24 April oleh ahlinya sebagai pandangan rasmi parti.
“Ia menyifatkannya sebagai ‘komen rentas sempadan biasa’ dan mempertikaikan tindak balas Singapura terhadap ‘ucapan yang sah’ seperti itu.
“PAS turut mendakwa mereka berhak menyuarakan pandangan mengenai politik Singapura, selagi ia tidak disertai dengan ‘pembiayaan, tindakan, penyelarasan atau arahan’. Apakah pendirian sebenar PAS?”
MHA menambah, ia tidak wajar bagi entiti atau individu asing untuk memberitahu rakyat Singapura cara mengundi, apatah lagi berdasarkan garis perkauman atau agama.
“Itu bersifat memecahbelahkan dan tidak boleh diterima.
“PAS juga mendakwa kenyataan mereka pada 24 April tidak mungkin mempengaruhi rakyat Singapura. Jika benar begitu, mengapa kenyataan itu dibuat?
“Niat mereka jelas – untuk mempengaruhi pengundi Singapura. Itu tidak boleh diterima,” jelasnya.
Kementerian itu turut berkata warga asing berhak memberi pandangan mengenai dasar dan politik Singapura, seperti yang sering dilakukan oleh media antarabangsa.
“Tetapi pemerintah Singapura tidak akan berdiam diri jika ada pihak asing cuba mempengaruhi rakyat Singapura demi kepentingannya sendiri, terutamanya dengan membangkitkan sentimen perkauman dan keagamaan semasa pilihan raya,” kata MHA.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, pada 14 Oktober telah menyampaikan kenyataan Parlimen mengenai politik perkauman dan agama.
Beliau berkata ahli politik PAS melihat pencalonan Encik Faisal oleh WP di Tampines semasa GE2025 sebagai peluang, dan menggesa rakyat Singapura mengundi berdasarkan garis kaum dan agama.
Pada 25 April, MHA dan Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengeluarkan kenyataan menekankan bahaya mencampuradukkan agama dan politik, serta menggesa semua parti politik dan calon mereka memainkan peranan dalam mengekalkan keharmonian Singapura.
Kenyataan itu menyebut bahawa pemerintah telah menyekat akses kepada hantaran warga asing yang cuba mempengaruhi pilihan raya, termasuk hantaran dua pemimpin PAS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg