Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong, SM Lee: Usah campur aduk politik dengan kaum, agama

Jangan eksploitasi kaum, agama bagi kepentingan politik; identiti politik boleh pecah belah masyarakat, kaum minoriti akan terpinggir
Oct 14, 2025 | 10:43 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong. - Foto ST

Isu kaum dan agama tidak boleh dieksploitasi bagi kepentingan politik, atau digunakan dalam kempen pilihan raya.

Ini kerana apabila garis itu dilangkaui, ia boleh membawa kepada persaingan pengaruh dalam kalangan kumpulan berbeza dan menyebabkan masyarakat Singapura berpecah belah, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam hantaran Facebook beliau pada 14 Oktober susulan kenyataan menteri mengenai kaum dan agama yang disampaikan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, di Parlimen, Encik Wong berkata meskipun Singapura menikmati keharmonian kaum dan agama hari ini, negara ini tidak imun terhadap bahaya politik identiti.

Bahkan, percubaan untuk mencampuradukkan kaum dan agama ke dalam arena politik telah dilihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan dalam pilihan raya masa lalu, tambah beliau.

Encik Wong berkata akan sentiasa terdapat bidang apabila isu agama dan isu awam bersilang, dan pemerintah mengiktiraf kerumitan perkara tersebut.

“Setiap orang bebas mengamalkan agama mereka dan meluahkan pandangan mereka tentang hal-hal negara. Tetapi perbahasan awam dan politik mesti dijalankan dan diputuskan secara sekular.

“Semua parti politik mesti jelas: kaum dan agama tidak boleh dieksploitasi bagi kepentingan politik, atau digunakan dalam kempen pilihan raya.

“Sebaik sahaja garis itu dilangkaui, kita berisiko menghadapi persaingan yang merosakkan bagi pengaruh dalam kalangan kumpulan yang berbeza – dan Singapura akan menjadi sangat berpecah belah, seperti yang kita lihat di banyak negara lain,” kata beliau.

Encik Wong menambah bahawa beliau gembira terdapat persefahaman bersama di Parlimen pada 14 Oktober bahawa isu kaum dan agama mesti ditangani dengan berhati-hati, bertanggungjawab dan hormat, di samping terus menegakkan kewibawaan politik sekular serta berbilang budaya Singapura.

“Beginilah cara kita mengekalkan kepercayaan dengan ideal ikrar kita dan kekal sebagai rakyat yang bersatu padu, tidak kira bangsa, bahasa atau agama,” kata beliau.

Sementara itu, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dalam hantaran Facebook yang berasingan pada 14 Oktober juga, berkata dunia telah melihat bagaimana politik identiti boleh memecahbelahkan masyarakat, dan tidak dapat dielakkan kaum minoriti akhirnya akan terpinggir dan paling menderita.

Sebagai sebuah negara kecil, Singapura tidak boleh menghadapi perpecahan sedemikian.

“Selama beberapa dekad, kita telah maju sebagai sebuah negara, tidak kira bangsa, bahasa atau agama. Rakyat Singapura hidup berpegang pada perkara ini; ia adalah asas pembangunan negara kita.

“Marilah kita terus mendakap kepelbagaian dan hidup dalam harmoni, sambil menegakkan kewibawaan politik sekular kita.

“Kita tidak boleh mencampuradukkan kaum dan agama dengan politik. Itulah cara untuk makmur sebagai satu negara untuk generasi akan datang,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg