Setiap restoran yang dijejak kakinya biasa adalah tempat bagi individu menikmati santapan bersama keluarga dan rakan-rakan.
Namun, di restoran baru Campur Nasi Padang yang terletak di Wisma Geylang Serai (WGS), terdapat juga satu ruang khusus yang memberi peluang kepada peniaga dari rumah membuat kek dan kuih untuk dijual kepada orang ramai, sekali gus mendedahkan mereka kepada dunia niaga di luar rumah.
Bagi pemilik jenama Campur Nasi Padang, Encik Suhaimi Rafdi, apa yang dilakukan beliau itu bak pepatah sambil menyelam, minum air – sedang beliau menjalankan perniagaan menjual lauk pauk nasi padang yang enak, pada waktu yang sama beliau ambil peluang menyumbang kepada masyarakat.
Bahkan, keinginan membantu masyarakat itu sudah menjadi satu perkara lumrah bagi beliau setelah sedekad berkhidmat sebagai pengarah kanan Persatuan Rakyat (PA) sebelum ini.
“Ramai peniaga dari rumah sebenarnya mendambakan peluang berniaga di kedai ataupun luar persekitaran rumah mereka,” kata beliau, yang juga mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) Cathay Holdings.
“Saya ingin mewujudkan satu platform bagi peniaga sedemikian menggunakan dapur demo di restoran kami untuk mereka membuat kek dan kuih, dan menjualnya di restoran kami.
“Harapannya adalah ia dapat memberi peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan dan mungkin satu hari nanti, mereka akan dapat memiliki kedai sendiri supaya dapat lebih dekat dengan pelanggan,” tambah beliau.
Restoran di WGS itu merupakan yang terkini dan ketiga di bawah jenama Campur Nasi Padang kendalian keluarga Encik Suhaimi.
Seluas 2,300 kaki persegi, ia merupakan cawangan Campur Nasi Padang yang terbesar dengan pelaburan hampir $500,000.
Dua cawangan Campur Nasi Padang yang lain terletak di Djitsun Mall Bedok dan Downtown East.
Meskipun dikelilingi banyak kedai makan dan restoran lain di Geylang Serai, WGS dipilih sebagai lokasi bagi cawangan ketiganya kerana ia merupakan kawasan nadi masyarakat Melayu yang popular, kata Encik Suhaimi.
“WGS dilengkapi dengan tempat meletak kenderaan dan juga dihubungkan dengan pasar Geylang Serai melalui jambatan. Selain itu, pembangunan ini juga mempunyai agenda nasional untuk mempromosi budaya dan seni Melayu.
“Saya rasa tiada tempat yang lebih baik untuk membuka restoran ketiga saya,” tambahnya.
Dibuka kepada orang ramai pada 4 Januari, restoran terbaru itu terletak di aras satu WGS bersebelahan restoran makanan laut Mutiara Seafood dan mempunyai kapasiti sehingga 138 tempat duduk di dalam restoran dan juga ruang alfresco.
Ia turut menampilkan dapur demo yang boleh ditempah pada “kos kecil” oleh korporat, cef atau peniaga dari rumah dengan sijil makanan dan kebersihan yang sah untuk mengadakan kelas memasak dan membuat kuih dan kek.
Keunikan jenama Campur Nasi Padang itu adalah pada menunya, yang menghidangkan nasi padang dengan lauk pauk Melayu, Indonesia dan Serani hasil warisan kaya resipi keluarganya.
Bahkan, Encik Suhaimi sendiri yang membuat rempah bagi masakan yang dihidangkan di restorannya.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat lebih banyak perkahwinan antara orang Melayu dengan Serani, dan ramai orang mahu mencuba makanan Serani tetapi peluang itu mungkin tidak ada kerana sukar mendapat yang halal.
“Oleh itu, selain menghidangkan lauk pauk Melayu dan Indonesia, kami tawarkan masakan Serani popular yang juga boleh dinikmati masyarakat kita.
“Contohnya, devil’s curry, prawn bostador dan ikan chuan chuan,” kata beliau.
Setelah sedekad bersama PA, Encik Suhaimi memutuskan melepaskan jawatannya sebagai pengarah kanan pada November 2024 bagi menerajui perniagaan makanan dan minuman (F&B) keluarganya yang semakin berkembang. Sebelum ini, ia dikendalikan kakak dan dua anak dewasanya.
Encik Suhaimi mempunyai lima anak berusia antara lapan tahun dengan 32 tahun.
Selain tiga cawangan Campur Nasi Padang, keluarga tersebut turut mengendalikan enam restoran sandwic Subway dan sebuah kafe Joe & Dough di sini.
Keluarga Encik Suhaimi mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan sekitar sedekad lalu dengan pembukaan restoran francais 18 Chefs di Djitsun Mall Bedok.
Pada 2022, cawangan Campur Nasi Padang yang pertama dibuka di pusat beli-belah yang sama, diikuti dengan cawangan kedua di Downtown East pada November 2024.
“Saya sebenarnya belajar memasak dari nenek, ibu dan juga isteri saya yang merupakan seorang Serani. Beliaulah yang ajar saya masak masakan Serani.
“Anak-anak saya masih kecil apabila isteri saya meninggal dunia dan saya masih ingat lagi, isteri saya minta saya masak untuk mereka supaya mereka boleh makan di rumah dan kami tidak hilang warisan masakan keluarga,” imbas beliau.
Kunci kejayaan dalam menjalankan perniagaan F&B dengan baik adalah dengan mendapatkan maklum balas oleh pelanggan dan bersikap terbuka dengan pandangan serta saranan yang diberi, kata beliau.
Di restoran Campur Nasi Padang, Encik Suhaimi berkata pelanggan akan diberi borang maklum balas supaya mereka dapat berkongsi pandangan tentang masakan mereka dan apakah ada rasa dan ruang yang boleh diperbaiki.
“Sebagai contoh, apabila kami baru mula berniaga, saya perhatikan ayam masak merah kami tidak begitu laris. Apabila saya minta maklum balas, ada mak cik ini beritahu saya yang ayam masak merah dah seperti masakan harian di rumah. Tapi kalau rendang, orang makan di luar sebab susah dan lama nak masak di rumah,” kata beliau.
“Jadi, menu kami tercipta berdasarkan maklum balas pelanggan yang makan di restoran kami, termasuk masakan yang ingin mereka lihat disediakan.
“Oleh itu, kejayaan kami adalah berdasarkan maklum balas yang diterima dan saya rasa secara asasnya ini amat penting dalam perniagaan F&B,” tambah beliau.
Meskipun baru sahaja menyediakan cawangan yang ketiga, Encik Suhaimi dan keluarganya kini sedang meneroka peluang untuk membuka cawangan keempat dan kelima di bahagian utara dan barat Singapura.
Mereka juga berharap dapat menubuhkan dapur pusat dan memperluaskan perniagaan katering mereka.
Buat masa ini, Encik Suhaimi berkongsi bahawa perniagaannya bekerjasama dengan sebuah syarikat bagi menyediakan katering untuk majlis perkahwinan.
Namun, selain mengembangkan perniagaan di dalam negara, Encik Suhaimi juga mempunyai cita-cita menebarkan sayap Campur Nasi Padang ke persada dunia pada satu hari nanti.
“Kami akan dapatkan pensijilan halal supaya dapat mengeksport produk rempah kami sendiri ke pasaran luar negara yang berpotensi seperti Timur Tengah.
“Kami sedang menuju ke arah itu... untuk membawa jenama kami ke luar Singapura,” kata beliau.
Nasihat beliau kepada mereka yang ingin berkecimpung dalam dunia perniagaan F&B adalah untuk menimba ilmu dan kemahiran berhubung kepintaran kewangan dalam perniagaan, dan memahami keperluan pelanggan.
“Ia adalah tulang belakang kejayaan setiap perniagaan. Anda perlu fahami aliran tunai, pengurusan kewangan, cara membaca keuntungan dan kerugian dan sebagainya.
“Kedua, anda juga perlu memahami keperluan dan kemahuan pelanggan. Ia bukan tentang apa yang anda suka lakukan tetapi apa yang orang mahukan.
“Ini penting bagi penakatan perniagaan dalam mana-mana bidang,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg