Setelah hampir 20 tahun mendaki tangga korporat hingga menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) Cathay Holdings, Encik Suhaimi Rafdi terdorong memburu impiannya dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Namun, selepas meninggalkan Cathay, beliau terpanggil pula menyumbang kepakarannya dalam sektor masyarakat dengan menerajui projek hab masyarakat Our Tampines Hub (OTH).
Beliau menyertai Persatuan Rakyat (PA) semasa fasa perancangan hab tersebut sebagai pengarah kanan hingga hab itu siap pada 2016.
Kini, setelah 10 tahun dalam sektor masyarakat, Encik Suhaimi akhirnya memenuhi impian beliau menjadi usahawan F&B.
Keinginan mendalamnya meneroka bidang F&B dek azam beliau ingin meneruskan warisan resipi keluarganya yang berketurunan Indonesia, Melayu dan Serani. Ibu Cik Suhaimi merupakan warga Indonesia dari Pekan Baru, Sumatera, manakala arwah isterinya pula Serani.
Pada 4 Januari, Encik Suhaimi, 55 tahun, membuka restoran Campur Nasi Padang di Wisma Geylang Serai (WGS).
Restoran itu adalah cawangan ketiga di bawah jenama tersebut, dengan dua cawangan lain terletak di Djitsun Mall Bedok dan Downtown East.
Cawangan ketiga itu merupakan yang terbesar, dengan pelaburan hampir $500,000, kata Encik Suhaimi, penerima Anugerah Jauhari Berita Harian pada 2012, semasa beliau memimpin Cathay.
Uniknya restoran di WSG itu ialah ia mempunyai dapur demo untuk memberi peluang kepada peniaga dari rumah membuat kek dan kuih bagi dijual kepada orang ramai, sekali gus mendedahkan mereka kepada dunia niaga di luar rumah.
“Ramai peniaga dari rumah sebenarnya mendambakan peluang berniaga di kedai ataupun luar persekitaran rumah mereka.
“Ramai daripadad mereka telah pun memasuki dunia e-dagang, tetapi kami berharap dengan peluang ini, mereka akan dapat memiliki kedai sendiri satu hari nanti supaya dapat lebih dekat dengan pelanggan,” kata Encik Suhaimi.
Belau meninggalkan PA pada November 2024 untuk menerajui perniagaan F&B yang dikendalikan bersama kakak dan dua anak dewasanya.
Menurut Encik Suhaimi, keluarganya sedang meneroka rancangan membuka cawangan keempat dan kelima Campur Nasi Padang di utara dan barat Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg