Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Restoran Hjh Maimunah, Warong Pak Sapari luaskan niaga, buka cawangan baru

Oct 27, 2023 | 5:30 AM
CAWANGAN MINI DIPERLUAS : Selepas pembukaan cawangan mini kelima di pusat makanan Boleh Boleh! yang terletak di Clementi Mall, Restoran Hajah Maimunah akan buka satu lagi cawangan di kawasan barat Westgate bulan depan.
CAWANGAN MINI DIPERLUAS : Selepas pembukaan cawangan mini kelima di pusat makanan Boleh Boleh! yang terletak di Clementi Mall, Restoran Hajah Maimunah akan buka satu lagi cawangan di kawasan barat Westgate bulan depan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Selepas pandemik Covid-19 berlalu pergi, dua pengusaha perniagaan sajian Melayu dengan jenama yang ‘melekat’ di minda ramai, Restoran Hajah Maimunah dan gerai Selamat Datang Warong Pak Sapari Abang Road, gigih menambah cawangan di sana sini.

Setelah membuka cawangan di pusat makanan Boleh Boleh! yang terletak di Clementi Mall, Restoran Hajah Maimunah yang menjual nasi padang Melayu bakal membuka satu lagi cawangan di kawasan barat, iaitu di pusat beli-belah Westgate bulan depan. Ia juga mempunyai dua restoran dan lima cawangan ‘mini’ di merata Singapura.

Sementara itu, gerai berusia 50 tahun yang terkenal dengan hidangan mi rebus dan mi soto, Selamat Datang Warong Pak Sapari, yang bermula di Adam Road telah membuka cawangan kedua di Lau Pa Sat pada Isnin. Ia merancang membuka dua lagi cawangan menjelang penghujung 2023.

Kedua-duanya merupakan restoran atau gerai dalam senarai Michelin Bib Gourmand 2023, yang mengiktiraf restoran dan gerai dengan makanan bermutu pada harga berpatutan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Cik Maria Didih, pemilik dan pengurus operasi Restoran Hajah Maimunah yang beroperasi sejak 1992 di Jalan Pisang, berkata:

“Kami awalnya percaya menawarkan penghantaran melalui platform seperti GrabFood sudah memadai untuk pelanggan di kawasan Barat, tetapi kami terus menerima maklum balas dan rayuan membuka cawangan baru. Dari situlah, kami mengorak langkah memperluas perniagaan kami bagi memenuhi permintaan orang ramai yang senang dengan sajian kami. Tiada pelabur. Semua hasil titik peluh sendiri dan berkat doa pelanggan.”

Pemilik gerai Selamat Datang Warong Pak Sapari, Encik Sumadi Sapari, pula memperluas perniagaan sambil memperkenal sajian Nasi Soto iaitu nasi bercampur kuah soto di cawangan di Lau Pa Sat yang menelan belanja sekitar $50,000 untuk dibangunkan.

“Menempatkan kedai kami di tengah pusat bandar merupakan hasil kerja keras selama setahun. Kami teringin memajukan makanan warisan Melayu yang disesuaikan dengan cita rasa generasi semasa. Bagusnya, di Lau Pa Sat, ramai orang. Pada hari biasa, pekerja pejabat di kawasan bandar yang menghujani gerai kami. Pada hujung minggu pula, lebih ramai pelancong datang,” katanya.

Laporan lanjut di Muka 7

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg