Revolut akan membuka pejabat baharu di Collyer Quay Centre menandakan perkembangannya di Singapura dan rantau ini, kata syarikat teknologi kewangan (fintech) yang berpangkalan di London itu pada 8 Oktober. 

Syarikat itu juga akan melabur hampir $350 juta di Singapura dalam tempoh lima tahun akan datang. Pelaburan itu merangkumi inovasi produk, pertumbuhan perniagaan dan pengembangan tenaga kerja tempatan.

Revolut, yang mula beroperasi di Singapura pada 2019, kini mempunyai hampir 170 pekerja di sini. Syarikat itu merancang menambah bilangan pekerja kepada lebih 300 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pada 2025, bilangan pekerjanya sudah naik seganda. Kini ia merancang mengambil lebih ramai pekerja untuk peranan dalam bidang kejuruteraan, produk, data dan kecerdasan buatan (AI).

Pejabat baharu itu akan menempati ruang seluas 8,880 kaki persegi di tingkat sembilan Collyer Quay Centre, dan dijadualkan dibuka pada awal 2027. Nama syarikat itu turut akan dipaparkan pada bangunan tersebut.

Buat masa ini, Revolut beroperasi di ruang kerja bersama WeWork di Funan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Revolut Singapura, Encik Raymond Ng, memberitahu The Straits Times (ST): “Saya rasa mempunyai ruang sendiri sangat penting, bukan sahaja untuk kakitangan kami, tetapi juga untuk pengguna kami, supaya mereka lebih mengenali kami dan logo kami.

“Kami mahu menjadi aplikasi harian mereka, bukan sekadar aplikasi untuk melancong, kerana matlamat akhir kami ialah menjadi tempat untuk semua urusan wang pengguna kami.”

Beliau menambah bahawa pejabat baharu itu turut menunjukkan komitmen syarikat terhadap Singapura, dan menjadi pangkalan untuk berkembang ke rantau ini.

Selain Singapura, Revolut sudah beroperasi di Jepun, India, Australia dan New Zealand di rantau Asia Pasifik, dan sedang mencari lebih banyak peluang. Syarikat itu juga mempunyai hab teknologi di Filipina.

Encik Ng berkata: “Kami sentiasa mencari peluang untuk memasuki pasaran. Semuanya bergantung pada masa dan sama ada pasaran itu sesuai. Kami perlu meneliti kes perniagaan serta berbincang dengan pengawal selia.” 

Di Singapura, Encik Ng juga mahu mengubah gambaran bahawa Revolut hanyalah aplikasi untuk pelancong Singapura menyimpan pelbagai mata wang.

Revolut sudah mempunyai lesen mata wang kripto di Singapura. Pengguna juga boleh membuat pelaburan dan berdagang melalui aplikasi itu.

Syarikat itu turut menawarkan langganan berperingkat. Pengguna boleh mengakses produk kekayaan dan gaya hidup, seperti perkhidmatan VPN, perkhidmatan AI dan insurans perjalanan, mengikut tahap langganan mereka.

Encik Ng berkata: “Di Singapura, kami bermula dengan perkhidmatan berkaitan pelancongan, namun sekarang kami mahu digunakan untuk perkhidmatan harian juga.”

Pelaburan Revolut di Singapura bertujuan menambah bilangan pengguna individu dan perniagaan, terutamanya kerana Singapura ialah hab kewangan dan logistik. 

Beliau berkata ramai syarikat menubuhkan pejabat serantau di Singapura, dan mereka mempunyai keperluan segera seperti kiriman wang dan urus niaga kewangan.

Di sinilah Revolut boleh membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) serta syarikat rentas sempadan yang sedang berkembang atau mencari sistem operasi kewangan yang lebih bersepadu.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti