Topik diikuti
Pergi ke BHkuRezeki dua beradik pikul tugas mencabar sebagai pakar pengikat kontena
Rezeki dua beradik pikul tugas mencabar sebagai pakar pengikat kontena
Ibu yang bimbang dengan sekitaran kerja pelabuhan yang dinamik lega dengan sistem latihan berstruktur serta penekanan pada aspek keselamatan dalam tugas
Rezeki dua beradik pikul tugas mencabar sebagai pakar pengikat kontena
Encik Muhammad Nurshadiqqin Mohamed Salizal dan adiknya, Encik Muhammad Aufa Aniq Mohamed Salizal, tidak pernah merancang untuk bekerja di syarikat yang sama.
Namun, rezeki sudah tertulis bahawa mereka berdua akan bertugas sebagai pakar pengikat kontena atau ‘lashing specialists’ di sebuah syarikat pengurusan kontena dan logistik, Call Lade Enterprises.
Tugas mereka mencabar kerana perlu mengikat dan meleraikan ikatan kontena di atas kapal bagi memastikan operasi kargo berjalan dengan selamat.
Kerja itu memerlukan kekuatan fizikal, tumpuan fikiran, penyelarasan pasukan dan disiplin, terutama dalam persekitaran pelabuhan yang sibuk dan menuntut perhatian terhadap keselamatan.
Encik Muhammad Nurshadiqqin, 24 tahun, menyertai Call Lade Enterprises hampir dua tahun lalu, pada 2024.
Dua minggu kemudian, adiknya, Encik Muhammad Aufa Aniq, 23 tahun, pula menyusuli dengan menyertai syarikat yang sama.
Menurut Encik Aniq, beliau pada mulanya mencari peluang pekerjaan sebelum menemui satu iklan jawatan kosong.
Selepas menunjukkan skop tugas dan maklumat syarikat itu kepada abangnya, barulah mereka menyedari bahawa jawatan berkenaan ditawarkan oleh syarikat yang sama.
Ketika ditanya Berita Harian (BH) mengenai pengalamannya, Encik Nurshadiqqin berkata:
“Cabaran pada peringkat awal adalah membina keyakinan untuk berkomunikasi dengan rakan sekerja daripada pelbagai latar belakang dan negara.”
Encik Aniq pula menambah, cabaran utamanya adalah menyesuaikan diri dengan tugas yang memerlukan ketahanan fizikal.
“Namun, latihan dan bimbingan yang diberikan banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja,” kongsinya.
Meskipun jarang ditugaskan di kren yang sama, mereka sentiasa menyemak jadual tugasan masing-masing.
Sekiranya salah seorang daripada mereka menerima tugasan yang lebih ringan, mereka akan saling membantu bagi memastikan kerja masing-masing dapat diselesaikan dengan lancar.
Bagi kedua-dua beradik itu, kepuasan sebenar hadir apabila melihat ribuan kontena berjaya dikendalikan dan kapal dapat belayar mengikut jadual.
Pada peringkat awal, mereka memilih untuk merahsiakan hubungan adik-beradik mereka daripada pengetahuan rakan sekerja.
“Kami mahu dikenali melalui usaha dan sikap kerja kami sebagai individu, bukan kerana hubungan kekeluargaan atau dianggap bergantung antara satu sama lain,” ujar Encik Aniq.
Sementara itu, Encik Nurshadiqqin berkata bekerja di syarikat yang sama memberinya peluang melihat sendiri etika kerja adiknya.
“Di rumah, kami adik-beradik. Namun, di tempat kerja, saya melihat Aniq sebagai seorang yang sangat serius, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap tugasnya,” katanya.
Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh adik-beradik ini adalah apabila isteri mereka dimasukkan ke wad hospital yang sama untuk melahirkan anak masing-masing.
Lebih istimewa, cahaya mata mereka dilahirkan pada tempoh hanya selang sehari.
Penyelia mereka turut melawat bayi mereka sambil membawa bakul hadiah, malah sempat bergurau bahawa dirinya tidak perlu membuat dua lawatan berasingan.
Detik itu menjadikan kenangan tersebut lebih bermakna buat keluarga mereka.
Mengenai penglibatan mereka dalam tugas ini, ibu mereka, Cik Siti Sufiyyah Ithnin, 43 tahun, pada mulanya terkejut dan bimbang apabila mengetahui kedua-dua anak lelakinya bekerja dalam persekitaran pelabuhan yang dinamik dan menuntut perhatian tinggi terhadap keselamatan.
Namun, kebimbangannya semakin reda apabila mendengar pengalaman anak-anaknya mengikuti latihan, menggunakan kelengkapan perlindungan diri, menghadiri taklimat keselamatan harian, serta menerima bimbingan penyelia di Call Lade Enterprises.
Satu kebetulan yang mencuit hati turut berlaku semasa sambutan Tahun Baru Cina.
Sempena sambutan itu, Call Lade Enterprises menempah hidangan daripada restoran makanan segera KFC untuk pekerjanya.
Tanpa disedari, Cik Siti, yang bekerja sambilan di cawangan KFC di Anchorpoint, hadir pada awal pagi untuk menyediakan tempahan berkenaan tanpa mengetahui bahawa hidangan itu adalah untuk tempat kerja anak-anaknya.
“Apabila Aniq menghantar gambar dia sedang menikmati KFC di tempat kerja dalam kumpulan WhatsApp keluarga, barulah kami sedar hidangan itu disediakan di cawangan tempat saya bekerja. Ia benar-benar satu kebetulan yang manis,” jelas Cik Siti.
Menurut pengurus keselamatan Call Lade Enterprises, Encik Muhammad Taufiq Sarkwan, syarikat itu amat menitikberatkan latihan berstruktur sebelum seseorang pekerja ditugaskan di lapangan.
Latihan itu merangkumi pembelajaran teori, latihan bekerja di tempat tinggi, latihan praktikal di tempat kerja, sistem sokongan rakan pembimbing, serta penilaian oleh penyelia bagi memastikan pekerja bersedia menjalankan tugas dengan selamat.
Call Lade Enterprises juga mendapatkan dan mengambil kira maklum balas pekerja sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan.
“Sebagai contoh, apabila pekerja memaklumkan bahawa kasut keselamatan sedia ada agak licin dan mudah menyerap air, syarikat kami menilai serta menguji beberapa pilihan but keselamatan baharu yang kalis air dan mempunyai ciri antigelincir sebelum membuat keputusan untuk membelinya,” kata Encik Taufiq.
Selain itu, taklimat keselamatan harian turut diperkasakan melalui pendekatan digital dengan menggunakan avatar pegawai keselamatan.
Inisiatif itu menjadikan penyampaian mesej keselamatan lebih interaktif dan dekat dengan pekerja, di samping kewujudan kuiz bagi mengukur tahap pemahaman mereka terhadap kandungan taklimat.
Cik Siti berkata slogan Call Lade Enterprises, ‘Arrive Home Safely, Always’ (Sentiasa Pulang ke Rumah dengan Selamat), amat menyentuh hatinya.
“Sebagai seorang ibu, itulah doa dan harapan saya setiap hari. Saya mahu mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh, tetapi yang paling penting adalah mereka pulang ke rumah dengan selamat pada penghujung setiap hari,” katanya.
