Penggunaan kapal autonomi untuk mengangkut kontena antara terminal pelabuhan di Singapura mungkin bakal menjadi kenyataan.

Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) bersama pengendali pelabuhan PSA Singapore mengumumkan tawaran permohonan cadangan untuk membangun dan menguji teknologi tersebut pada 22 April.

Kapal itu, yang dikenali sebagai kapal penghantar kontena antara pintu masuk, akan memindahkan kontena antara terminal, misalnya Terminal Tuas dengan Terminal Pasir Panjang, jelas MPA dan PSA.

Ia juga memainkan peranan penting dalam operasi harian pelabuhan.

Permohonan cadangan reka bentuk itu adalah sebahagian daripada usaha meneroka teknologi autonomi, selain menilai tahap kesediaan, kebolehlaksanaan operasi, dan ciri keselamatannya dalam operasi pelabuhan, kata MPA dan PSA.

“Apabila keupayaan autonomi semakin maju, ia dijangka dapat mewujudkan peluang kerjaya baru seperti dalam pemantauan dan operasi kapal jarak jauh, kejuruteraan sistem autonomi, analisis data maritim, serta peranan penyelenggaraan teknikal yang khusus,” tambah mereka.

Permohonan saranan tersebut turut merangkumi pelan bagi sebuah pusat operasi jarak jauh, yang akan menyepadukan maklumat daripada penderia kapal serta data trafik pelabuhan, bagi membolehkan pemantauan masa nyata dan pelaksanaan campur tangan segera, jika perlu.

Menurut MPA dan PSA, pemohon perlu mempertimbangkan aspek utama dalam cadangan mereka, seperti keselamatan pengemudian, interaksi bersama kapal dengan kru, serta pematuhan terhadap peraturan.

Memanfaatkan teknologi autonomi merupakan sempadan baru bagi industri maritim, dan Singapura, sebagai salah satu pelabuhan tersibuk di dunia, adalah pusat ujian yang ideal, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai.

Berucap pada hari kedua Minggu Maritim Singapura, di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec Singapura, pada 22 April, beliau menyatakan bahawa teknologi baru itu menjanjikan peningkatan daya penghasilan yang ketara.

Namun, prasarana digital Singapura harus dilindungi bagi memastikan sektor tersebut berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan teknologi berkenaan.

Kenderaan automatik dan kren pangkalan telah digunakan dalam fasa pertama Pelabuhan Tuas, yang menghasilkan kecekapan, daya penghasilan pekerja, dan tahap keselamatan lebih tinggi, tambah Encik Murali.

Menyifatkannya sebagai “revolusi senyap namun tidak boleh dinafikan”, beliau menjelaskan bahawa kemajuan teknologi itu menandakan salah satu daripada tiga perubahan struktur yang sedang mempengaruhi industri tersebut.

Selain itu, penyahkarbonan merupakan satu lagi peralihan besar yang sedang berlaku.

Bertepatan dengan peralihan tersebut, MPA telah memeterai perjanjian dengan Suruhanjaya Perdagangan dan Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unctad).

Langkah itu bertujuan meluaskan penggunaan bahan api alternatif dan penyelesaian digital di peringkat sejagat.

Kedua-dua pihak akan bekerjasama membantu negara membangun bagi memperkukuh keupayaan maritim mereka.

Encik Murali berkata isu perubahan iklim mungkin kurang mendapat tumpuan disebabkan konflik geopolitik.

Namun, beliau menambah, ketidaktentuan pasaran tenaga kini mendesak keperluan penyahkarbonan yang lebih tinggi.

Singapura kini memberi tumpuan bagi mengurangkan pelepasan karbon dari kapal, bermula dengan bot pelabuhan.

Mulai 2030, semua bot pelabuhan baharu di perairan Singapura mesti dikuasakan elektrik sepenuhnya.

Atau, ia boleh menggunakan bahan api bio B100 – biodiesel tulen daripada sumber boleh diperbaharui – atau sesuai guna bahan api sifar bersih seperti hidrogen.

Meskipun tenaga elektrik menunjukkan potensi besar, tahap penggunaannya masih di peringkat awal.

Oleh itu, sokongan prasarana amat diperlukan bagi menggalakkan pelaksanaannya.

Untuk menyokong bot pelabuhan elektrik, lebih banyak pusat pengecasan akan dibina di terminal dan jeti utama, seperti jeti Marina South dan West Coast, dalam beberapa tahun akan datang, kata Encik Murali.

Menjelang 2030, rangkaian pengecasan akan diwujudkan di sepanjang pesisir pantai selatan Singapura.

Perubahan struktur terakhir melibatkan tenaga kerja.

Menyedari peranan kerjaya dalam industri maritim akan terus berkembang, Encik Murali mengumumkan beberapa kursus untuk mempersiap individu bagi masa akan datang.

Ia termasuk program keselamatan siber baharu selama dua bulan yang akan bermula pada Ogos 2026.

Program itu dilancarkan secara bersama oleh MPA, Persatuan Perkapalan Singapura (SSA), Institut Teknologi Singapura (SIT), serta Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

Latihan itu akan melengkapkan karyawan teknologi maklumat (IT) dengan kemahiran untuk menangani ancaman siber yang menjejas kapal maritim, dengan sasaran penyertaan sekitar 70 peserta setiap tahun.

Selain itu, Universiti Pengurusan Singapura (SMU) akan melancarkan Diploma Siswazah Industri dalam bidang Maritim pada Ogos.

Diploma itu akan membekalkan karyawan peringkat pertengahan kerjaya dengan pengetahuan teknikal, operasi, serta kepakaran kepimpinan, kata Encik Murali.