Rindu terubat dengan ihsan masyarakat setempat meski jauh daripada keluarga
Rindu terubat dengan ihsan masyarakat setempat meski jauh daripada keluarga
Perusahaan sosial setempat, F-Fry, jalankan kegiatan bantu pekerja migran Muslim
Pekerja migran, Encik Mia Rakib, sedang menjalani Ramadan keempatnya di Singapura.
Sejak 2018, beliau yang berusia 31 tahun, tekun bekerja di Singapura demi menyara keluarga di Bangladesh.
Semasa ditemui Berita Harian (BH) di dormitori Westlite Woodlands pada 22 Februari, Encik Mia meluahkan rasa rindu yang mendalam terhadap keluarganya.
Perasaan itu kian memilukan kerana beliau tidak dapat hadir ketika kelahiran anak perempuannya sekitar sebulan setengah yang lalu.
Namun, kemesraan sukarelawan daripada perusahaan sosial, F-Fry, semasa acara iftar tahunan mereka sedikit sebanyak mengubat kerinduan yang terpendam.
Encik Mia merupakan antara 300 pekerja migran Muslim yang menerima beg barangan ditaja oleh F-fry dan Masjid Assyafaah.
Dalam acara yang sama, sekitar 170 daripada pekerja migran dan 35 sukarelawan F-fry menyertai kegiatan menulis poskad, yang akan dihantar ke keluarga mereka oleh Singapore Post dan Kumpulan Keyakinan, Penjagaan dan Penglibatan (Ace) di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Dalam tulisannya, Encik Mia meluahkan rasa cinta dan rindu terhadap isterinya, yang kali terakhir ditemuinya pada Januari 2025.
“Tentulah saya sedih kerana tidak dapat berpuasa dan menyambut Hari Raya bersama keluarga, tetapi saya perlu berkorban, bekerja di Singapura demi masa depan mereka.
“Saya hanya mampu melihat anak dan keluarga saya melalui panggilan video.
“Inilah realiti ramai pekerja migran seperti saya yang mencari rezeki di sini,” luah Encik Mia.
Senyumnya terukir, namun jelas menyembunyikan sebak di dada.
Bagi pengasas F-fry, Encik Faiz Roslan, acara iftar itu adalah wadah penting untuk masyarakat menyantuni pekerja migran yang sering beraya jauh dari tanah air.
“Menyediakan makanan dan minuman penting, tetapi yang paling dirindui tetaplah keluarga. Demi mencari rezeki, mereka sanggup berkorban meninggalkan keluarga,” katanya.
Walaupun pekerja migran sering menghubungi keluarga melalui panggilan video, Encik Faiz berharap hadiah fizikal, seperti poskad, mampu menghadirkan sentuhan yang lebih bermakna.
F-fry, yang ditubuhkan pada 2020, merupakan sebuah perusahaan sosial yang menawarkan makanan halal kepada pekerja migran berpendapatan rendah.
Majlis iftar pada 22 Februari itu adalah sebahagian daripada kempen amal F-fry, #RamadanWithBhaiya 2026, yang diadakan saban tahun sejak ditubuhkan pada 2020.
F-fry mengumpul dana sendiri untuk menjayakan program itu.
Mereka turut menerima sokongan daripada rakan kongsi, seperti Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM).
Ini juga kali kedua F-fry dan Westlite – pengendali dormitori pekerja migran – bekerjasama untuk menyantuni penduduk Muslim di dormitori Woodlands.
“Kami mendapati cara paling berkesan membantu pekerja migran adalah di kediaman mereka, jadi kami amat bersyukur pihak Westlite mengizinkan kami mengadakan acara iftar serta pengagihan makanan di sini,” jelas Encik Faiz.
Majlis iftar di Westlite Woodlands merupakan acara yang pertama antara empat yang dirancang bagi 2026.
“Secara keseluruhannya, kami merancangkan dua majlis iftar dan dua lagi acara pengagihan makanan untuk berbuka puasa. Kami ingin membantu sekitar 1,000 pekerja migran seminggu,” jelas Encik Faiz.
Beg barangan yang diagihkan pada 22 Februari ditaja oleh Masjid Assyafaah, yang gigih membantu F-fry sejak 2022.
Selain juadah berbuka puasa, beg itu mengandungi bubur, peralatan makan yang boleh digunakan semula, ponco, kurma, karipap, minuman dan lain-lain.
“Seringkali, pihak Masjid Assyafaah menyumbang lebih daripada kami meminta dan kami sangat bersyukur atas sokongan berterusan mereka,” kata Encik Faiz.
Beliau menambah: “Majlis iftar dan kegiatan seperti ini bukan sekadar menghargai kerja keras pekerja migran, malah membuka ruang kepada ahli masyarakat lebih memahami pengorbanan mereka dan menyalurkan bantuan.
“Saya gembira kami dapat menjadi sumber kegembiraan bagi mereka melalui makanan dan persahabatan.”

