Topik diikuti
Pergi ke BHkuRingkasan kegencotan pada operasi korban
Ringkasan kegencotan pada operasi korban
Ringkasan kegencotan pada operasi korban
Sekitar 400 haiwan korban kendalian pengendali korban berlesen, The Meat Brothers (TMB), tidak dapat dibawa masuk dari Australia ke Singapura tepat pada masanya, menjelang Hari Raya Aidiladha pada 27 Mei bagi pelaksanaan korban secara langsung di sini.
Perkara ini kali pertama diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam satu kenyataan pada 21 Mei, setelah ia menjangkakan kelewatan haiwan korban dari Australia ke Singapura yang dikendalikan syarikat itu.
Pada 23 Mei, TMB menyatakan dalam satu hantaran Facebook bahawa mereka kemungkinan tidak sempat menghantar haiwan sedemikian ke Singapura, menjelang 27 Mei, kerana masih belum mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Australia.
Syarikat itu menjelaskan tiga pilihan gantian ditawarkan kepada mereka yang terjejas dalam hantaran tersebut.
Pilihan pertama melibatkan pelaksanaan ibadah korban di Australia, dengan daging dihantar terus kepada sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban).
Bagi pilihan kedua, korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi yang dipercayai dengan daging diagihkan kepada asnaf serta masyarakat tempatan; manakala pilihan ketiga adalah pemulangan bayaran sepenuhnya.
Ekoran kegencotan itu, tiga masjid – Masjid Al-Firdaus dan Masjid Pusara Aman di Choa Chu Kang, serta Masjid Petempatan Melayu Sembawang – tidak dapat meneruskan pelaksanaan korban secara langsung pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari tasyrik, iaitu tiga hari berikutnya.
TMB turut membekalkan 80 kambing bagi Masjid Jamae Chulia, tetapi penyelesaian dan pengaturan gantian dapat dicapai oleh pengendali korban masjid itu, AgroMaster.
Perkhidmatan korban tempatan oleh pengendali korban berlesen lain yang dilantik di Masjid Al-Istighfar, Masjid Omar Salmah, dan Masjid Tentera Diraja diteruskan seperti biasa.
Pada 14 Jun, pengasas bersama TMB, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, berkongsi kepada Berita Harian (BH) kesemua sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban) yang terjejas dek kelewatan haiwan korban, akan menerima semula wang mereka selewat-lewatnya awal Ogos.
Ini termasuk sekitar 400 sohibul korban untuk Masjid Pusara Aman, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Al-Firdaus.
Pada 18 Jun, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata MUIS sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan.
Ini termasuk Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Lembaga Taman Negara (NParks), serta pihak berkepentingan lain, bagi meneliti kejadian yang menjejas pelaksanaan ibadah korban tempatan pada 2026.
Pada 7 Julai, beliau berkata MUIS akan meningkatkan pengawasan terhadap pengendali korban, terutamanya pengendali baharu, sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), yang diajukan semasa sidang Parlimen pada 7 Julai.
Beliau menambah MUIS akan bekerjasama dengan pengendali sedemikian bagi memastikan kelulusan kawal selia dapat dicapai tepat pada masanya, serta memantau titik pencapaian utama.
Ini selain melaksanakan keperluan kontraktual dan operasi bagi pengendali, serta memulakan persiapan ibadah korban secara lebih awal, ujarnya.
