Topik diikuti
Pergi ke BHkuIsu korban tergendala: Pengendali usaha pulang wang 850 pelanggan selewatnya awal Ogos
Isu korban tergendala: Pengendali usaha pulang wang 850 pelanggan selewatnya awal Ogos
Pengasas bersama The Meat Brothers mohon maaf kegenjotan operasi, tawar pulangan penuh atau sebahagian wang selain agih beriani bagi hargai pihak terjejas
Isu korban tergendala: Pengendali usaha pulang wang 850 pelanggan selewatnya awal Ogos
Kesemua 850 sohibul korban (individu yang melakukan ibadah korban), yang terjejas dek kelewatan haiwan korban semasa Aidiladha di bawah khidmat pengendali korban berlesen tempatan, The Meat Brothers (TMB), akan menerima semula wang mereka selewat-lewatnya awal Ogos.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) sewaktu acara pengagihan 1,000 bungkus nasi beriani di Blok 536, Bedok North Street 3, pada 14 Jun, pengasas bersama TMB, Ustaz Muhammad Imran Khan Ab Azis Khan, berkata pihaknya sudah mula memproses pulangan wang bagi individu yang terjejas.
Individu itu termasuk sekitar 400 sohibul korban bagi tiga masjid, iaitu Masjid Pusara Aman, Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Al-Firdaus dan baki 450 sohibul korban yang lain bagi Al-Wehdah (Persatuan Arab).
Ustaz Imran menjelaskan: “Kami melakukan semua proses ini secara sendirian, jadi proses pemulangan bayaran ini akan mengambil sedikit masa.”
Selain penduduk Bedok North Street 3, nasi beriani kambing dan lembu itu juga diagihkan kepada Muhammadiyah, Pertapis, Masjid Pusara Aman dan Masjid Al-Firdaus.
Menurut Ustaz Imran, pengagihan nasi beriani itu bukan sahaja usaha menyumbang kembali kepada masyarakat dan meraikan awal Muharam yang bakal tiba, bahkan ia juga tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada pihak berkepentingan yang terjejas.
Operasi korban TMB mengalami kegenjotan setelah permit eksport di bawah Sistem Jaminan Rangkaian Bekalan Pengeksport (Escas) untuk membawa haiwan korban ke Singapura dari Australia diluluskan lewat, sekali gus ia tidak dapat dihantar tepat pada masanya.
Pada 21 Mei, Ustaz Imran memberitahu BH bahawa urusan, termasuk permohonan permit itu di Australia, dilaksanakan pembekal haiwan korban di sana, iaitu Alqudsi Agri Group, manakala TMB menguruskan operasi dan dokumentasi di sini.
Dalam satu hantaran Facebook TMB pada 23 Mei, ia menjelaskan tiga pilihan alternatif ditawarkan kepada mereka yang terjejas.
Pilihan pertama melibatkan pelaksanaan ibadah korban di Australia, dengan daging dihantar terus kepada sohibul korban.
Bagi pilihan kedua, korban dilaksanakan di Medan, Indonesia, melalui rakan kongsi yang dipercayai dengan daging diagihkan kepada asnaf serta masyarakat tempatan; manakala pilihan ketiga adalah pemulangan bayaran sepenuhnya.
Daripada sekitar 400 sohibul korban bagi tiga masjid yang terjejas, Ustaz Imran berkata sekitar 350 orang tidak meneruskan hajat untuk melaksanakan korban bersama TMB dan wang yang dibayar akan dikembalikan sepenuhnya.
Menurut pengiraan BH, ini dianggarkan melibatkan jumlah dipercayai sekitar $230,000, berdasarkan harga yang dikenakan TMB, iaitu $655 bagi setiap domba.
Baki 50 individu yang terjejas pula memilih untuk melakukan korban di Medan.
Bagi golongan itu, Ustaz Imran berkata TMB juga akan memulangkan sebahagian wang yang telah mereka bayar kerana tidak dapat menjalankan ibadah korban secara langsung di Singapura dengan haiwan korban dari Australia yang ditempah.
TMB turut membekalkan 80 kambing bagi Masjid Jamae Chulia.
Setiap domba yang dibekalkan TMB dikenakan bayaran $655. Namun, operasi korban masjid itu dikendalikan oleh satu lagi pengendali korban berlesen, AgroMaster.
Ketika dihubungi, Ketua Pegawai Kewangan AgroMaster, Encik Zakaria Abdul Gapor, menjelaskan daripada jumlah ini, 44 sohibul korban meminta pulangan wang sepenuhnya.
Bagi golongan ini, pihaknya telah menerima pemulangan bayaran dari TMB, yang kemudian telah disalurkan kembali secara keseluruhan kepada sohibul korban masing-masing.
Sembilan individu memilih melakukan korban di Medan pada harga $250, dengan baki $405 juga telah dikembalikan kepada golongan ini, tambah beliau.
Jumlah selebihnya, iaitu 27 individu, memilih untuk menukar haiwan korban daripada domba kepada kambing tempatan, dengan setiap individu perlu menokok antara $200 dengan $545, bergantung pada saiz kambing, ujar Encik Zakaria lagi.
Sehubungan itu, Ustaz Imran berkata siasatan dalaman sedang dijalankan, termasuk penilaian oleh pihak luar.
Menurutnya, TMB juga akan menilai langkah selanjutnya setelah hasil siasatan dalaman yang mengambil masa sekitar beberapa bulan itu selesai.
Beliau menambah sejauh ini, TMB telah membelanjakan kira-kira $200,000 bagi persiapan korban secara langsung di sini. Ini termasuk kos mesin yang diperlukan, pembinaan kandang dan lain-lain.
