Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RKM buat penyesuaian terima penghuni lebih muda

Sep 12, 2023 | 5:30 AM
PERSEMBAHAN BERTENAGA: Penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) membuat persembahan di acara pengumpulan dana, CharityFest, pada 2 September. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai kos mengendalikan RKM, serta perbelanjaan bagi program dan kegiatan untuk penghuninya.
PERSEMBAHAN BERTENAGA: Penghuni Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) membuat persembahan di acara pengumpulan dana, CharityFest, pada 2 September. Dana yang dikumpul akan digunakan untuk membiayai kos mengendalikan RKM, serta perbelanjaan bagi program dan kegiatan untuk penghuninya. - Foto ihsan RKM

Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) kini memberi penjagaan kepada penghuni lebih muda, serendah umur lapan tahun, yang dimasukkan disebabkan keadaan keluarga mereka.

Umur itu lebih rendah berbanding yang tertera di laman web RKM yang ia menerima penghuni lelaki berusia antara 10 dengan 19 tahun.

Ada di kalangan penghuni lebih muda itu mengalami pengabaian, tidak diberi keperluan asas atau dikenakan hukuman fizikal yang keras oleh penjaga mereka.

Mereka mendapatkan perlindungan di RKM bagi tempoh antara beberapa bulan hingga beberapa tahun.

“RKM akan memenuhi keperluan penghuni. Kami perlu membuat penyesuaian kepada pelbagai jenis keperluan yang berbeza sedang kami berkhidmat kepada kumpulan umur yang berbeza. Ini termasuk dari segi program, interaksi, minat, penyeliaan dan usaha campur tangan,” kata Ketua RKM, Cik Rahmatunnisa Abdul Majeed.

Beliau berkata kanak-kanak lebih kecil itu mempunyai keperluan tertentu, seperti kemahiran kehidupan asas termasuk kebersihan diri, dandanan diri dan meletakkan sempadan peribadi yang sihat.

Mereka juga memerlukan bimbingan pendidikan, lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai kesukaran pembelajaran.

Keperluan emosi dan psikologi mereka turut perlu diberi perhatian kerana kebanyakan kanak-kanak itu telah melalui trauma dan mereka mengalami mimpi ngeri serta gangguan imbas kembali.

Dalam beberapa hari pertama selepas kanak-kanak lebih kecil itu dihantar ke RKM di Pasir Ris Road, mereka berada dalam keadaan takut dan kadangkala rasa kehilangan kerana dipisahkan daripada keluarga mereka, kata Cik Rahmatunnisa.

“Mereka perlu menyesuaikan diri kepada perubahan dan sekitaran baru. Mereka merindui rumah mereka walaupun ia tidak selamat bagi sesetengah mereka. Mereka memerlukan lebih banyak sokongan emosi dan psikologi serta perlu kerap diawasi untuk membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih baik,” katanya.

Disebabkan usia mereka, kumpulan kanak-kanak yang lebih muda ini memerlukan program dan model penjagaan yang berbeza seperti Terapi Bermain, Terapi Seni dan juga sesi membaca seorang-dengan-seorang bagi memenuhi keperluan mereka dan membantu mereka menangani isu-isu yang mereka hadapi.

Dari segi keupayaan rumah kebajikan itu untuk berkhidmat kepada penghuni lebih muda, Cik Rahmatunnisa berkata: “Kami membangunkan keupayaan kakitangan kami melalui latihan untuk memastikan mereka dilengkapi dan yakin untuk menjaga penghuni dalam jagaan kami. Kami mengambil lebih ramai kakitangan bagi memastikan nisbah kakitangan kepada penghuni kekal kecil dan kami boleh terus memberi penjagaan yang betul dan memupuk nilai dalam persekitaran yang baik.”

Pada 2 September, RKM kembali menganjurkan acara pengumpulan dana tahunannya, CharityFest, setelah ia tidak diadakan selama tiga tahun ekoran pandemik Covid-19.

Menerusi usaha itu, RKM berharap dapat mengumpul $300,000 yang akan digunakan untuk membiayai kos mengendalikan rumah kebajikan itu, serta perbelanjaan bagi program dan kegiatan untuk penghuninya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg