Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RLAF jaya kumpul lebih $8j untuk Gaza; anjur kutipan lagi 20-26 Mac

Mar 9, 2024 | 4:52 PM
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menjalankan kutipan dana dalam talian dari 20 hingga 26 Mac bagi menyediakan bantuan kemanusiaan bagi warga Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak yang terjejas di Gaza.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menjalankan kutipan dana dalam talian dari 20 hingga 26 Mac bagi menyediakan bantuan kemanusiaan bagi warga Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak yang terjejas di Gaza. - Foto BH oleh ANWAR SALEH

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) telah berjaya mengumpul lebih $8 juta daripada masyarakat Singapura dari 19 Oktober hingga 17 November 2023 untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan di Gaza.

Dalam usaha terbaru, RLAF akan menjalankan satu lagi kutipan dana dalam talian dari 20 hingga 26 Mac bagi menyediakan bantuan kemanusiaan bagi warga Palestin, khususnya wanita dan kanak-kanak yang terjejas di Gaza.

RLAF juga akan menjalankan tabung Jumaat pada 22 Mac di masjid serata Singapura untuk memudahkan mereka yang ingin menghulurkan derma, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Demikian yang dikongsi Encik Masagos kepada media pada 9 Mac selepas majlis pelancaran kempen SalamSG 2024 di Masjid Assyafaah, sebagai kemas kini kepada pengumuman yang dibuatnya di Parlimen pada 6 Mac.

Semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) pada 6 Mac, Encik Masagos berkata RLAF akan menjalankan satu lagi kempen mengumpul dana bantuan kemanusiaan di Gaza pada Ramadan ini.

Encik Masagos berkata dana lebih $8 juta yang dikumpul RLAF telah diaudit dan diberikan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) bagi pelarian Palestin untuk menyediakan bantuan bagi warga yang memerlukan di Gaza.

“Kali ini, kita juga akan menjalankan usaha untuk mendapatkan dana melalui RLAF untuk ditumpukan kepada keperluan anak-anak, wanita dan keluarga di Gaza.

“Yang penting, kita akan memastikan bahawa dana ini akan sampai kepada mereka yang memerlukan dan kita akan kerjasama dengan agensi seperti UNRWA, Palang Merah dan sebagainya.

“Ini juga adalah tanggungjawab mereka untuk memastikan bahawa semua dana ini akan sampai kepada tangan yang memerlukan dan tidak akan dialihkan kepada tempat-tempat yang kita tidak mahu,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Memandangkan situasi di Gaza semakin berubah dan terdapat kemungkinan bantuan kemanusiaan tidak dapat disampaikan dengan cepat kepada penduduk di Gaza, Encik Masagos berkata RLAF akan bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan agensi-agensi tertentu untuk memastikan bantuan akan sampai.

Beliau juga berharap orang ramai, bukan sahaja masyarakat Islam, akan tampil untuk menderma bagi kempen tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg