RLAF kumpul lebih $615,000 bantu golongan memerlukan serata dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RLAF kumpul lebih $615,000 bantu golongan memerlukan serata dunia

Mar 18, 2026 | 7:03 PM

RLAF kumpul lebih $615,000 bantu golongan memerlukan serata dunia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
RLAF, sumbangan amal, bantuan kemanusiaan
Satu majlis penyerahan cek oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) kepada Palang Merah Singapura, Mercy Relief dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menandakan dana sebanyak $615,000 telah terkumpul buat golongan memerlukan di Afghanistan-Pakistan, Indonesia, Sri Lanka dan Sudan. Majlis itu turut dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tengah) serta wakil daripada setiap badan kebajikan tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berjaya mengumpulkan lebih $615,000 dana bagi tiga kempen berbeza yang dijalankan pada akhir 2025.

Dana tersebut dikumpulkan bagi tiga rayuan bantuan kecemasan termasuk bencana banjir Afghanistan-Pakistan; bencana banjir Asia (Indonesia dan Sri Lanka); serta bantuan kecemasan buat Sudan.

Dana yang terkumpul telah diserahkan melalui penyampaian empat cek berbeza kepada Palang Merah Singapura (SRC), Mercy Relief dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR).

Majlis penyerahan cek di Hab Islam Singapura pada 18 Mac itu telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Bercakap kepada pihak media di acara itu, Dr Faishal yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) berkata:

“Saya berbesar hati dapat menyampaikan cek-cek RLAF kepada beberapa rakan kerjasama.

“Lebih daripada $615,000 telah berjaya dikumpulkan pada akhir tahun lalu (2025) untuk membantu para mangsa yang terjejas oleh bencana alam di Indonesia dan Sri Lanka, di Afghanistan-Pakistan dan krisis di Sudan,” jelas beliau.

Dengan jumlah yang terkumpul, ia menjadi tanda komitmen dan sifat pemurah masyarakat Singapura yang sedia menghulurkan bantuan buat kelompok memerlukan, walaupun dari negara berbeza.

“Ini merupakan cerminan sifat ihsan dan murah hati rakyat Singapura dalam menyahut keperluan yang mendesak (di negara-negara yang menghadapi tekanan).

“Dana yang disalurkan akan digunakan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, air, bantuan perubatan dan sokongan pendidikan kepada mereka yang terjejas,” jelas beliau.

Justeru, kerjasama RLAF dengan beberapa badan kebajikan seperti SRC, Mercy Relief dan UNHCR itu memberi keyakinan kepada para penderma bahawa sumbangan akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan dengan sebaiknya.

Dr Faishal turut berharap rakyat Singapura akan terus bersifat prihatin untuk menyumbang kepada golongan memerlukan di serata dunia melalui kempen sebegitu.

“Walaupun Singapura negara yang kecil, usaha bersama kita ini amat bermakna.

“Saya terharu dengan kemurahan hati rakyat Singapura yang sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan.”

Dr Faishal turut menyeru agar masyarakat sentiasa mendoakan golongan yang memerlukan dan ditimpa musibah.

Selain itu, menjelang Hari Raya, RLAF masih menjalankan kutipan dana ‘Aid for Gaza 2026’ yang akan terus menerima sumbangan derma hingga 31 Mac.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada kempen itu secara dalam talian melalui laman web, rlafoundation.org.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg