Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) akan menyumbangkan sebanyak $50,000 kepada usaha bantuan kemanusian menyusuli banjir dahsyat yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos.

Dalam kenyataan RLAF pada 31 Ogos, ia menyeru agar masyarakat Singapura berganding bahu bagi membantu keluarga dan golongan yang terjejas dek banjir itu.

Ia menambah bahawa kempen kutipan derma bagi menyokong mangsa banjir di Nepal akan berlangsung dari 1 hingga 14 September.

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, RLAF menambah bahawa ia akan mengadakan kutipan derma di masjid-masjid tertentu melalui tabung khas yang ditandakan dengan logo RLAF dan Palang Merah Singapura (SRC), dari 7 hingga 14 September.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, akan menyertai para jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Al-Istighfar pada 11 September untuk menyokong usaha pengumpulan dana itu, kata RLAF.

Badan itu menambah bahawa sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan melalui SRC bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan.

Ini termasuk penyediaan air minuman dan bekalan kecemasan penting seperti terpal, selimut, tikar tidur, kit pertolongan cemas dan beg mayat.

Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata:

“Dalam tempoh mereka (para mangsa banjir) benar-benar memerlukan, kami berharap dapat menyatukan masyarakat Singapura untuk berganding mahu bersama komuniti yang terjejas.

“Ia bukan meliputi aspek solidariti samata-mata, tetapi juga dalam sifat belas kasihan dan mengambil tindakan – membantu mereka melalui tempoh pemulihan yang panjang dan memberi sinar harapan dan membina kehidupan baru.”

Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos itu kini disahkan mengorbankan lebih 800 orang, manakala sekurang-kurangnya 3,048 lagi masih hilang.

Angka itu dijangka terus meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat diperluaskan.

Saluran untuk menyumbang

  1. PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN 200910530ZRLA dan nyatakan ‘NEPAL FLOODS’ dalam kotak komen
  2. Pemindahan bank ke Akaun Semasa OCBC: 601313315001
  3. Laman web Giving.sg
  4. Laman web RLAF
  5. Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, NRIC/UEN (bagi derma yang boleh ditolak cukai), nombor telefon serta ‘NEPAL FLOODS’ ke alamat RLAF di Masjid Yusof Ishak, No 10 Woodlands Drive 17, Tingkat 4, Singapura 737740