Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura bakal hantar bekalan, kakitangan misi kemanusiaan ke Nepal
RLAF sumbang $50,000, lancar kempen kumpul dana dari 1 hingga 14 September.
Singapura akan menghantar bekalan dan kakitangan bagi misi kemanusiaan dalam usaha bantuan berterusan susulan banjir yang melanda Nepal.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 31 Ogos berkata perkara ini disampaikan oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, kepada rakan sejawatannya di Nepal, Encik Shisir Khanal, melalui panggilan telefon pada 31 Ogos.
Dalam sesi panggilan itu, MFA berkata Dr Balakrishnan telah menyampaikan ucapan takziah kepada Nepal, susulan banjir kilat teruk yang berlaku di sepanjang sempadan Nepal-China pada 26 Ogos.
Beliau turut memuji usaha bantuan bencana yang dilakukan Nepal dan turut merakamkan penghargaan atas bantuan pihak Nepal dalam misi mencari rakyat Singapura yang hilang.
Kementerian itu turut menambah bahawa Pasukan Polis Singapura (SPF) akan mengerahkan sebuah pasukan ke Nepal.
Ini termasuk pegawai polis yang mempunyai kepakaran dalam pengenalpastian mangsa bencana, sejajar dengan permintaan pemerintah Nepal.
Pemerintah Singapura akan turut menghantar bekalan yang terdiri daripada bekalan awam dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) ke Nepal, di samping sumbangan sebanyak AS$100,000 ($127,000) kepada Palang Merah Singapura (SRC) hasil kutipan dana pada 28 Ogos, ujar MFA.
Setakat ini, SRC telah mengumpul sekitar $1 juta secara keseluruhan.
Pasukan Respons Krisis MFA telah dikerahkan ke Nepal sejak 27 Ogos untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat Singapura yang terjejas di Nepal.
Sehubungan itu, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), dalam kenyataan berasingan pada 31 Ogos, berkata ia telah melancarkan kempen pengumpulan dana kemanusiaan bagi menyokong mangsa banjir di Nepal dari 1 hingga 14 September.
Ia juga berikrar untuk menyumbangkan $50,000 kepada usaha pengumpulan dana itu.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, RLAF menambah bahawa ia akan mengadakan kutipan derma di masjid-masjid tertentu melalui tabung khas yang ditandakan dengan logo RLAF dan SRC, dari 7 hingga 14 September.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, akan menyertai para jemaah bagi solat Jumaat di Masjid Al-Istighfar pada 11 September untuk menyokong usaha pengumpulan dana itu, kata RLAF.
Badan itu menambah bahawa sumbangan yang dikumpulkan akan disalurkan melalui SRC bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan di lapangan.
Ini termasuk penyediaan air minuman dan bekalan kecemasan penting seperti terpal, selimut, tikar tidur, kit pertolongan cemas dan beg mayat.
Ketua Pegawai Eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata:
“Dalam tempoh mereka (para mangsa banjir) benar-benar memerlukan, kami berharap dapat menyatukan masyarakat Singapura untuk berganding mahu bersama golongan yang terjejas.
“Ia bukan meliputi aspek solidariti samata-mata, tetapi juga dalam sifat belas kasihan dan mengambil tindakan – membantu mereka melalui tempoh pemulihan yang panjang dan memberi sinar harapan dan membina kehidupan baru.”
Banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos itu kini disahkan mengorbankan lebih 800 orang, manakala sekurang-kurangnya 3,048 lagi masih hilang.
Angka itu dijangka terus meningkat ketika operasi mencari dan menyelamat diperluaskan.
Agensi pengurusan bencana Nepal berkata seramai 2,502 orang masih hilang di negara itu, manakala 781 kematian telah disahkan.
Di Tibet pula, penyiar pemerintah China, CCTV, melaporkan 546 orang masih hilang dan 16 disahkan terkorban.
Saluran untuk menyumbang
- PayNow ke RLAF menerusi nombor UEN 200910530ZRLA dan nyatakan ‘NEPAL FLOODS’ dalam kotak komen
- Pemindahan bank ke Akaun Semasa OCBC: 601313315001
- Laman web Giving.sg
- Laman web RLAF
- Hantar cek kepada RLAF dengan menulis nama penderma, NRIC/UEN (bagi derma yang boleh ditolak cukai), nombor telefon serta ‘NEPAL FLOODS’ ke alamat RLAF di Masjid Yusof Ishak, No 10 Woodlands Drive 17, Tingkat 4, Singapura 737740
