Topik diikuti
Pergi ke BHkuRLAF pastikan dana Gaza disalur telus melalui rakan dipercayai
Pantau cara dana diguna; rayuan kemanusiaan pertama $8.1j pada 2023 beri manfaat lebih 200,000 penduduk Gaza
RLAF pastikan dana Gaza disalur telus melalui rakan dipercayai
Dengan lebih $15.6 juta dikumpul untuk penduduk Gaza sejak 2023, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) berusaha memastikan wang tersebut disalurkan dengan sebaiknya bagi membantu golongan terjejas.
Ia termasuk menyemak dokumentasi kewangan dan laporan perkembangan serta mengadakan kunjungan ke tempat yang relevan jika keadaan mengizinkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid.
“Kami memandang serius kepercayaan yang diberikan penderma kami. Ini bermaksud kami berhati-hati dalam memilih rakan kemanusiaan, memastikan sumbangan digunakan untuk tujuan yang ditetapkan, dan menyemak laporan tentang penggunaan sumbangan,” kata Encik Adnan dalam wawancara dengan Berita Minggu.
Sebagai contoh, RLAF mendapati rayuan kemanusiaan pertama bagi Gaza pada Oktober 2023 yang mengumpul sekitar $8.1 juta telah memberi manfaat kepada lebih 200,000 orang yang terjejas di Gaza.
Dana tersebut disalurkan kepada salah satu rakan kemanusiaannya, Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), untuk menyokong bantuan kecemasan, termasuk bekalan makanan, air bersih dan perubatan.
Menurut laman web RLAF, bekalan makanan bagi usaha pada 2023 itu diagihkan kepada keluarga terjejas menerusi tempat perlindungan kecemasan UNRWA di Gaza.
Sejak rayuan kemanusiaan yang pertama untuk Gaza pada 2023, RLAF kemudian melancarkan tiga lagi rayuan kemanusiaan dan berjaya mengumpul lebih $15.6 juta secara keseluruhan.
Pada 2024, RLAF menyumbang sekitar $2.1 juta kepada Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk menyokong kanak-kanak dan keluarga yang terjejas ekoran krisis tersebut.
Menurut Unicef, sokongan tersebut telah memberi manfaat kepada 840 kanak-kanak yang kembali belajar, serta 24 guru yang menjalani latihan.
Selain memantau perkembangan projek yang dijalankan rakannya, RLAF memilih rakan kemanusiaan berdasarkan pengalaman relevan, keupayaan operasi dan rangkaian untuk membantu masyarakat yang terjejas.
Encik Adnan, yang dilantik sebagai CEO RLAF sejak Ogos 2024, berkata rakan kemanusiaan RLAF memainkan peranan penting dalam mengenal pasti keperluan di kawasan yang terjejas serta melaksanakan bantuan.
“RLAF mengambil kira keperluan kemanusiaan yang dikenal pasti menerusi penglibatan dengan rakan kemanusiaan kami, yang mempunyai pengetahuan langsung tentang keadaan dan keutamaan di tempat terjejas.
“Rakan kemanusiaan kami membantu mengenal pasti keperluan yang wujud dan memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.
Buat masa ini, rakan kemanusiaan mereka termasuk Unicef, Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir, Pertubuhan Amal Hashemite Jordan dan Humanity Matters.
Pada 22 September, satu kenyataan bersama Kementerian Ehwal Luar (MFA), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menggalakkan rakyat Singapura agar terus menyokong usaha kemanusiaan bagi Gaza menerusi saluran yang dipercayai, termasuk RLAF.
Bagi Encik Adnan, kemurahan hati rakyat Singapura dalam memberi sumbangan kepada golongan terjejas, “bukan sahaja menjadi sumber dorongan, malah turut membawa satu tanggungjawab”.
Yayasan tersebut telah menamatkan kempen pengumpulan dana ‘Aid for Gaza 2026’ pada 31 Mac.
Sumbangan daripada kempen tersebut pula akan disalurkan kepada pembangunan semula kehidupan mereka yang terjejas melalui sokongan psikososial, pendidikan, dan tempat berteduh.
“Kami terus berhubung dengan rakan kemanusiaan kami untuk menilai keperluan yang timbul dan mengenal pasti bidang yang boleh meraih manfaat secara bermakna daripada sumbangan kami,” tambah beliau.

