Topic followed successfully
Go to BHkuRLAF sasar $300,000, perluas bantuan kepada 5,000 keluarga rentan
RLAF sasar $300,000, perluas bantuan kepada 5,000 keluarga rentan
Kempen ‘Rahmat untuk Semua 2026’ tekankan penglibatan berterusan dan jalinan empati melalui aktiviti interaktif
RLAF sasar $300,000, perluas bantuan kepada 5,000 keluarga rentan
Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) menyasarkan kutipan dana $300,000 bagi membantu 5,000 isi rumah rentan di Singapura.
Menerusi program ‘Rahmat untuk Semua 2026’ (BTA 2026), RLAF menggariskan matlamat membekalkan baucar pasar raya dan barangan runcit bernilai $60 kepada setiap isi rumah itu menjelang akhir Ogos 2026.
Dalam kenyataan media 8 April, RLAF mengumumkan bahawa BTA 2026 akan mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh.
“Menyusuli kempen pada 2025 yang berjaya membantu hampir 4,000 isi rumah, BTA 2026 akan menghulurkan lebih daripada sekadar bantuan berbentuk material.
“Kempen tahun ini, yang akan dijalankan sepanjang 2026, menekankan penglibatan berterusan daripada pelbagai golongan masyarakat demi memperkukuhkan sokongan kepada mereka yang memerlukan. Ia merangkumi individu daripada berbilang kaum, agama dan latar belakang,” kata RLAF.
Menurut hantaran Facebook pada 8 April, RLAF ingin membantu golongan seperti orang kurang upaya (PWD), belia terjejas, warga emas, keluarga rentan dan yang lain.
“Bagi menggalakkan semangat dan budaya memberi, keprihatinan serta belas kasihan melalui pembangunan empati dan pemahaman terhadap orang lain, kempen tahun ini menyediakan lebih banyak peluang bagi sukarelawan melibatkan diri dan berinteraksi secara berkesan,” tambah RLAF di Facebook.
Seiring itu, RLAF akan menganjurkan lebih banyak aktiviti interaktif bersama sukarelawan, termasuk beli-belah di pasar raya bersama penerima bantuan, sesi persahabatan, dan sambutan perayaan bersama komuniti.
RLAF berharap usaha ini dapat “memperkukuh jalinan secara lebih mendalam dan menggalakkan sifat empati, sambil mencipta kenangan istimewa bagi anggota masyarakat”.
Untuk mencapai hasratnya, RLAF akan bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), serta beberapa Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) termasuk Minds dan Rainbow Centre.
Yayasan itu juga akan memperluas rangkaian persahabatan mereka kepada 25 pertubuhan, termasuk pertubuhan akar umbi dan agama, untuk meningkatkan impak dan pendekatan kempen mereka.
Orang ramai boleh menyumbang kepada kempen tersebut mulai 8 April hingga 31 Ogos 2026.
Saluran untuk menyumbang kepada inisiatif “Rahmat untuk Semua 2026”:
- PayNow
- Laman web RLAF
- Laman web Giving.sg
- Pemindahan wang melalui bank
- Cek

